Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsir ayat 7 dan 8 surah al-Zalzalah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ (٧) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّا يَرَهُۥ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya.”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)
Pengadilan pada hari tersebut ialah satu pengadilan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Segala yang dilakukan manusia baik amalan kecil mahupun besar, kesemuanya tertulis di dalam buku catatan mereka yang akan dibentangkan. Allah SWT berfirman:
وَكُلُّ شَىْءٍۢ فَعَلُوهُ فِى ٱلزُّبُرِ (٥٢) وَكُلُّ صَغِيرٍۢ وَكَبِيرٍۢ مُّسْتَطَرٌ
Maksudnya: “Segala perkara yang mereka lakukan tercatat dalam buku catatan mereka, Setiap segala sesuatu yang kecil mahupun yang besar telah tertulis. “
(Surah al-Qamar: 52-53)
Pada ketika itu, setiap manusia akan diberi balasan yang selayaknya; sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya, manakala sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya juga. Menurut para ulama yang terdahulu, zarah yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah nyamuk yang kecil atau habuk yang kelihatan di bawah pancaran matahari. Para ulama kontemporari pula melihatnya sebagai bahagian kecil pada sesuatu jirim, seperti atom, molekul atau elektron dan ia hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop yang canggih. Kesimpulan ayat ini ialah Allah SWT ingin menegaskan bahawa setiap perbuatan manusia baik sekecil-kecil perbuatan yang tidak disedari manusia yang lain, mahupun sebesar-besar perbuatan ianya akan dibentangkan di depan pelakunya. Lalu Allah SWT dengan keadilan dan rahmat-Nya akan memberikan balasan yang bersesuaian lagi adil tanpa menzalimi walau seorang pun. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/605-606)
Inilah seperti yang disebutkan dalam Surah al-Kahfi sebagaimana firman Allah SWT:
وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Maksudnya: “Kitab ini (buku catatan amalan manusia), tidak meninggalkan yang kecil dan juga yang besar melainkan kesemuanya tercatat di dalamnya. Lalu mereka mendapati perbuatan yang telah mereka lakukan di dunia dahulu, dan Tuhan kamu sama sekali tidak menzalimi walau seorang pun (dari kalangan kamu),”
(Surah Al-Kahfi: 49)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”