Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kaedah apa yang kita beri, itulah yang kita akan dapat dapat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَٱتَّقَىٰ ٥ وَصَدَّقَ بِٱلْحُسْنَىٰ ٦ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْيُسْرَىٰ ٧ وَأَمَّا مَنۢ بَخِلَ وَٱسْتَغْنَىٰ ٨ وَكَذَّبَ بِٱلْحُسْنَىٰ ٩ فَسَنُيَسِّرُهُۥ لِلْعُسْرَىٰ

Maksudnya: “Adapun yang memberi dan bertakwa. Dan dia mengakui adanya syurga sebagai ganjaran kebaikan. Maka Kami akan mudahkannya ke arah kesenangan dan kebaikan. Manakala yang bakhil dan merasakan dengan hartanya dia tidak berhajat kepada Allah. Lalu dia mengingkari adanya syurga sebagai ganjaran kebaikan. Kami akan memudahkannya ke arah kesusahan neraka.”

(Surah al-Lail: 5-10)

Allah SWT telah melakarkan garis pemisah sama ada ia membawa ke arah kebahagiaan atau kecelakaan di akhirat kelak kepada dua golongan:

  • Golongan yang memberikan dan menginfakkan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan yang dianjurkan dan bertakwa dengan mengerjakan suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya, serta dia mengakui dengan penuh keyakinan bahawa segala kebaikan yang dilakukan akan diganjari-Nya. Maka Allah SWT akan memberikannya jalan keluar daripada kesulitan di dunia dan mendapat kesenangan di syurga kelak. Menurut Ibn Mas’ud R.A yang dimaksudkan dalam ayat (فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَٱتَّقَىٰ) ialah Abu Bakar al-Siddiq R.A yang memerdekakan orang-orang yang lemah dan wanita yang memeluk Islam sehingga bapanya, Abu Quhafah berkata, “Wahai anakku! Aku melihatmu memerdekakan ramai orang lemah. Tidakkah kamu ingin memerdekakan para lelaki yang kuat sehingga mereka dapat melindungimu?” Abu Bakar R.A menjawab, “Wahai ayahku, aku hanya menginginkan pahala di sisi Allah.” Lalu turunlah ayat-ayat ini.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَيَقُولُ الْآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melalui paginya kecuali akan turun dua malaikat, lalu salah satunya berkata; Ya Allah berikanlah gantian kepada mereka yang membelanjakan hartanya. Manakala malaikat yang satu lagi berkata; Ya Allah berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya.”

Riwayat al-Bukhari (1351)

  • Golongan yang bakhil daripada berbuat kebajikan yang dianjurkan dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Dia juga mendustakan perkara yang baik. Maka, Allah SWT akan memudahkannya untuk melaksanakan kejahatan dan pendustaan tersebut sehingga di akhirat kelak dia mendapat kesusahan dan kesengsaraan atas usahanya sendiri. Persoalannya, apakah harta kekayaannya dapat bantu menghalangnya daripada terjerumus ke dalam azab seksa di hari akhirat kelak? Jawapannya, sudah tentu tidak dan mustahil sama sekali!

Daripada Ali R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ مَا مِنْ نَفْسٍ مَنْفُوسَةٍ إِلَّا وَقَدْ كَتَبَ اللَّهُ مَكَانَهَا مِنْ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ وَإِلَّا وَقَدْ كُتِبَتْ شَقِيَّةً أَوْ سَعِيدَةً، فَقَالَ رَجَلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نَمْكُثُ عَلَى كِتَابِنَا وَنَدَعُ الْعَمَلَ؟ فَقَالَ: مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ. فَقَالَ: اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ ثُمَّ قَرَأَ {أمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى}

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu diciptakan melainkan Allah telah menentukan tempatnya di syurga atau di neraka, serta ditentukan pula sengsaranya atau bahagianya.’ Ali R.A berkata: Kemudian seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, kalau begitu bukankah lebih baik kita pasrah dengan takdir yang telah ditentukan dan tidak perlu beramal? Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang termasuk dalam golongan orang yang bahagia, maka dia pasti akan mengerjakan amal orang yang bahagia. Sebaliknya, siapa yang termasuk dalam golongan orang yang sengsara, maka dia pasti melakukan perbuatan mereka yang sengsara.” Tambah Baginda SAW lagi: “Beramallah, kerana masing-masing telah dipermudah untuk beramal sesuai dengan ketentuan sengsara dan bahagianya. Orang yang termasuk dalam golongan mereka yang bahagia akan dimudahkan untuk mengerjakan amal mereka yang bahagia, manakala orang yang termasuk dalam golongan mereka yang sengsara akan dimudahkan untuk melakukan perbuatan mereka yang sengsara.” Setelah itu Rasulullah pun membacakan ayat 5 hingga 10 dalam surah ini.

Riwayat Muslim (2647)

What You Give, You Get Back!

  • Seringkali ungkapan ini disebut ketika kesan daripada sesuatu perbuatan buruk terkena kepada diri pelakunya sendiri. Sedarilah bahawa segala usaha dan perbuatan yang dilakukan sama ada yang baik atau buruk pasti akan kembali semula kepada pelakunya. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan perihal ini. Berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu perbuatan buruk kerana kesannya akan kembali kepada diri sendiri di dunia dan di akhirat. Bahkan kesan di akhirat lebih buruk padahnya. Oleh itu, perbanyakkanlah melakukan sesuatu perbuatan baik kerana kesannya dapat dirasai pada diri sendiri di dunia dan di akhirat. Berikut adalah nas al-Quran yang merujuk kepada perkara tersebut:
  • Menuruti petunjuk dan ajaran al-Quran akan mendatangkan kebaikan pada diri sendiri dan sebaliknya: Katakanlah wahai Muhammad, “Sesungguhnya keterangan-keterangan daripada Tuhan kamu telah datang kepada kamu. Oleh itu, sesiapa yang melihat kebenaran itu serta menerimanya maka manfaatnya kembali kepada dirinya sendiri. Sesiapa yang membutakan mata tidak melihat dan enggan menerimanya, maka mudarat tertimpa ke atas dirinya sendiri. Aku tidak berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-An’am: 104) “Sesiapa yang menerima hidayah, maka sesungguhnya dia menerima kebaikan hidayah itu untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat, maka sesungguhnya dia menerima kesan kesesatan itu atas dirinya sendiri. Dan seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Dan Kami tidak akan mengazab sesiapa pun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul.” (Surah al-Isra’: 15)
  • Amal kebaikan yang dibuat akan kembali kepada pelakunya dan sebaliknya: “Sesiapa yang melakukan amalan soleh, maka kebaikannya untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang melakukan kejahatan maka akibatnya akan menimpa dirinya. Tuhanmu tidak sekali-kali menzalimi hamba hamba-Nya.” (Surah Fussilat: 46)
  • Siapa bersyukur, kesyukuran itu akan kembali kepada dirinya sendiri dan sebaliknya: “Inilah kelebihan yang dikurniakan Tuhanku kepadaku, untuk menguji sama ada aku bersyukur ataupun kufur. Barang siapa yang bersyukur sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa yang kufur, sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” (al-Naml: 40)
  • Siapa yang menyucikan dirinya, kebaikan penyucian itu akan kembali kepadanya, begitu juga sebaliknya: “Seseorang yang berdosa tidak akan menanggung dosa orang lain. Dan jika seseorang yang dibebani oleh berat dosanya memanggil orang lain untuk tolong menanggungnya, pasti bebanan itu tidak akan dipindahkan daripadanya sedikit pun walaupun kaum kerabatnya sendiri. Sesungguhnya kamu hanya dapat memberi amaran kepada orangyang takut kepada Tuhan, sekalipun mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan solat. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya daripada sebarang maksiat, maka sesungguhnya ia adalah untuk kebaikan dirinya sendiri, dan kepada Allah sahaja tempat kembali..” (Surah Fatir:18)
  • Siapa yang bakhil, kesan kebakhilan itu akan kembali kepada diri sendiri. “Ingatlah! Kamu sekalian ialah orang yang diseru untuk membelanjakan harta pada jalan Allah. Maka ada antara kamu yang bakhil, maka sebenarnya dia bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan ingatlah, Allah Maha Kaya sedangkan kamu semua yang sentiasa berhajat kepada-Nya.” (Surah Muhammad: 38)
  • Siapa berbuat jahat, kesan kejahatan itu akan kembali kepada dirinya sendiri: “Dan sesiapa yang melakukan sesuatu dosa, maka sesungguhnya dia melakukannya hanya untuk memusnahkan dirinya sendiri dan Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa: 111)
  • Siapa yang setia pada janji, kesan kesetiaan itu akan kembali kepadanya, begitu juga sebaliknya. “Sesungguhnya orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu wahai Muhammad, sesungguhnya mereka memberikan pengakuan taat setia kepada Allah. Kuasa Allah atau tangan Allah (tidak sama dengan makhluk) atas tangan-tangan mereka. Oleh itu, sesiapa yang melanggar janji setianya, maka sesungguhnya dia melanggar janjinya sendiri. Dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Dia akan memberi kepadanya pahala yang besar..” (Surah al-Fath: 10)
  • Siapa yang berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara, kesan kesungguhan itu pasti akan diperolehinya, begitu juga sebaliknya. “Dan barang siapa yang bermujahadah, maka sesungguhnya dia bermujahadah untuk kebaikan dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya sehingga tidak berhajat sedikit pun kepada semua makhluk. (Surah al-‘Ankabut: 6)
  • Setiap harta yang disedekahkan kepada kebaikan, kesan sedekah tersebut akan kembali kepada pemberinya semula. Dan apa juga harta halal yang kamu sedekahkan, faedah kebaikannya adalah untuk diri kamu sendiri. Dan tidaklah harta yang kamu sedekahkan kecuali untuk mencari keredhaan Allah semata mata. Dan harta halal yang kamu sedekahkan, akan disempurnakan ganjarannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi. (al-Baqarah: 272)

Benarlah pepatah kata melayu, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali. Bantulah diri sendiri agar mendapat kesenangan di dunia dan akhirat, bukan kecelakaan pada kedua-duanya! Sesungguhnya jaminan keselamatan dan keamanan di akhirat adalah agenda peribadi berdasarkan usaha yang dikerah di dunia dahulu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/518-520)

Benarlah kata pepatah Arab:

كَمَا تَدِيْنُ تُدَانُ

Maksudnya: “Sebagaimana kamu lakukan, begitulah kamu akan dibalas.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Leave a Reply