Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bilakah masa syaitan bertebaran atau berkeliaran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa syaitan-syaitan bertebaran dan berkeliaran di bumi apabila malam menjelma atau masuknya waktu petang (waktu senja).  Oleh sebab itu, sunnahnya ketika malam tiba adalah mencegah anak-anak kecil — begitu juga haiwan ternakan seperti unta, kambing, dan lain-lain — dari keluar. Ini kerana dikhuatiri syaitan-syaitan yang berkeliaran pada waktu tersebut akan menyakiti dan memudaratkan mereka.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada  Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Apabila malam menjelma atau masuknya waktu petang, tahanlah anak-anak kamu kerana sesungguhnya pada saat itu syaitan-syaitan berkeliaran. Lalu apabila telah berlalu satu jam daripada malam maka biarkanlah mereka. Tutuplah pintu-pintu dan sebutlah nama Allah kerana sesungguhnya syaitan tidak mampu membuka pintu yang tertutup.”

Riwayat al-Bukhari (3304)

Lafaz “جُنْحُ اللَّيْلِ” bermaksud tibanya waktu malam selepas terbenamnya matahari iaitu merujuk kepada permulaan malam. (Lihat Fath al-Bari, 6/341).

Begitu juga dalam hadith lain, daripada riwayat Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

احْبِسُوا صِبْيَانَكُمْ حَتَّى تَذْهَبَ فَوْرَةُ الْعِشَاءِ؛ فَإِنَّهَا سَاعَةٌ تَخْتَرِقُ فِيهَا الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Tahanlah anak-anak kamu (dari keluar rumah) hingga berlalunya permulaan Isyak, kerana saat itu adalah saat syaitan-syaitan menjadikannya sebagai jalan untuk mendapatkan atau memperolehi keinginannya.”

Riwayat Ahmad (14482)

Menurut al-San‘ani, hadith ini melarang melepaskan anak-anak pada permulaan waktu Isyak, kerana saat itu syaitan sedang berkeliaran dan berkemungkinan boleh mengganggu mereka. Selain itu, dalam hadith ini juga mengandungi dalil bahawa anak-anak boleh terkena gangguan daripada syaitan. Oleh yang demikian, jika berjaga-jaga (dengan tidak membenarkan mereka keluar pada waktu itu), mereka tidak akan terkena gangguan buruk daripada syaitan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/404).

Dalam hadith lain daripada riwayat Jabir R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُرْسِلُوا فَوَاشِيَكُمْ وَصِبْيَانَكُمْ إِذَا غَابَتْ الشَّمْسُ حَتَّى تَذْهَبَ فَحْمَةُ الْعِشَاءِ؛ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْبَعِثُ إِذَا غَابَتْ الشَّمْسُ حَتَّى تَذْهَبَ فَحْمَةُ الْعِشَاءِ

Maksudnya: “Jangan biarkan binatang ternakan dan anak-anakmu keluar berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Hal ini kerana syaitan-syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja.”

Riwayat Muslim (2013)

Imam al-Nawawi menyebutkan, ahli lughah menyatakan bahawa lafaz “الْفَوَاشِي” dalam hadith di atas bermaksud setiap sesuatu yang berkeliaran yang terdiri daripada harta benda seperti unta, kambing dan seluruh haiwan ternakan serta selainnya. Ia merupakan kata jamak (plural) bagi perkataan fasyiah “فَاشِيَة” kerana ia merujuk kepada apa-apa yang bertebaran/berkeliaran di atas muka bumi. Manakala lafaz “فَحْمَةُ الْعِشَاءِ” pula bermaksud kegelapan malam dan kehitamannya. Namun, sebahagian ulama ada yang menafsirkan bahawa maksudnya di sini merujuk kepada menjelangnya waktu Isyak dan permulaan gelapnya. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/186).

Justeru, makna hadith ini adalah halangilah mereka dari keluar rumah pada waktu itu kerana malam merupakan tempat atau waktu berkeliarannya syaitan, dan pergerakan mereka pada awal atau permulaan penyebarannya (mula-mula berkeliaran) adalah amat bergelora. Maka dibimbangi anak-anak kecil akan terkesan dengan kejahatan syaitan kerana jumlahnya yang banyak pada waktu tersebut. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/185; Gharib al-Hadith oleh al-Khattabi, 1/448; al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/83).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Leave a Reply