Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh saya tahu apa ertinya apabila anjing menyalak setiap kali azan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ نُبَاحَ الْكِلَابِ، وَنَهِيقَ الْحُمُرِ بِاللَّيْلِ، فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ فَإِنَّهُنَّ يَرَيْنَ مَا لَا تَرَوْنَ

Maksudnya: Apabila kamu mendengar anjing menyalak dan tempikan suara keldai pada waktu malam maka hendaklah kamu memohon perlindungan dengan Allah kerana sesungguhnya anjing dan keldai itu nampak akan apa yang kamu tidak nampak.

Riwayat Abu Dawud (5103), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (10778) dan Ahmad (14283). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (14283) menyatakan sanad hadith ini Hasan.

Hadith ini juga menunjukkan bukan sahaja suara keldai yang menandakan ia melihat syaitan, bahkan suara salakan anjing juga menunjukkan hal sedemikian

Syeikh Athiyah Saqr di dalam kitab Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan: “Diambil daripada hadith-hadith ini, sesungguhnya haiwan dapat melihat akan sebahagian daripada makhluk Allah yang ghaib daripada pandangan kita daripada perkara yang kita tidak dapat melihatnya. Akan tetapi kaitan antara haiwan melihatnya dengan apa yang kita tidak dapat melihatnya seperti malaikat dan jin ini terhenti atas apa yang terdapat di dalam hadith Nabi SAW dengan jalan yang sahih.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 7/439)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila azan berkumandang, syaitan-syaitan akan berlari menjauhkan diri daripadanya sebagaimana sabda nabi SAW:

 إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan tersebut…”

Riwayat Muslim (389)

Justeru, boleh jadi apabila azan sedang berkumandang, syaitan berlari bertempiaran dan anjing menyalak apabila terlihatnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply