#4582: Safwan bin Wahb

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan.  Boleh ceritakan sedikit berkenaan latar belakang Safwan bin Wahb yang merupakan salah seorang syahid dalam peperangan Badar? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, orang yang kami terjemahkan biografinya salah seorang daripada ahli Badar yang telah mati syahid dalam peperangan Badar.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ‎

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

(Surah al-Imran: 123)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)

Nama penuh beliau ialah Safwan bin Wahb (dipanggil juga sebagai Uhaib dan dipanggil juga sebagai Ibn Sahl) bin Rabi‘ah bin ‘Amr bin ‘Amir bin Rabi‘ah bin Hilal bin Wuhaib bin Dhabbah bin al-Harith bin Fihr al-Qurasyi al-Fihri. Beliau dikenali sebagai Ibn Baidha’ dan nama julukannya (kunyah) pula ialah Abu ‘Amr.

Ada pendapat menyatakan bahawa beliau ialah saudara lelaki yang disebutkan dalam hadith Aisyah: Nabi SAW tidak pernah solat jenazah ke atas Suhail bin Baidha’ dan saudara lelakinya melainkan dalam masjid, mereka sepakat bahawa beliau ikut serta dalam peperangan Badar.

Ibn Ishaq meriwayatkan bahawasanya beliau mati syahid dalam peperangan Badar. Demikianlah juga yang dikatakan oleh Musa bin ‘Uqbah, Ibn Sa‘ad dan Ibn Abi Hatim yang meriwayatkan daripada bapanya bahawa orang yang membunuhnya ialah Ta‘imah bin ‘Adi.

Ibn Hibban dengan tegas berpendapat bahawa Safwan bin Wahb wafat (terbunuh) ketika berumur 30 tahun.  Namun, ada juga yang berpendapat, beliau wafat ketika berumur 38 tahun. Inilah pendapat yang ditegaskan dan dipegang oleh al-Hakim Abu Ahmad mengikuti pendapat al-Waqidi.

Akan tetapi di sana ada yang berpendapat, di antaranya Mus‘ab al-Zubairi menyebutkan, Safwan kembali ke Makkah selepas peperangan Badar dan beliau menetap (bermukim) di sana, kemudian berhijrah. Ada juga yang berpendapat, beliau bermukim di sana sehingga tahun pembukaan (kota Makkah). Begitu juga ada yang berpendapat, beliau wafat kerana ta‘un ‘amwas.

Musa bin ‘Uqbah daripada Ibn Syihab menyebutkannya termasuk dalam kalangan sahabat yang menyertai peperangan Badar dan juga sariyyah[1] yang dipimpin oleh Abdullah bin Jahsy. Begitu juga Ibn Mandah turut menyebutkannya dari jalur ‘Uthman bin ‘Ata’, daripada bapanya, daripada Ibn ‘Abbas dalam hadith yang panjang dan di dalamnya ada dinyatakan, berkenaan merekalah diturunkan ayat:

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهْرِ ٱلْحَرَامِ قِتَالٍۢ فِيهِ ۖ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati.

(Surah al-Baqarah: 217)

Inilah juga sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (3/358-359).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Nota kaki:

[1] Sariyyah ialah peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah, tetapi Baginda hanya mengirimkan ekspedisi pasukan perang yang diketuai oleh salah seorang sahabat. Biasanya jumlah mereka kecil. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 445)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *