#4666: Dajjal Tidak Dapat Masuk Madinah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Dajjal pada akhir zaman tidak mampu untuk memasuki kota Madinah, atau tanah haram Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan terlebih dahulu makna Dajjal.

Kata Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu,  jjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كفر (kufur) atau كافر (kafir).

Seterusnya, kami katakan, memang benar Dajjal tidak dapat memasuki kota Madinah. Imam al-Bukhari telah menyebutnya dalam Sahihnya.

Bahawa Abu Sa‘id R.A berkata:

حَدَّثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا حَدِيثًا طَوِيلًا عَن الْدَّجَّالِ، فَكَانَ فِيمَا يُـحَدِّثُنَا بِهِ أَنَّهُ قَالَ: «يَأْتِي الْدَّجَّالُ وَهُوَ مُـحَرَّمٌ عَلَيْهِ أَنْ يَدْخُلَ نِقَابَ الْمَدِينَةِ، فَيَنْزِلُ بَعْضَ السِّبَاخِ الَّتِي تَلِي الْمَدِينَةَ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِ يَوْمَئِذٍ رَجُلٌ وَهُوَ خَيْرُ الْنَّاسِ – أَوْ مِنْ خِيَارِ الْنَّاسِ – فَيَقُولُ: أَشْهَدُ أَنَّكَ الْدَّجَّالُ الَّذِي حَدَّثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَهُ، فَيَقُولُ الْدَّجَّالُ: أَرَأَيْتُمْ إِنْ قَتَلْتُ هَذَا ثُمَّ أَحْيَيْتُهُ، هَلْ تَشُكُّونَ فِي الأَمْرِ؟ فَيَقُولُونَ: لاَ. فَيَقْتُلُهُ ثُمَّ يُـحْيِيهِ فَيَقُولُ: وَاللهِ مَا كُنْتُ فِيكَ أَشَدَّ بَصِيرَةً مِنِّي الْيَوْمَ. فَيُرِيدُ الْدَّجَّالُ أَنْ يَقْتُلَهُ فَلاَ يُسَلَّطُ عَلَيْهِ».

Maksudnya: Rasulullah SAW menyampaikan kepada kami pada suatu hari sebuah hadth yang panjang mengenai Dajjal. Antara perkara yang disampaikan Baginda kepada kami ialah Baginda bersabda: Dajjal akan datang tetapi dia akan terhalang daripada masuk melalui pintu Madinah. Lalu dia akan singgah di sebahagian kawasan berpasir berdekatan Madinah. Pada hari itu keluar kepada Dajjal seorang lelaki yang merupakan sebaik-baik manusia – atau daripada kalangan manusia yang terbaik – Maka dia berkata: “Aku bersaksi bahawa engkau adalah Dajjal yang ceritanya disampaikan kepada kami oleh Rasulullah SAW.” Maka Dajjal berkata: “Bagaimana pendapat kalian jika aku bunuh lelaki ini lalu menghidupkannya, apakah kalian akan meragui lagi urusanku?” Mereka menjawab: “Tidak.” Dajjal lalu membunuhnya kemudian menghidupkannya. Maka lelaki itu berkata: “Demi Allah, hari ini aku jadi lebih mengetahui tentang dirimu berbanding sebelum ini. Kemudian Dajjal ingin membunuhnya lagi namun dia gagal untuk menguasainya.”

Riwayat al-Bukhari (7132)

Daripada Abu Hurairah R.Anhu, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

عَلَى أَنْقَابِ الْمَدِينَةِ مَلاَئِكَةٌ، لاَ يَدْخُلُهَا الطَّاعُونُ وَلاَ الدَّجَّالُ.

Maksudnya: “Di pintu-pintu masuk Madinah ada para malaikat (yang menjaganya), (oleh itu), taun dan dajjal tidak dapat memasukinya.”

Riwayat al-Bukhari (7133)

Daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

الْمَدِينَةُ يَأْتِيهَا الدَّجَّالُ، فَيَجِدُ الْمَلاَئِكَةَ يَحْرُسُونَـهَا، فَلاَ يَقْرَبُهَا الدَّجَّالُ وَلاَ الطَّاعُونُ إِنْ شَاءَ اللهُ.

Maksudnya: “Madinah akan didatangi oleh Dajjal, lalu dia akan mendapati para malaikat menjaganya. Lalu ia (Madinah) tidak dapat didekati oleh Dajjal.” Baginda bersabda: “Dan begitu juga taun (tidak dapat mendekati Madinah), dengan izin Allah.”

Riwayat al-Bukhari (7134)

Semoga Allah SWT pelihara kita daripada fitnah Dajjal dan mengikutnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *