Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sebuah hadith yang terkait dengan doa agar diberi petunjuk dengan izin Allah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Anfal: 46)

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ”, menyebut: Iaitu kekuatan dan semangat kamu semua. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/50)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Janganlah sesekali timbulnya perselisihan dan pertikaian dalam kalangan kamu, kerana yang demikian itu akan menyebabkan hati menjadi gentar, mengalami kegagalan, dan hilangnya kekuatan sehingga akhirnya kamu senang dikalahkan oleh pihak musuh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2627)

Dalam menjawab persoalan ini, memang terdapat doa Nabi SAW secara khusus. Dalam menghadapi khilaf, kembali kepada Allah SWT dengan doa dan munajat adalah amat penting. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Riwayat Muslim (770), Abu Daud (676), al-Tirmizi (3420), Ibn Majah (1357), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4854), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1324) dan Ahmad (25225).

Maksud ungkapan (فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ) adalah dari apa yang mereka perselisihkan dari urusan agama dalam kehidupan dunia mereka. Yakni, tunjukkanlah kepada yang haq dan benar dalam perselisihan ini, dengan taufiq-Mu. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/334; Mirqat al-Mafatih, 3/916)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwazi (9/373) menjelaskan, lafaz ‘اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ’ adalah sepertimana firman-Nya:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Maksudnya: “Tunjukilah kami jalan yang lurus.”

(Surah al-Fatihah: 6)

Dalam menjelaskan al-sirat al-mustaqim, Imam al-Tabari berkata bahawa ia adalah jalan yang jelas dan tidak menyimpang. Inilah yang disepakati. Bahasa bangsa Arab juga sepakat atas hal demikian. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 1/94)

Berkenaan hadith di atas, Aisyah R.Anha menceritakan bahawa Rasulullah SAW membaca doa tersebut tatkala Baginda mendirikan solat malam. Dalam doa tersebut, terdapat permohonan yang dimulakan dengan tawassul dengan Rububiyyah Allah yang bersifat khusus dan umum, supaya dengan izin Allah, orang yang memohon diberi petunjuk kepada kebenaran dalam perkara-perkara yang diperselisihkan oleh manusia. (Lihat Fiqh al-Ad‘iyah wa al-Azkar, 3/136)

Justeru, wajib bagi mereka yang mencari kebenaran untuk memohon pertolongan kepada Allah SWT dan tunduk kepada-Nya, dengan memperbanyakkan doa agar Allah SWT menunjukkannya kepada kebenaran. Antaranya adalah dengan melazimi doa Nabi SAW sepertimana dinyatakan di atas.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Leave a Reply