Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah manusia bukan selama-lamanya di atas, dan bukan selama-lamanya di bawah, ibarat roda?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Surah Ali Imran: 26)

Firman Allah SWT:

 وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

(Surah Ali Imran: 140)

Al-Syaukani berkata: ‘وَتِلْكَ الْأَيَّامُ’ yakni kemenangan dan kekalahan dalam perang yang berlaku antara umat-umat yang ada berlaku sunnatullah, bahawa Allah akan menjadikannya silih berganti, kadang kala satu kelompok menang atas kelompok yang lain, dan kadangkala sebaliknya, sebagaimana apa yang berlaku pada kalian wahai umat Islam di Perang Badar dan perang Uhud. (Lihat Fath al-Qadir, 3/221)

Menjawab persoalan di atas, memang benar. Sebuah hadith daripada Anas R.A, katanya:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاقَةٌ – قَالَ: ح وَحَدَّثَنِي مُحَمَّدٌ: أَخْبَرَنَا الفَزَارِيُّ، وَأَبُو خَالِدٍ الأَحْمَرُ، عَنْ حُمَيْدٍ الطَّوِيلِ، عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: كَانَتْ نَاقَةٌ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُسَمَّى: العَضْبَاءَ، وَكَانَتْ لاَ تُسْبَقُ، فَجَاءَ أَعْرَابِيٌّ عَلَى قَعُودٍ لَهُ فَسَبَقَهَا، فَاشْتَدَّ ذَلِكَ عَلَى المُسْلِمِينَ، وَقَالُوا: سُبِقَتِ العَضْبَاءُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ لاَ يَرْفَعَ شَيْئًا مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا وَضَعَهُ».

Maksudnya: “Nabi SAW mempunyai seekor unta…” (Dalam cabang sanad yang lain) Muhammad menyampaikan kepadaku, al-Fazari dan Abu Khalid al-Ahmar mengkhabarkan kepada kami, daripada Humaid al-Tawil, daripada Anas R.A, beliau berkata: “Unta Rasulullah SAW diberi nama al-‘Adhba’, dan unta itu tidak pernah kalah dalam pertandingan perlumbaan. Kemudian seorang Badwi datang menunggang untanya lalu berjaya mengalahkan unta milik Nabi. Maka hal ini membuat kaum muslimin berasa terganggu, dan mereka berkata: “al-‘Adhba’ telah dikalahkan.” Mendengar hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya adalah menjadi hak ke atas Allah SWT untuk tidak mengangkat sesuatu perkara di dunia kecuali satu masa ia akan berada di bawah (berputar seperti roda).”

Riwayat al-Bukhari (6501)

Justeru, hendaklah bertawaduk, sentiasa memohon kepada Allah SWT dan hiduplah sebagai hamba Allah yang soleh lagi bertakwa. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply