Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah relevannya pengagihan zakat pada masa kini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ
Maksudnya: “Sesungguhnya harta zakat itu diperuntukkan untuk golongan fakir dan miskin, pengurus zakat, para mualaf yang boleh dilembutkan hati mereka dengan harta itu, golongan hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang menanggung hutang, orang yang berada pada jalan Allah dan para musafir yang keputusan bekalan. Ini adalah suatu ketetapan daripada Allah. Dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 60)
Imam al-Tabari berkata: “Ayat ini menunjukkan zakat hanya diberi kepada asnaf yang lapan. Maka tiada harus diberi zakat kepada selain mereka.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/162) Hal ini berdasarkan kepada kalimah “إِنَّمَا” yang memberi makna hasr dan ithbat iaitu terhad dan hanya kepada yang disebut sahaja serta menafikan selainnya. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ mazhab. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/81; al-Bada’i’, 2/45; al-Syarh al-Kabir, 1/497; al-Muhazzab, 1/175; al-Mughni, 2/667; al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm. 111; dan Ahkam al-Qur’an oleh Ibn al-‘Arabi, 2/957)
Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa zakat perlu diberikan kepada golongan asnaf. Allah menegaskan kepada golongan munafik supaya jangan dengki sekiranya tidak dapat. Kerana yang patut dapat zakat itu sudah ditetapkan oleh Allah. Zakat hanya khusus untuk lapan golongan: (1) Golongan fakir; (2) Golongan miskin, perbezaan antara dua golongan ini adalah golongan miskin mereka yang kurang harta tetapi golongan fakir lebih memerlukan sumbangan wang daripada golongan miskin. Justeru, golongan fakir miskin disebut terlebih dahulu dalam urutan kerana mereka lebih memerlukannya berbanding dengan golongan lain, kerana hajat dan keperluan mereka yang sangat mendesak; (3) Amil zakat, yakni pengurus zakat; (4) Golongan mualaf; (5) Orang yang dalam keadaan untuk dimerdekakan. Digunakan wang zakat untuk diberikan kepada hamba untuk membebaskan diri mereka dari perhambaan; (6) Golongan yang tertanggung dan terbeban dengan hutang; (7) Golongan yang berusaha untuk mengembangkan Islam; (8) Golongan yang berada dalam perjalanan yang bukan maksiat.
Senarai asnaf ini adalah satu ketetapan dari Allah dan tidak boleh diubah suai. Allah sudah memberi panduan yang jelas maka hendaklah manusia ikuti panduan ini. Allah Maha Mengetahui keperluan manusia dan Allah telah jadikan hukum untuk keperluan hidup manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/268)
Relevensi Pengagihan Zakat Masa Kini
Ulama tafsir bersetuju yang lafaz (الصَّدَقاتُ) dalam ayat ini bermaksud zakat. Dari segi bahasa, (الصَّدَقاتُ) dari kata dasar (صدق) yang bermaksud “benar”. Hakikatnya mereka yang memberi sedekah dan zakat itu telah membenarkan ajaran Islam. Mereka percaya zakat itu adalah wajib dan sedekah adalah infak yang sunat. Terdapat beberapa perkara yang boleh dikaitkan dengan pengagihan zakat pada masa kini. Antaranya pemberian zakat kepada amil zakat yang terdiri daripada pegawai zakat yang dilantik. Mereka bekerja sepenuh masa untuk mengutip dan membahagikan zakat. Maka wajarlah mereka diberikan sebahagian dari hasil pungutan zakat itu. Walaubagaimanapun perbahasan ini hanya satu perbincangan ringkas, perlu difahami bahawa pada zaman Nabi dan sahabat, seorang amil itu akan menjalankan dua tugas yang utama iaitu mereka perlu mengutip dan juga perlu membahagikan zakat itu. Mereka mengutip daripada pengeluar zakat dan merekalah juga yang mencari mereka yang sepatutnya mendapat pembahagian zakat itu. Jadi mereka bukanlah duduk sahaja di pejabat zakat menunggu pemberi zakat datang bayar dan penerima zakat datang meminta. Pengurusan zakat dahulu dan sekarang nampaknya berbeza. Situasi zakat duhulu, pemberi zakat tidak susah dan penerima zakat juga tidak susah untuk datang meminta dengan disuruh untuk mengisi segala macam borang dan sebagainya.
Sementara asnaf yang keenam, golongan yang terbeban dengan hutang hingga terpaksa menghabiskan segala hartanya dan tidak dapat menanggung dirinya dan keluarganya. Mungkin sahaja dia kehilangan segala hartanya itu kerana sebab maksiat, tapi dia telah bertaubat. Dalil asal dalam perbahasan ini ialah hadis Qabisah R.A yang menceritakan bahawa dia menanggung suatu tanggungan hutang, lalu dia datang menghadap Rasulullah SAW untuk meminta sebahagian dari harta zakat untuk melunasinya. Maka Rasulullah SAW bersabda:
أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَـنَا الصَّدَقَةُ، فَـنَأْمُرَ لَكَ بِهَا، قَالَ: ثُمَّ قَالَ: «يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَحِلُّ إِلَّا لِأَحَدِ ثَلَاثَةٍ رَجُلٍ، تَحَمَّلَ حَمَالَةً، فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا، ثُمَّ يُمْسِكُ، وَرَجُلٌ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ، فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٌ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلَاثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ: لَقَدْ أَصَابَتْ فُلَانًا فَاقَةٌ، فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا »
Maksudnya: “Sabarlah hingga datang kepada kita harta zakat, maka kami akan perintahkan untuk diberikan sebahagiannya kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Qabisah, sesungguhnya meminta-minta itu tidak dibenarkan kecuali bagi salah satu di antara tiga jenis manusia; iaitu seorang lelaki yang menanggung hutang, maka dibolehkan untuknya meminta-minta hingga dia dapat melunasi hutangnya, kemudian hendaklah dia berhenti daripada meminta-minta, seterusnya seorang lelaki yang ditimpa suatu musibah sehingga semua hartanya habis, maka dibolehkan untuknya meminta-minta sehingga dia mempunyai harta untuk meneruskan kehidupan, atau cukup hartanya untuk terus hidup, juga seorang lelaki yang ditimpa kemiskinan, sehingga tiga orang yang cerdik dalam kalangan kaumnya mengakui bahawa dia benar-benar miskin, maka dibolehkan untuknya meminta-minta sehingga dia memiliki harta untuk hidup. Manakala alasan selain yang disebutkan ini maka ia haram dimakan oleh pelakunya.”
Riwayat Muslim (1044)
Manakala, asnaf yang ketujuh adalah mereka berusaha untuk mengembangkan Islam. Antaranya adalah untuk jihad. Juga untuk menjalankan usaha dakwah dan memajukan umat Islam. Ada pelajar-pelajar yang diberikan bantuan zakat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dikira sebagai jihad fisabilillah. Tidak kira sama ada pelajar-pelajar tersebut mengambil jurusan dalam bidang agama atau bidang-bidang yang lain. Sebagai contoh dalam bidang kedoktoran, bidang jurutera dan sebagainya. Kerana situasi sekarang manusia hidup pada zaman teknologi dan memerlukan segala perkara itu untuk memajukan umat Islam.
Terdapat perbincangan ulama tentang lapan golongan ini. Sama ada perlu diberikan kepada semua atau boleh sahaja diberikan kepada beberapa golongan sahaja. Ada yang mengatakan perlu dicari dan dibahagikan kepada semua golongan dan ada juga yang mengatakan sekiranya dapat beberapa golongan sahaja pun boleh, kerana tidak semestinya semua golongan yang lapan itu ada pada setiap masa. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/269-270)
Kesimpulan
Pelaksanaan zakat adalah sebagai mekanisme pembersihan dosa dan penyucian hati. Zakat perlu dikeluarkan dengan tujuan yang benar agar keutamaan cinta kepada Allah lebih daripada cinta terhadap harta. Orang yang ikhlas terselamat daripada kepura-puraan dan kemunafikan. Lebih daripada itu, amalan dan perbuatannya diredhai Allah SWT. Amal dan perbuatan yang diredhai Allah akan sejahtera dan cemerlang di dunia dan akhirat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”
Leave a Reply