Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah syurga dan neraka dihijabkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nas menunjukkan bahawa, Allah SWT menyebut tentang syurga dan neraka dengan banyak. Antaranya, firman Allah SWT:

إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ (13) وَإِنَّ الْفُجَّارَ لَفِي جَحِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat; Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang-julang.”

(Surah al-Infitar: 13)

Oleh kerana dunia menjadi tempat ujian sepertimana firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

(Surah al-Mulk: 2)

Maka, banyaklah ujian untuk melayakkan seseorang menjadi penghuni syurga atau sebaliknya. Maka dihijabkan syurga dan neraka sehingga mereka terleka, dan akhirnya mereka yang diberi petunjuk akan berjaya ke syurga, tetapi sebaliknya akan rebah dengan kemaksiatan. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حُجِبَتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ، وَحُجِبَتِ الجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ.

Maksudnya: “Neraka itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsu, sedangkan syurga itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang dibenci oleh hawa nafsu.”

Riwayat al-Bukhari (6487)

Bab ini menyebut padanya api neraka ditutup atau dihijab, maka syahwat yang dituruti menyebabkan seseorang sanggup untuk dihumban ke dalam neraka. Inilah besarnya tarikan nafsu syahwat. Begitulah sebaliknya, perjuangan menuju ke syurga penuh dengan ranjau dan duri di dunia. Justeru kesabaran dan istiqamah dalam mentaati peritah Allah serta mujahadah melawan nafsu membawa ke syurga.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply