#3724: Eyelash Lift (mengangkat bulu mata) atau Eyelash Perm (perm bulu mata)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum melakukan eyelash lift (mengangkat bulu mata) atau eyelash perm (perm bulu mata)? Kalau bulu mata palsu itu saya tahu hukumnya adalah haram, sebab dah banyak dibincangkan, tetapi bagaimana pula dengan prosedur yang ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa perbahasan.

Pertamanya, pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Keduanya, sebagaimana yang kita ketahui dalam menentukan sesuatu hukum, kita perlulah jelas terlebih dahulu mengenai hakikatnya yang dimaksudkan. Ini berdasarkan kaedah masyhur yang menyebutkan:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Menjatuhkan hukum ke atas sesuatu merupakan suatu cabang daripada mendapatkan gambaran menyeluruh tentangnya (perkara itu).

Maka, kami kemukakan terlebih dahulu di sini takrifan atau penjelasan ringkas mengenai eyelash lift (mengangkat bulu mata) dan juga eyelash perm (perm bulu mata). Secara umumnya, kedua-dua prosedur ini adalah prosedur kecantikan untuk melentikkan bulu mata semulajadi secara separuh kekal. Pengangkatan bulu mata ialah versi perm bulu mata yang lebih moden dan berkesan. Prosedur ini menggunakan teknik, alat dan produk yang berbeza untuk mencapai hasil bulu mata yang lentik.

Eyelash Lift – Prosedur ini boleh dianggap sebagai versi terkini bagi perm bulu mata. Ia juga dikenali sebagai laminasi bulu mata. Bulu mata disikat dan melekat pada pad silikon yang dipanggil shields (perisai). Kemudian larutan pelembut disapu untuk mengangkat bulu mata dari akar dan membentuk semula menjadi lentik ke atas. Larutan ini disapu pada kira-kira satu pertiga daripada panjang bulu mata, dari akar ke atas. Tugasnya adalah untuk memecahkan ikatan protein bulu mata, jadi bulu mata akan mengikut bentuk shields (pad silikon) dan melentik bukannya keluar lurus. Kebanyakan larutan yang digunakan dalam lash lift mengandungi protein yang dipanggil keratin untuk menguatkan bulu mata. Sebelum prosedur ini tamat, juruteknik kecantikan akan menyapu minyak untuk bulu mata yang sihat.

Gambar di atas: Eyelash Lift.[1]

Eyelash perm – Ini ialah prosedur rawatan di mana bulu mata dililitkan di sekeliling batang silinder. Larutan dan pengaktif tambahan juga digunakan untuk menjadikan bulu mata lentik dan cantik. Ia bermula dengan sapuan gam pada kelopak mata atas anda. Batang perm bulu mata kemudian diletakkan di antara penutup mata dan bulu mata. Larutan perm disapu pada keseluruhan bulu mata. Plastik diletakkan di atas bulu mata dan penggelek selama kira-kira 15 minit, membolehkan larutan memecahkan ikatan disulfida dalam bulu mata. Selepas menambah larutan pengaktifan, bulu mata disapu pada batang. Ini membentuk bulu mata lentik sementara ikatan yang terputus itu dibina semula. Larutan itu kemudian dibersihkan dan bulu mata disikat.

Gambar di atas: Eyelash perm.[2]

Ketiganya, berkenaan soal antara kecantikan dan keperluan perubatan. Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Selain daripada itu, Dr. Soleh al-Fauzan juga ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Hukum Eyelash Lift dan Eyelash Perm

Keempatnya, secara umumnya, mencabut atau menghilangkan bulu mata adalah tindakan yang tidak dibolehkan. Tindakan ini tidak dibenarkan kerana menghilangkan bulu mata dapat mengakibatkan hilangnya manfaat dan perhiasan yang Allah SWT ciptakan. Salah satu manfaat penting dari bulu mata adalah melindungi pancaindera penglihatan dari ancaman berbahaya yang dapat merosakkan mata, seperti debu, pasir, serangga, dan sebagainya. Selain itu, bulu mata juga berperanan dalam menyaring cahaya yang masuk ke mata, membantu menjaga keseimbangan cahaya yang diperlukan untuk melihat dengan jelas. Oleh yang demikian, kami berpandangan tidak dibolehkan mengubah ciptaan Allah dengan mencabut atau menghilangkannya.

Selain itu, larangan untuk mencabut atau menghilangkan bulu mata juga adalah berdasarkan kepada hadith yang kami telah sebutkan sebelum ini iaitu:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Sebahagian ulama mengharamkan untuk mencabut atau memendekkan bulu mata kerana ia juga termasuk dalam larangan mencabut bulu pada wajah. Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya, perbuatan (mencabut bulu pada wajah) ini adalah haram, kerana Nabi SAW telah melaknat orang yang melakukannya. (Lihat al-Mughni,1/129).

Begitu juga turut dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji bahawa al-Nams “النَمْصُ”  adalah mencabut bulu pada wajah yang diharamkan bagi lelaki dan perempuan. Tidak ada perbezaan antara pelaku dan orang yang diperlakukan, kerana ini menyebabkan laknat Allah terhadap mereka. Laknat hanya ditujukan kepada tindakan yang haram, bahkan kepada salah satu daripada dosa-dosa besar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/102).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3413: Mencabut Bulu Mata.[3]

Kesimpulannya

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum prosedur eyelash lift (mengangkat bulu mata) dan eyelash perm (perm bulu mata), secara umumnya ia tidak melibatkan sebarang proses mencabut mahupun menghilangkan bulu mata, sebaliknya ia hanya melibatkan proses membentuk atau melentikkannya sahaja. Maka, kami melihat ia adalah seperti menyikat rambut.

Oleh itu, kami berpendapat bahawa prosedur eyelash lift (mengangkat bulu mata) dan eyelash perm (perm bulu mata) adalah diharuskan selagi mana ia tidak melibatkan pengubahan ciptaan Allah mahupun memberi mudarat kepada pelakunya. Hal ini kerana ia kembali kepada hukum asal perhiasan itu sendiri iaitu diharuskan. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga bahan larutan pelembut atau gam yang digunakan atau disapu ketika prosedur tersebut, hendaklah tidak menghalang air ketika berwuduk atau mandi wajib. Jika ia menghalang air, hendaklah ia terdiri daripada bahan yang mudah ditanggalkan dan dibersihkan, agar wuduk dan mandi wajib yang dilakukan oleh seseorang itu dapat disempurnakan.

Sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana, kami akhiri dengan satu kata-kata daripada Sayyid Qutb dalam tafsirnya, di mana beliau menyebutkan,  perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

[1] Diambil dari https://sundaybeauty.com/wp-content/uploads/2022/06/Lash-Lift-VS-Lash-Perm-e1655918090124.jpg.

[2] Diambil dari https://beautyundercoverproduction.s3.amazonaws.com/ckeditor/pictures/data/000/013/955/content/lash-perming3.jpg.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/3413-mencabut-bulu-mata/. Diakses pada 19 Oktober 2023.

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *