Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan membunuh biawak yang mengganggu ayam ternakan? Sebabnya saya dah berkali-kali menghalaunya, tetapi ia tetap juga datang lagi. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami mulakan dengan takrifan dan sedikit pengenalan mengenai biawak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, biawak ialah sejenis binatang yang menyerupai buaya (tetapi lebih kecil).[1] Ringkasnya, biawak merupakan sejenis reptilia dalam genus Varanus, satu-satunya genus (kelompok/kelas) yang masih wujud dalam keluarga Varanidae. Kira-kira 80 spesies diterima dalam genus ini; spesies-spesies ini ditemukan di Afrika, Asia, dan Oceania. Ia berdarah sejuk dan membiak secara bertelur. Biawak ialah haiwan yang unik di mana bentuk badannya relatif tidak berubah-ubah tetapi mempunyai julat saiz yang sangat luas. Ciri yang lebih halus seperti bentuk tengkorak dan kaki berbeza-beza dan berkait kuat kepada ekologi setiap spesies biawak.
Kebanyakan spesies biawak karnivor hampir sepenuhnya, memangsakan serangga, krustasea, araknid, miriapod, moluska, ikan, amfibia, reptilia, burung dan mamalia. Kebanyakan spesies memakan invertebrata pada usia muda dan memakan vertebrata apabila dewasa. Spesies-spesies biawak pokok Varanus bitatawa, Varanus mabitang dan Varanus olivaceus dari Filipina memakan buah-buahan.[2]
Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai waral (الوَرَلُ). Menurut al-Damiri waral ialah haiwan yang melata yang serupa dengan dhab kecuali ia lebih besar daripadanya. Kata jamaknya (plural) ialah arwal (أَرْوَال) dan wirlan (وِرْلَان), manakala biawak betina dipanggil sebagai waralah (وَرَلَةٌ). Demikian yang disebutkan oleh Ibn Sidah. Al-Qazwini menyebutkan, ia lebih besar dari segi bentuknya daripada cicak dan Sam Abras (sejenis cicak), ekornya panjang, bergerak pantas dan ringan pergerakkannya — yakni boleh bergerak laju dan senang. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 4/198).
Keduanya, berkenaan hukum memakannya pula, secara umumnya, biawak tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).
Ringkasnya, kami berpendapat bahawa biawak adalah haram untuk dimakan. Hal ini kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik dan kotor, di samping ia bukanlah makanan secara adatnya dimakan oleh masyarakat Islam di negara kita. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).
Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik. Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).
Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3725: Memakan Biawak.[3]
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Taubah: 128)
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”
(Surah al-Ma’idah: 13)
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).
Seterusnya, Islam melarang keras perbuatan menzalimi haiwan. Hal ini kerana nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung ‘usfur dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”
Riwayat al-Nasa’i (4349); al-Darimi (1978); al-Zahabi menyatakan dalam al-Muhazzab (7/3614), sanadnya adalah baik.[4]
Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menyatakan, ini menunjukkan hukumnya adalah makruh, dan jika dikatakan hukumnya adalah haram, maka terdapat alasan kukuh bagi perkara itu kerana ia termasuk dalam perbuatan yang sia-sia, pembaziran harta dan membuang masa. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, jika dia tidak bermaksud untuk mengambil manfaat daripadanya, maka ia adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam melakukan kerosakan di atas muka bumi, dengan mensia-siakan nyawa. (Lihat Fath al-Bari, 9/602).
Larangan menyakiti dan menzalimi haiwan turut dinyatakan secara jelas dalam hadith, di mana seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: “Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:
لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”
Riwayat al-Bukhari (2365)
Mencegah haiwan yang melakukan kerosakan/mengganggu
Selain daripada itu, turut dinyatakan bahawa haiwan yang mengganggu atau melakukan kerosakan hendaklah dicegah sedikit demi sedikit meskipun ia akan menyebabkannya kepada kematiannya. Sebahagian mereka menyatakan, jika haiwan itu dapat dicegah dengan hanya menakutkannya (atau menghalaunya) tetapi ia akan kembali semula dan melakukan kerosakan yang ingin dicegah dalam keadaan tidak sedar dan hal itu juga berulang kali berlaku, maka dibolehkan untuk membunuhnya, sekalipun dalam keadaan tidak memudaratkan/membahayakan. Hal ini kerana kejahatan/kerosakannya tidak terjamin dalam dielakkan melainkan dengan cara membunuhnya. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/214).
Begitu juga haiwan seperti kucing jika mengganggu dan melakukan kerosakan boleh disamakan dengan anjing gila dan binatang bias sehinggakan ia boleh dibunuh jika tidak ada lagi jalan lain bagi mengatasi kerosakannya melainkan dengan cara itu sahaja. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (11/312) bahawa:
فَالبَهِيمَةُ إذا صَالَتْ صَارَتْ بِمَثَابَةِ الكَلْبِ العَقُورِ والسَّبُعِ الضَّارِي
Maksudnya: “Haiwan jika ia mengganggu/melakukan kerosakan, boleh disamakan dengan anjing gila dan binatang buas (yang berbahaya).”
Tambahan lagi, al-Baijuri juga ada menyatakan, setiap haiwan yang menimbulkan kerosakan, seperti kucing yang diketahui menyebabkan kerosakan kepada burung, makanan dan sebagainya, pemiliknya mesti menggantikannya dan dia mesti mencegahnya sedikit demi sedikit seperti haiwan yang mengganggu/berbahaya. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh al-Ghazzi ‘ala Matn Abi Syuja‘, Cet. DKI, 2/469).
Justeru, apabila terbukti biawak tersebut melakukan kerosakan atau mengganggu seperti ia memakan ayam ternakan atau telurnya atau seumpamanya, maka ia boleh dibunuh jika hanya itu sahaja jalan bagi menghentikan kerosakan yang disebabkannya. Sekiranya tidak terbukti bahawa haiwan tersebut tidak melakukan kerosakan atau mengganggu, maka ia tidak boleh dibunuh seperti halnya dengan haiwan-haiwan lain yang tidak membawa mudarat.
Dalilnya adalah sebagaimana hadith yang sabit dalam sahihain dan kitab selainnya bahawa Nabi SAW melarang daripada membunuh anjing-anjing, dan mengizinkan untuk membunuh anjing gila. Oleh yang demikian, mana-mana haiwan yang sabit kemudaratannya boleh disamakan dengan anjing gila dari sudut boleh untuk membunuhnya (bagi mencegah kemudaratannya), dan begitu juga mana-mana haiwan yang tidak sabit kemudaratannya disamakan pula dengan anjing-anjing lain dari sudut tidak dibolehkan untuk membunuhnya.
Ibn Muflih menyatakan, disebutkan dalam al-Mughni mengenai isu membunuh anjing bahawa jika tiada kemudaratan padanya, tidak dibenarkan untuk membunuhnya. Beliau beristidlal dengan (hadith) larangan membunuh anjing; oleh itu, kata-katanya ini menunjukkan kepada persamaan, di mana jika membunuh yang tidak membawa mudarat dibenarkan bagi haiwan selain anjing, maka membunuh anjing juga turut dibenarkan.
Ini adalah pendapat yang zahir daripada sekelompok ulama, dan ia adalah pendapat yang diterima. Berdasarkan kepada hal ini, difahami bahawa terdapatnya pengkhususan dalam keharusan untuk membunuh anjing gila dan anjing hitam legam kerana tidak dibenarkan untuk membunuh haiwan yang tidak memberi mudarat. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 3/355).
Selain daripada itu, Syeikh Ibn al-‘Uthaimin juga ada menyebutkan, haiwan terbahagi kepada dua jenis:
Jenis pertama: Haiwan yang secara tabiat semula jadinya perosak/mengganggu. Maka, disunatkan untuk membunuhnya tidak kira ia terdiri dalam jenis haiwan yang terdapat nas daripada Nabi SAW untuk membunuhnya seperti kala jengking, tikus dan anjing gila, atau ia mempunyai ‘illah yang sama (dengan haiwan yang diperintahkan untuk membunuhnya) iaitu mengganggu/melakukan kerosakan. Oleh sebab itu, para ulama turut berpendapat, disunatkan untuk membunuh semua jenis haiwan yang melakukan kerosakan/mengganggu. Justeru, haiwan seperti ini boleh dibunuh jika kebiasaannya melakukan kerosakan/mengganggu; sehinggakan sekalipun pada waktu itu ia mungkin tidak melakukan kerosakan/mengganggu kerana jika ia tidak melakukan kerosakan/mengganggu pada waktu tersebut, ia berkemungkinan akan melakukannya pada masa yang lain.
Jenis kedua: Haiwan yang (secara tabiat semula jadinya) tidak melakukan kerosakan/mengganggu dan tidak juga memudaratkan. Maka haiwan seperti ini tidak dibunuh. Akan tetapi membunuhnya tidak dihukumkan sebagai haram melainkan tidak membunuhnya adalah lebih utama. Namun, jika ia melakukan kerosakan/mengganggu, maka dibenarkan untuk membunuhnya sebagai suatu tidak balas untuk mencegah kemudaratannya.
Kita katakan bahawa sebaik-baiknya tidak membunuhnya jika ia tidak mengganggu/melakukan kerosakan. Hal ini kerana haiwan dan serangga dari segi hukum syarak terbahagi kepada tiga kategori:
- Kategori yang memerintahkan untuk membunuhnya.
- Kategori yang melarang daripada membunuhnya.
- Kategori yang tidak dinyatakan sama ada ia diperintahkan untuk dibunuh ataupun tidak.
Haiwan yang diperintahkan untuk membunuhnya adalah seperti kala jengking, tikus, anjing gila, ular, cicak dan apa-apa yang menyerupainya.
Haiwan yang dilarang daripada membunuhnya adalah seperti semut, lebah dan burung hudhud.
Haiwan yang tidak dinyatakan sama ada ia diperintahkan untuk dibunuh ataupun tidak adalah seperti kebanyakan haiwan dan serangga, maka bagi kategori ini syarak diam mengenai hukumnya. Jadi, sebaiknya ia tidak dibunuh kerana membunuhnya itu paling kurangnya termasuk dalam perbuatan mengambil nyawanya tanpa sebarang sebab. Kemudian sebahagian ulama berpendapat, selagi haiwan atau serangga itu masih hidup, ia bertasbih kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan apabila ia mati maka tasbihnya itu telah terputus. Oleh itu, membunuhnya bermakna menghapuskannya sehingga ia tidak lagi bertasbih.
Walau bagaimanapun, hukumnya adalah sebaik-baiknya tidak membunuhnya selagi mana ia tidak mengganggu/menyakiti seseorang. Jika ia mengganggu/menyakiti, maka tidak menjadi masalah untuk membunuhnya. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 67/12).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang itu membunuh biawak, lebih-lebih lagi jika terbukti bahawa ia memberi kemudaratan atau melakukan kerosakan seperti mengganggu dan memakan ayam ternakan, telurnya atau seumpamanya. Begitu juga dibolehkan untuk membunuhnya sekalipun hanya dikhuatiri atau terdapatnya sangkaan yang kuat (ghalabah al-zan) ia akan melakukan kerosakan tersebut. Ini kerana ia termasuk dalam jalan atau cara untuk mencegah kerosakan disebabkannya.
Adapun jika biawak itu langsung tidak mengganggu atau melakukan kerosakan, maka kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya ia tidak dibunuh tetapi cukup sekadar dengan hanya menghalaunya pergi jauh sahaja.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=biawak&d=175768&. Diakses pada 19 Oktober 2023.
[2] Lihat
[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/3725-memakan-biawak/. Diakses pada 1 Disember 2023.
[4] Begitu juga Ibn al-Mulaqqin menilainya sebagai sahih dalam al-Badr al-Munir (9/376). Manakala Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/368) menilainya sebagai hasan, dan begitu juga ia dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Targhib (1092).