Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah batal wuduk apabila seorang lelaki berjabat tangan dengan isteri pakciknya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, secara asasnya, bersentuhan kulit antara lelaki dewasa dengan perempuan dewasa ajnabi adalah sesuatu yang ditegah. Di dalam sebuah hadith daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya:Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya:Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Begitu juga bersentuhan antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa ajnabi tanpa berlapik termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sama ada sengaja ataupun tidak. (Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103; al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 38).

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa di antara perkara yang membatalkan wuduk ialah seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain (ajnabi) tanpa berlapik. Perbuatan tersebut membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain (ajnabi) ialah semua perempuan yang halal untuk dikahwini oleh lelaki berkenaan. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam menerangkan perkara-perkara yang mewajibkan berwuduk:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya:Atau kamu sentuh perempuan.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Berdasarkan bacaan mutawatir, perkataan “لَامَسْتُمُ” bermakna “لَمَسْتُم” iaitu kamu menyentuhnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/63).

Justeru, sekiranya tersentuh kulit isteri pun membatalkan wuduk, maka apatah lagi kulit perempuan dewasa ajnabi lain.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa seseorang lelaki yang bersalaman atau berjabat tangan dengan isteri pakciknya tanpa berlapik, sekiranya kedua-duanya dalam keadaan berwuduk, maka batal wuduk kedua-duanya. Begitu juga jika sentuhan (yakni bersalaman) antara keduanya berlaku secara sengaja tanpa sebarang sebab yang diizinkan oleh syarak, maka hukumnya adalah haram dan dikira berdosa kerana sentuhan itu adalah diharamkan.

Hal ini kerana isteri pakcik termasuk dalam kalangan wanita ajnabiyyah dan bukan mahram. Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-Ta‘bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya:Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Tambahan lagi, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga pernah ditanya mengenai hal yang sama. Mereka menjawab, mengucapkan salam tanpa bersalaman tidak membatalkan wuduk. Adapun bersalaman dengan isteri pakcik membatalkan wuduk kerana isteri pakcik bukan mahram bagi anak saudara suami wanita tersebut. Begitu juga menyentuh wanita yang bukan mahram selamanya, hukumnya adalah haram jika perbuatan itu disengajakan, dan membatalkan wuduk mengikut mazhab al-Syafi‘i (yang muktamad). Perkara ini juga dinukilkan daripada Fatawa al-Syeikh Nuh Ali Salman. (Fatawa al-Taharah/fatwa no. 21).[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2105. Diakses pada 28 November 2023.

Leave a Reply