Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan betapa bahayanya istidraj dalam kehidupan manusia ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَذَرْنِى وَمَن يُكَذِّبُ بِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ ۖ سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.

(Surah  al-Qalam: 44)

Ungkapan dalam ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT akan menyesatkan orang kafir itu secara bertahap dan sedikit demi sedikit. Bahkan dalam konteks ayat ini menunjukkan Allah SWT akan menarik mereka dengan cara sedikit demi sedikit dalam bentuk pemberian nikmat-nikmat ke arah kehancuran dan kebinasaan dalam keadaan mereka tidak menyedarinya, iaitu mereka tidak mengetahui bahawa itu ialah istidaraj tetapi mereka menyangka itu ialah kurniaan nikmat.

Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251; Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)

Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)

Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”

Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)

Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT: “سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ” yang membawa maksud “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 9/396)

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Maksudnya: Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.

(Surah al-An’am: 44)

Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)

Bahkan istidraj ialah nikmat yang diberi oleh Allah ke atas orang-orang yang mengingkari-Nya, ini bermakna walaupun seseorang itu mengingkari Allah SWT dan masih berterusan melakukan maksiat lagi kepada Allah SWT, Allah SWT tetap akan menambah nikmat ke atasnya sehingga dia menyangka Allah SWT menyayangi dirinya, pada hakikatnya mereka akan mendapat balasan azab Allah di hari akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/548)

Kesimpulan

Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.

Namun orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj. Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

(Surah Ali Imran: 102)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Leave a Reply