Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah di akhir zaman akan adanya api yang besar sehingga orang yang jauh di Busra dapat melihatnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di antara tanda-tanda Kiamat adalah keluarnya api yang menghimpunkan manusia. Menurut beberapa riwayat, api tersebut akan keluar dari Yaman dari lembah ‘Adn. Manakala dalam riwayat lain, ia akan keluar dari laut Hadramaut. Antara hadith yang menjelaskan tempat keluar api ini serta dalil yang menunjukkan akan kemunculan api tersebut adalah seperti yang diriwayatkan daripada Huzaifah bin Usaid R.A al-Ghifari, ketika menyebut berkenaan tanda-tanda besar Kiamat, Nabi SAW bersabda:

وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ.

Maksudnya: “Dan yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat berkumpulnya mereka.

Riwayat Muslim (2901), al-Tirmizi (2183) dan Ibn Majah (4041)

Imam al-Nawawi menyebutkan, api keluar dari ceruk yang dalam dari bumi Aden, sebuah kota yang makruf di negeri Yaman. Al-Mawardi berkata, dinamakan Aden daripada Adwan iaitu tetap, kerana kaum Tubba’ telah mengurung penjenayah di tempat ini dahulu. Api yang keluar daripada perut bumi Aden dan Yaman akan mengumpulkan manusia sebagaimana dalam hadis yang disebut bahawa tidak berlaku kiamat sehingga keluar apai dari bumi Hijaz, sehingga nampak cahaya leher unta yang berada di Busra. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/28).

Huzaifah R.A turut meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدْنٍ تُرَحِّلُ النَّاسَ

Maksudnya: “Dan api yang keluar dari jurang ‘Adn, yang menggiring manusia.”

Riwayat Muslim (2901)

Dalam riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda: 

سَتَخْرُجُ نَارٌ مِنْ حَضْرَمَوْتَ أَوْ مِنْ نَحْوِ حَضْرَمَوْتَ قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ تَحْشُرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Akan keluar api dari Hadramaut atau laut Hadramaut sebelum hari Kiamat yang akan menggiring manusia.”

Riwayat al-Tirmizi (2217) dan Ahmad (5376). Syeikh Ahmad Syakir berkata: “Sanadnya sahih.”

Hadith ini memberitahu kepada kita api yang keluar dari Hadramaut sebelum berlakunya Kiamat akan menghimpunkan manusia. Sahabat bertanya, apa yang kamu perintahkan kami wahai Rasulullah? Baginda menjawab, hendaklah kamu berada di Syam. (Lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim ‘ala Sunan Abi Daud, 7/115)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, Hadramaut adalah bandar dan kabilah di mana api yang keluar daripadanya akan menghimpunkan manusia ke satu tempat di negeri Syam. Justeru, ambillah jalannya dan sentiasa beriltizam dengan puaknya yang selamat daripada sampainya api yang zahir atau hukmi kepadanya. Ini kerana ketika itu, dijaga oleh malaikat Rahmah. Hadith pada zahirnya tidak menempati bab. Justeru, fikir dan perhatikanlah. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/482)

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan memang terdapat hadith yang terkait dengan adanya kebakaran yang amat besar sehingga dapat dilihat pada jarak yang jauh. Pernah berlaku pada tahun 655 atau 654 Hijrah, di mana api besar telah wujud di Harrah Madinah Munawwarah, sehingga apabila waktu malam cahaya yang besar itu telah zahir dari jarak yang jauh dan boleh jadi api tersebut telah disebut oleh Rasulullah SAW daripada tanda-tanda kiamat sehingga ia menerangi leher-leher unta di Busra.

Hal ini telah disebutkan oleh ramai ahli sejarah termasuklah Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (7/199) dan begitu juga dalam al-Nujum al-Zahirah (7/36).

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

لا تقومُ السّاعةُ حتّى تخرُجَ نارٌ تُضيءُ لها أعناقُ الإبِلِ ببُصْرى

Maksudnya: “Tidak berlaku Kiamat sehingga keluar api, sehingga nampak leher-leher unta di Busra.”

Riwayat Ibn Hibban (6839), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (4/290). Sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim seperti mana dinyatakan oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut  dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (6839)

Dalam satu riwayat menyebut, sehingga keluar api dari bumi Hijaz. Betapa besarnya api itu sehingga cahayanya sampai nampak leher-leher unta di Busra. Abu Syamah dan juga Imam al-Nawawi menyebutkan, api tersebut telah keluar pada zaman kita di kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 654 Hijrah. Maksud Busra di sini adalah sebuah bandar atau pekan di negeri Syam. (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 6/229)

Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab neraka Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.

Riwayat Muslim (588)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply