Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana islam melihat berkenaan sumpah dan realitinya di Malaysia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)
Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213 dan Taudhih al-Ahkam, 7/105)
Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”
Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)
Fenomena Sumpah
Fenomena sumpah mungkin tidak menjadi kebiasaan yang tersebar luas dalam kalangan orang Islam di Malaysia. Ini berbeza dengan keadaan kebanyakan masyarakat Arab yang selalu bersumpah. Namun orang Islam di Malaysia mungkin hanya akan bersumpah jika dalam keadaan serius atau bersungguh-sungguh untuk mensabit atau untuk menafikan sesuatu perkara.
Menurut syarak, “sumpah” ialah memperkuatkan sesuatu percakapan yang kandungannya tidak sabit, dengan menyebutkan salah satu nama atau sifat Allah SWT dalam bentuk ucapan tertentu. Sumpah boleh dilakukan terhadap kejadian yang telah berlaku, seperti seseorang berkata, “Demi Allah saya tidak melakukan sekian-sekian,” sebagaimana ia juga boleh dilakukan terhadap perkara yang akan berlaku, seperti seseorang berkata, “demi Allah saya pasti akan melakukannya.”
Secara umum, hukum sumpah menurut syara’ adalah makruh berdasarkan firman Allah:
وَلَا تَجْعَلُوا۟ ٱللَّهَ عُرْضَةًۭ لِّأَيْمَـٰنِكُمْ أَن تَبَرُّوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَتُصْلِحُوا۟ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu jadikan nama Allah dalam sumpah kamu sebagai penghalang yang menghalang kamu daripada berbuat kebaikan dan bertakwa serta mendamaikan antara manusia. Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 224)
Namun hukum sumpah boleh berubah berdasarkan faktor pendorong dan juga hasil yang akan berlaku daripadanya. Kadang-kadang hukumnya menjadi menjadi haram sekiranya seseorang itu bersumpah untuk melakukan perbuatan haram atau meninggalkan yang wajib, atau bersumpah terhadap sesuatu pendustaan. Kadang-kadang sumpah juga menjadi wajib iaitu apabila sumpah itu menjadi satu-satunya jalan untuk memberikan keadilan kepada seseorang yang dizalimi atau untuk menerangkan kebenaran. Kadang-kadang sumpah hukumnya dibolehkan jika seseorang itu bersumpah untuk melakukan suatu ketaatan atau untuk menjauhi suatu maksiat atau menjadi suatu panduan kepada kebenaran atau untuk memberi amaran atau ancaman terhadap sesuatu keburukan. Kadang-kadang hukum sumpah menjadi sunat iaitu apabila sumpah itu menjadi cara untuk memberikan pengaruh kepada para pendengar dan menjadi sebab untuk mereka menerima sesuatu pandangan atau nasihat.
Terdapat larangan yang jelas daripada menjadikan sumpah sebagai alat bagi menguatkan perkataan yang diucapkan atau perbuatan yang dilakukan sebagai kebiasaan, kerana ia merupakan fenomena yang menunjukkan tidak beradab dengan Allah SWT. Ini adalah kerana, seseorang itu menjadikan nama Allah sebagai sandaran dalam percakapannya dan sebagai alat untuk menguatkannya serta memberikan pengaruh kepada orang lain tanpa peduli terhadap ancaman Allah SWT terhadap kebiasaan yang buruk itu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/259-260)
Kesimpulan
Kesimpulannya, adalah menjadi suatu kesalahan atau keadaan yang amat tidak digalakkan di dalam Islam apabila seseorang itu sentiasa melakukan sumpah dalam percakapannya demi menguatkan kepercayaan orang lain terhadap apa yang diucap atau dilakukannya, apatah lagi jika sekiranya ia melibatkan perkara yang besar dalam kehidupan manusia serta memberikan kesan dan pengaruh yang ketara dalam hubungan kemasyarakatan sesama manusia.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”