Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Pada hari Akhirat kelak, bagaimana kedudukan anak-anak kecil orang-orang musyrikin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Oleh kerana perkara ini, perkara ghaib, kami nyatakan bahawa hanya Allah SWT yang mengetahuinya.

Firman Allah SWT:

‏ قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

(Surah al-Naml: 65)

Menjawab persoalan di atas, sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَوْلاَدِ الـمُشْرِكِينَ، فَقَالَ: «اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ».

Maksudnya: Nabi SAW ditanya tentang anak-anak kaum musyrikin, maka Baginda bersabda: “Allah lebih mengetahui tentang apa yang akan mereka kerjakan.”

Riwayat al-Bukhari (6597)

Dalam riwayat yang lain, begitu juga sesiapa yang mati semasa kecil, maka sabda Rasulullah SAW:

اللهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ.

Maksudnya: “Allah lebih mengetahui tentang apa yang akan mereka kerjakan.”

Riwayat al-Bukhari (6600)

Firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَث رَسُولًا

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Ibn Kathir berkata: “Yang demikian itu merupakan pemberitahuan tentang keadilan Allah SWT di mana Dia tidak akan mengazab seorang pun melainkan setelah disampaikan hujjah kepadanya, yakni dengan pengutusan Rasul kepadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/445)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Aswad bin Sari’, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعَةٌ يَحْتَجُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: رَجُلٌ أَصَمُّ، وَرَجُلٌ أَحْمَقُ، وَرَجُلٌ هَرِمٌ، وَرَجُلٌ مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَأَمَّا الْأَصَمُّ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ، وَمَا أَسْمَعُ شَيْئًا، وَأَمَّا الْأَحْمَقُ، فَيَقُولُ: رَبِّ، قَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَالصِّبْيَانُ يَحْذِفُونَنِي بِالْبَعَرِ، وَأَمَّا الْهَرِمُ، فَيَقُولُ: رَبِّ، لَقَدْ جَاءَ الْإِسْلَامُ وَمَا أَعْقِلُ، وَأَمَّا الَّذِي مَاتَ فِي الْفَتْرَةِ، فَيَقُولُ: رَبِّ، مَا أَتَانِي لَكَ رَسُولٌ، فَيَأْخُذُ مَوَاثِيقَهُمْ لَيُطِيعُنَّهُ، فَيُرْسِلُ إِلَيْهِمْ رَسُولًا أَنِ ادْخُلُوا النَّارَ، قَالَ: فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ دَخَلُوهَا كَانَتْ عَلَيْهِمْ بَرْدًا وَسَلَامًا

Maksudnya: “Ada empat orang yang akan berhujjah dengan memberi alasan pada Hari Kiamat iaitu: (1) orang yang tuli, (2) orang yang amat bodoh dan lembam, (3) orang yang tua nyanyuk, dan (4) orang yang mati dalam masa fatrah. Orang yang tuli akan berkata: ‘Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang ajaran Islam dalam keadaan aku tidak mendengar apa-apa.” Orang yang amat bodoh dan lembam akan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang Islam kepada aku dengan keadaan budak-budak membaling aku dengan tahi unta.” Orang yang tua nyanyuk akan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya telah datang Islam kepadaku sedangkan aku tidak memahami apa-apa.” Adapun orang yang mati dalam masa fatrah akan berkata: “Wahai Tuhan, tidak ada satu pun Utusan-Mu yang datang kepadaku.” Maka diambillah perjanjian mereka untuk mentaati-Nya. Diutuslah kepada mereka seorang Rasul yang memerintahkan mereka agar masuk ke dalam api neraka. Beliau SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya mereka masuk ke dalamnya, nescaya mereka akan merasakan dingin dan selamat.”

Riwayat Imam Ahmad (16301), al-Tabarani (2/79) dan Ibnu Hibban (7357)

Ibn al-Qayyim ketika menjelaskan pendapat-pendapat yang ada dalam isu ini menyebut: “Pendapat yang kelapan, mereka berpendapat bahawa kanak-kanak kecil orang kafir akan diuji di sebuah dataran pada hari Kiamat. Setiap orang dikirimkan utusan. Orang yang mematuhi utusan tersebut akan dimasukkan ke syurga. Manakala yang membangkang akan dimasukkan ke neraka. Dengan kata lain, sebahagian mereka ada yang masuk syurga dan sebahagiannya ada yang masuk neraka. Pendapat ini mencakupi dalil-dalil yang ada dan didokong oleh banyak hadis. ( Lihat Tariq al-Hijratain, hlm. 369)

Imam Ibn Kathir selepas menjelaskan pandangan-pandangan yang ada, beliau kemudian memilih pendapat yang menyatakan bahawa mereka akan diuji pada hari kiamat kelak. Katanya, “Pendapat inilah yang mencakupi semua dalil yang ada. Dan hadis-hadis yang telah saya sebutkan juga menegaskannya dan saling menguatkan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/30)

Ada pendapat anak orang-orang musyrikin sama seperti anak-anak orang Islam jika mati kecil. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.A, antara lain menyebut sabda Rasulullah SAW:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الطَّوِيلُ الَّذِي فِي الرَّوْضَةِ فَإِنَّهُ إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَّا الْوِلْدَانُ الَّذِينَ حَوْلَهُ فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ عَلَى الْفِطْرَةِ قَالَ فَقَالَ بَعْضُ الْمُسْلِمِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَوْلَادُ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَوْلَادُ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “…Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga) itu, ialah Ibrahim SAW. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang musyrikin?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Termasuk anak-anak orang musyrikin…”

Riwayat al-Bukhari (7047)

Antara ulama’ yang berpandangan dengan pendapat ini ialah Imam al-Nawawi Rahimahullah. Beliau berkata bahawa inilah mazhab yang sahih yang terpilih oleh ulama’ muhaqqiq. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata sepertimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: Sekiranya tidak diazab mereka yang berakal kerana keadaan mereka yang tidak sampai seruan dakwah, maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama.  (Lihat Fath al-Bari, 4/462)

Kami akhiri dengan sama-sama berdoa semoga kita diberi keampunan oleh Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Leave a Reply