Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah jatuh talak sekiranya seorang suami itu berkata: “Saya akan ceraikan dia (isteri) nanti,” kepada rakannya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami telah menjawab banyak persoalan berkenaan suami melafazkan cerai, dan kami tidak akan jemu untuk senantiasa menasihatkan perkara yang sama, bahawa penceraian itu merupakan perkara halal yang tidak disukai oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)
Imam Al-San‘ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)
Talak juga bukanlah perkara yang boleh diambil ringan, kerana jika ianya dilafazkan secara bentuk gurauan sekalipun, ia tetap boleh dikira terjatuh. Ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.”
Riwayat Abu Daud (2194)
Imam al-Khattabi menukilkan bahawa, para ahli ilmu bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas, jika diucapkan oleh seseorang yang telah baligh yang berakal, ia dianggap sebagai talak yang sah dan tidak berguna lagi baginya untuk mengatakan bahawa ia sedang bermain-main, bergurau dan tidak berniat untuk bercerai atau perkara seumpamanya. (Lihat Ma‘lim al-Sunan, 3/243)
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, lafaz yang disebutkan oleh si suami itu termasuk dalam lafaz talak yang jelas. Tetapi apabila meneliti bagaimana lafaz tersebut dituturkan, ia lebih menjurus kepada bercerita dengan rakannya. Mengapakah penelitian ini penting? Imam ‘Umairah berkata, niat – yakni sengaja – untuk melafazkan lafaz sorih tersebut adalah perlu untuk mengeluarkan mereka yang sekadar terlepas cakap. Dinukilkan juga daripada Imam al-Zarkasyi, katanya: “(Niat melafazkan lafaz sorih tersebut adalah perlu) untuk mengeluarkan orang ‘ajam (bukan orang Arab) apabila dia melafazkan kalimah sorih tersebut akan tetapi dia tidak memahami maksudnya.” (Lihat Hashiyata Al-Qalyubi wa ‘Umairah, 3/324)
Maka, terdapat 2 noktah yang perlu kami gariskan di sini sebelum menentukan sama ada lafaz talak yang jelas itu boleh memberikan natijah penceraian itu:
- Niat (berhasrat) menceraikan isterinya dalam hati.
- Niat (sengaja) melafazkan talak kepada isterinya.
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata, disyaratkan untuk sengaja dan berhasrat untuk menceraikan, iaitu bersamanya akan luput atau hilang akad nikah itu. Pendapat yang muktabar (diterima) ialah niat secara lafaz dan juga makna, ini juga bererti terkeluar darinya orang yang bercerita tentang talak dan gambaran seorang faqih (pengajaran), serta memanggil seseorang kerana namanya diberikan sedemikian. (Lihat Asna al-Matalib, 3/280)
Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili juga berkata, jika seseorang melafazkan talak sebagai cerita dari kata-kata orang lain, dan begitu juga jika seorang faqih mengulangi lafaz talak dalam pengajiannya atau menggambarkannya, maka ia adalah sia-sia (tidak sah) kerana tiada niat padanya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/164)
Kami lebih cenderung mengatakan bahawa si suami yang ditanyakan tentangnya ini, dia umpama orang yang sekadar bercerita tentang talak sahaja kepada rakannya. Dia juga menggunakan lafaz ‘akan’, yang mana lebih merujuk kepada masa akan datang tanpa menetapkan waktu yang khusus. Imam al-Khatib al-Syirbini berkata, talak yang padanya terdapat syak, ia tidak dihukumkan terjatuh. Beliau menukilkan kalam al-Mahamili, katanya bahawa masalah ini disepakati, kerana hukum asal adalah tidak berlakunya talak dan perkahwinan tersebut kekal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/491)
Kesimpulan
Natijahnya, lafaz yang suami tersebut sebutkan semasa bercerita dengan rakannya itu tidak mengakibatkan ikatan perkahwinannya terbubar. Sebaliknya, jika si suami itu pulang dan melafazkan talak kepada isterinya dengan niat, maka barulah talak itu akan dikira terjatuh.
Kami juga mengesyorkan saudari yang bertanya untuk merujuk kepada Mahkamah Rendah Syari‘ah yang berdekatan bagi mengenalpasti sama ada talak tersebut terjatuh atau tidak. Akhirnya keputusan Hakim atau kerajaan dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat sebarang perselisihan yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam