#4961: Syarat-Syarat Tayammum

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat-syarat untuk saya lakukan tayammum? Mohon pencerahan Dato’. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَإِن كُنتُم مَّرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

Maksudnya: Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.

(Surah al-Maidah: 6)

Al-Maraghi berkata: “Apabila kamu mengalami salah satu dari tiga keadaan ini seperti sakit atau dalam perjalanan pemusafiran, atau tidak menemui air sewaktu hendak menyucikan kedua-dua jenis hadas di atas, maka hendaklah kamu mencari debu atau dataran bumi yang suci daripada najis, lalu tepuklah kedua-dua tangan sampai ke pergelangan tangan, dengan adanya kesan debu tersebut.” ((Lihat Tafsir al-Maraghi 3/1500).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat sepuluh syarat-syarat tayammum:

  1. Hendaklah tayammum dilakukan dengan debu tanah.
  2. Hendaklah tanah itu bersih.
  3. Hendaklah tanah itu tidak musta’mal (telah digunakan).
  4. Hendaklah tanah tidak bercampur dengan tepung dan seumpamanya.
  5. Seseorang itu hendaklah berniat menggunakan tanah (untuk tayammum).
  6. Hendaklah dia menyapu muka dan kedua tangannya dengan dua kali pukulan.
  7. Hendaklah najis dibersihkan terlebih dahulu.
  8. Hendaklah berijtihad mencari kiblat sebelum bertayammum.
  9. Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu solat.
  10. Hendaklah bertayammum untuk setiap fardhu. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 24)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *