#3725: Memakan Biawak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya dengar ada pendapat yang membolehkan memakan biawak kerana ia mengambil hukum dhab, betulkah? Sebenarnya, apakah hukum memakan biawak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan takrifan dan sedikit pengenalan mengenai biawak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, biawak ialah sejenis binatang yang menyerupai buaya (tetapi lebih kecil).[1] Ringkasnya, biawak merupakan sejenis reptilia dalam genus Varanus, satu-satunya genus yang masih wujud dalam keluarga Varanidae. Kira-kira 80 spesies diterima dalam genus ini; spesies-spesies ini ditemukan di Afrika, Asia, dan Oceania. Ia berdarah sejuk dan membiak secara bertelur. Biawak ialah haiwan yang unik di mana bentuk badannya relatif tidak berubah-ubah tetapi mempunyai julat saiz yang sangat luas. Ciri yang lebih halus seperti bentuk tengkorak dan kaki berbeza-beza dan berkait kuat kepada ekologi setiap spesies biawak.

Kebanyakan spesies biawak karnivor hampir sepenuhnya, memangsakan serangga, krustasea, araknid, miriapod, moluska, ikan, amfibia, reptilia, burung dan mamalia. Kebanyakan spesies memakan invertebrata pada usia muda dan memakan vertebrata apabila dewasa. Spesies-spesies biawak pokok Varanus bitatawa, Varanus mabitang dan Varanus olivaceus dari Filipina memakan buah-buahan.[2]

Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai waral (الوَرَلُ). Menurut al-Damiri waral ialah haiwan yang melata yang serupa dengan dhab kecuali ia lebih besar daripadanya. Kata jamaknya (plural) ialah arwal (أَرْوَال) dan wirlan (وِرْلَان), manakala biawak betina dipanggil sebagai waralah (وَرَلَةٌ). Demikian yang disebutkan oleh Ibn Sidah. Al-Qazwini menyebutkan, ia lebih besar dari segi bentuknya daripada cicak dan Sam Abras (sejenis cicak), ekornya panjang, bergerak pantas dan ringan pergerakkannya — yakni boleh bergerak laju dan senang. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 4/198).

Keduanya, kita hendaklah membezakan hukum antara biawak dan dhab. Ini kerana jumhur ulama berpendapat bahawa dhab adalah harus untuk dimakan dan tidak makruh. Inilah pendapat mazhab al-Syafi‘i, Malik dan Ahmad. Manakala ulama mazhab Abu Hanifah pula berpendapat hukumnya adalah makruh. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12).

Keharusan untuk memakan dhab adalah disebabkan ia termasuk dalam jenis makanan yang dihidangkan kepada Nabi SAW. Malah, Nabi SAW tidak melarang orang lain daripada memakannya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ أُمَّ حُفَيْدٍ بِنْتَ الحَارِثِ بْنِ حَزْنٍ – خَالَةَ ابْنِ عَبَّاسٍ – أَهْدَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمْنًا وَأَقِطًا وَأَضُبًّا. فَدَعَا بِهِنَّ، فَأُكِلْنَ عَلَى مَائِدَتِهِ، وَتَرَكَهُنَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَالْمُسْتَقْذِرِ لَهُنَّ. وَلَوْ كُنَّ حَرَامًا مَا أُكِلْنَ عَلَى مَائِدَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلاَ أَمَرَ بِأَكْلِهِنَّ

Maksudnya:Ummu Hufaid binti al-Harith bin Hazn — ibu saudara Ibn Abbas — menghadiahkan minyak sapi, keju, dan dhab kepada Nabi SAW. Kemudian Baginda SAW meminta agar dibawakannya (dhab itu), lalu dimakan di atas tempat hidangannya dan Nabi SAW meninggalkannya seperti orang yang tidak menyukainya (kerana kotor). Sekiranya ia haram pasti tidak dimakan di atas tempat hidangan Nabi SAW dan tidak pula Baginda SAW perintahkan untuk memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (5389)

Perbahasan lanjut mengenai dhab, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #371 Memakan Daging Dhab.[3]

Bukan itu sahaja, jika diteliti dhab adalah berbeza sama sekali dengan biawak. Biawak sebagaimana diketahui memiliki leher yang panjang, ekor dan cakar yang kuat. Berbeza dengan dhab yang berekor besar dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, biawak termasuk dalam kategori haiwan pemangsa yang tidak boleh dijinakkan, berbeza dengan dhab yang dianggap sebagai haiwan jinak. Begitu juga dhab tergolong dalam kategori haiwan herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran sedangkan kebanyakan biawak pula tergolong dalam kategori haiwan karnivor dan pemangsa. Ia memakan telur, reptilia yang lebih kecil, ikan, burung, serangga, dan mamalia kecil,[4] sehinggakan dhab pun menjadi makanan kepadanya.[5]

Selain itu juga dhab dianggap oleh masyarakat Arab sebagai haiwan yang elok dan memujinya sebagaimana yang disebutkan oleh Ahmad ‘Umairah dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259).  Sedangkan biawak dianggap sebagai haiwan yang jijik, boleh mengalahkan ular dan memakannya. Malah, ia juga boleh menghalau ular keluar dari lubangnya, lalu ia menjadikan lubang tersebut tempat tinggalnya. Di samping itu, cengkaman biawak juga adalah lebih kuat daripada cengkaman dhab. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. DKI, 2/542)

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa dhab dan biawak — sebagaimana yang biasa kita ketahui — merupakan haiwan yang berbeza.

Hukum memakan biawak

Secara umumnya, biawak tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Berkenaan kehalalan biawak, pada asasnya, terdapat dua pendapat ulama. Pendapat pertama menyatakan semua hasyarat adalah haram untuk dimakan kerana dianggap sebagai haiwan yang jijik dan kotor serta tabiat yang sihat menjauhinya. Inilah pendapat ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali. Mereka mengecualikan daripada hasyarat itu belalang kerana umat telah bersepakat mengenai kehalalannya.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali turut mengecualikan dhab kerana ia termasuk dalam jenis haiwan hasyarat yang halal untuk dimakan. Begitu juga ulama mazhab Hanbali mengecualikan jerboa dan wabar (hyrax) dan berpendapat kedua-duanya adalah halal untuk dimakan. Manakala ulama mazhab Syafi‘i menambah lagi (selain daripada jerboa dan wabar) dengan turut mengecualikan ummu hubain (trapelus), landak dan bint ‘irs (weasel), dan berpendapat ia adalah halal untuk dimakan.

Manakala pendapat kedua menyatakan semua jenis hasyarat adalah halal untuk dimakan. Ini merupakan mazhab Maliki, yang pada asalnya terdapat dua riwayat mengenainya. Kemudian mazhab telah bersetuju dengan pendapat ini. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/279).

Benar, terdapat dalam kalangan ulama yang mengharuskan untuk memakan biawak kerana mengqiyaskannya dengan dhab. Begitu juga sebahagian orang menyatakan biawak dikenali sebagai haiwan yang tidak menyakiti manusia mengikut tabiat asal ciptaannya, maka ia menyerupai dhab. Atas dasar itu, dinukilkan daripada sebahagian ulama bahawa mereka berpendapat ia adalah halal dimakan. Ini adalah sebagaimana riwayat Yahya bin Sa‘id, katanya: “Aku berada di sisi Ibn al-Musayyib, lalu seorang lelaki dari Ghatafan datang menemuinya dan bertanya kepadanya mengenai hukum memakan waral (biawak)?” Ibn al-Musayyib menjawab: “Tidak mengapa memakannya. Jika ada bersama kamu sedikit dagingnya, maka berilah makan kepada kami (daging itu).” ‘Abd al-Razzaq menyebutkan, waral (biawak) ialah haiwan yang menyerupai dhab.

Riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (9026)

Tambahan lagi, al-Damiri juga ada menukilkan bahawa disebutkan dalam Kitab Raf‘i al-Tamwih fima Yaruddu ‘ala al-Tanbih bahawa biawak adalah anak buaya. Ini kerana buaya bertelur di daratan dan apabila telurnya itu menetas, sebahagian anaknya ada yang turun ke dalam air dan sebahagian lagi kekal berada di atas darat. Mana-mana anaknya yang masuk ke dalam air menjadi buaya, dan mana-mana anaknya yang berbaki yang kekal di daratan menjadi biawak. Oleh itu, berkenaan hukum kehalalannya terdapat dua pendapat sebagaimana halnya buaya.

Kemudian al-Damiri menjelaskan kenyataan di atas dengan menyebutkan, apa yang dinyatakan itu tidak dapat dipastikan kebenarannya (yakni diragukan). Hal ini kerana biawak tidak mempunyai sifat-sifat mahupun ciri-ciri buaya. Kulitnya juga berbeza dengan kulit buaya, dan jika benar ia daripada jenis buaya maka sudah tentu ia dapat membesar sehingga menjadi besar seperti buaya dari sudut saiznya. Sebaliknya biawak besarnya hanya sekitar satu setengah hasta atau dua hasta sahaja, sedangkan buaya pula besarnya boleh mencapai sepuluh hasta dan lebih.

Seterusnya al-Damiri menyimpulkan bahawa biawak haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam hasyarat dan para ulama tidak mengecualikannya seperti dhab, landak dan weasel. Antara bukti yang menguatkan lagi pengharamannya — dan ia dianggap jijik berbeza dengan dhab — adalah ia boleh mengalahkan ular dan memakannya. Malah, ia juga boleh menghalau ular keluar dari lubangnya, lalu ia menjadikan lubang tersebut tempat tinggalnya. Bahkan, cengkaman biawak juga adalah lebih kuat berbanding cengkaman dhab. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 4/199-201).

Selain daripada itu, Dr. Abdullah al-Tayyar pernah ditanya berkenaan hukum memakan waral atau biawak ini. Beliau menjawab, ia termasuk dalam haiwan yang diperselisihi ulama berkenaan kehalalannya. Ada dalam kalangan ulama yang mengqiyaskannya dengan dhab, dan dhab adalah harus untuk dimakan. Namun, pendapat yang kuat menurutnya adalah ia diharamkan untuk dimakan kerana ia termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik oleh orang ramai dan begitu juga oleh orang Arab, serta ia termasuk dalam jenis hasyarat.[6]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa biawak adalah haram untuk dimakan. Hal ini kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik dan kotor, di samping ia bukanlah makanan secara adatnya dimakan oleh masyarakat Islam di negara kita. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=biawak&d=175768&. Diakses pada 19 Oktober 2023.

[2] Lihat

[3] Lihathttps://maktabahalbakri.com/371-memakan-daging-dhab/. Diakses pada 20 Oktober 2023.

[4] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Monitor_lizard. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://barrobahr.com/a/ حيوان-الضب-أهم-المعلومات-عنه-والفرق-بينه-وبين-الورل. Diakses pada 26 Januari 2022.

[5] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=qNNPH-2iWQg, dan https://www.youtube.com/watch?v=POYXNJ4sVXs. Diakses pada 26 Januari 2022.

[6] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=-UseWO-8_rY. Diakses pada 20 Oktober 2023.

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *