Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kongsikan satu kisah tentang nikmat bersyukur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan takrif syukur.

Syukur adalah mengakui nikmat serta berkhidmat kepada pemberi nikmat. Untuk itu, Allah SWT berfirman, ‘وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ’ (“Dan sememangnya sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”) (Surah Saba’: 13) (Lihat Fath al-Bari, 6/230)

Abu Bakar al-Warraq berkata:

شُكْرُ النِّعْمَةِ مُشَاهَدَةُ الْمِنَّةِ وَحِفْظُ الْحُرْمَةِ

Maksudnya: “Yang dimaksud mensyukuri nikmat adalah memperhatikan pemberian dan menjaga kehormatan.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 10/235)

Junaid berkata:

الشُّكْرُ أَنْ لَا تَرَى نَفْسَك أَهْلاً للنِّعْمَةِ.

Maksudnya: “Syukur adalah tidak menganggap dirinya sendiri sebagai pemilik kenikmatan.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, 1/313; Madarij al-Salikin, 2/235)

Junaid ditanya oleh Sariy tentang syukur, lalu dia berkata:

ألَّا تَعْصِيَ اللهَ بِنِعَمِهِ.

Maksudnya: “(Iaitu) kamu tidak bermaksiat kepada Allah SWT apabila memperoleh nikmat-nikmat dari-Nya.”

Kisah Tiga Orang Sahabat dari Bani Israel yang Buta, Botak dan Kusta

Dalam kitab al-Sahihain daripada Rasulullah SAW bahawa ada tiga orang sahabat dari Bani Israel yang buta, botak dan yang berpenyakit kusta. Allah SWT hendak menguji mereka, lalu Allah SWT mengirim malaikat kepada mereka.

Malaikat yang mendatangi kepada orang yang botak seraya berkata: “Apa yang anda inginkan?” Dia menjawab: “Saya mahu rambut yang dapat menghiasi dan memperindahkan kepala saya, kerana manusia telah mencela dan menghina saya.” Maka dia pun memohon kepada Allah SWT supaya diberi rambut. Dalam sekelip mata sahaja Allah SWT mencantikkan kepalanya yang botak dengan menumbuhkan rambut yang cantik.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ ‎﴿٨٢﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.”

(Surah Yasin: 82)

Malaikat bertanya lagi kepada si botak. “Apakah anugerah yang kamu inginkan?” Lalu si botak meminta unta. Dengan izin Allah SWT, seketika kemudian, si botak dikurniakan unta dan unta tersebut beranak-pinak dengan banyaknya hingga memenuhi bukit-bukau dan lembah-lembah.

Lalu malaikat pula datang kepada orang yang berpenyakit kusta dan berkata: “Apakah yang kamu inginkan?” Jawab si kusta: “Saya mengharapkan Allah SWT agar memperindahkan dan mempercantikkan kulit saya serta menyembuhkan saya dari kecacatan ini.” Lantas dia memohon kepada Allah SWT. Dengan sekelip mata, maka apa yang dihajatinya termakbul.

Malaikat bertanya lagi: “Apa yang kamu inginkan lagi?” Jawab si kusta: “Saya inginkan lembu.” Dengan tidak semena- mena, si kusta dikurniakan lembu yang beranak dengan banyaknya sehingga memenuhi bukit.

Kemudian Malaikat mendatangi pula orang yang buta, lalu bertanya: “Apa yang kamu harapkan daripada Allah SWT?” Maka jawab si buta, ia berharap agar Allah SWT mengembalikan penglihatan kepadanya. Lalu Malaikat berdoa dengan tidak semena-mena, maka si buta pun sembuh dan dapat melihat. Maka Malaikat bertanya lagi: “Apakah yang kamu inginkan lagi.” Maka jawab si buta yang telah celik ini: “Kambing.”

Maka Allah SWT mengurniakan kambing kepadanya dan dengan tidak disangka-sangka, kambing ini beranak pinak sehingga memenuhi bukit.

Masa berlalu, maka Malaikat menyerupai fakir miskin dan pergi bertemu dengan si botak lalu berkata: “Aku seorang fakir dan miskin yang tiada ahli keluarga untuk bergantung nasib. Aku bergantung nasib hanya kepada Allah SWT dan mengharapkan daripadamu agar diberi sebahagian hartamu.”

Maka si botak berkata bahawa ia mempunyai banyak tanggungan dan di mana harta-hartanya ia dapat secara keturunan dan tidak dapat diberikan pada si fakir yang miskin ini. Lalu malaikat bertanya: “Bukankah kamu dahulu seorang yang botak dan miskin?” Si botak menjawab dengan angkuhnya: “Oh tidak! Harta ini adalah harta warisan turun- temurun keluarga ku.” Jawab si botak.

Maka malaikat berkata: “Jika sekiranya kamu menipu, maka Allah SWT akan kembalikan kamu kepada keadaan asalmu.” Maka seketika itu juga Allah SWT mencabut kembali nikmatnya yang dipinjamkan, maka kembalilah si botak kepada keadaan asalnya.

Kemudian Malaikat bertemu pula dengan si kusta, lalu berkata: “Saya miskin lagi fakir, tidak ada ahli keluarga sebagai tempat bergantung nasib.” Tanpa menunggu lama, si kusta menyampuk lalu berkata: “Aku tidak ada apa yang hendak dibahagikan kerana aku banyak tanggungan, dan ini merupakan harta keturunanku.” Malaikat bertanya kepadanya: “Bukankah kamu dahulu miskin dan berpenyakit kusta?” Si kusta menjawab: “Oh tidak! Aku memang keturunan kaya.” Malaikat menjawab: “Jika sekiranya kamu menipu, kamu akan kembali seperti keadaan asalmu.”

Dengan izin Allah SWT, segala nikmat yang dipinjamkan itu ditarik semula. Maka kembalilah si kusta kepada keadaan asalnya iaitu hidup dalam keadaan miskin dan cacat. Masa berlalu begitu pantas, si buta merupakan seorang yang taat dan yakin dengan kekuasaan Allah SWT.

Dia merupakan hamba yang mengakui bahawa nikmat- nikmat yang dianugerahkannya adalah kurniaan Allah SWT. Maka dia sentiasa bersyukur kepada Yang Maha Pengurnia. Seorang penyair bermadah:

“Apabila bersyukur terhadap nikmat Allah SWT sebagai nikmat. Bagaimana syukur dapat dilaksanakan, bahkan bagaimana mensyukurinya?”

Si buta seorang yang beriman, tetapi emas, perak dan kekayaan dunia hampir menjadikan dirinya lupa. Pada suatu hari, ia tertidur lalu bermimpi, datang kepadanya seorang tua dan ingin membeli penglihatannya dengan seratus ribu dinar. Maka jawabnya: “Tidak.”

Lelaki tua itu menawarkan satu persatu anggota badannya dan setiap satu hendak digantikan dengan seratus ribu dinar. Maka si buta pun terjaga daripada lenanya lantas menangis dan berkata: “Bagi-Mu segala puji wahai Tuhanku.”

Tidak lama selepas itu, datang seorang miskin kepada si buta lalu berkata orang miskin itu: “Aku tidak ada tempat untuk bergantung hidup dan aku berharap kepada kamu yang mempunyai kekayaan.”

Lantas si buta berkata: “Sedangkan aku dahulu ialah seorang yang buta, lalu Allah SWT memberi nikmat penglihatan padaku. Aku juga miskin, lalu Allah SWT mencukupkanku dengan kekayaan yang dikurniakan-Nya. Maka demi Allah, aku tidak akan meminta balasan daripada-Mu yang mengambil hartaku dan aku tidak akan mengejimu daripada yang engkau tinggalkan.” Lantas si miskin ini mengenalkan dirinya dengan berkata: “Aku adalah malaikat yang datang dari langit dan aku menyampaikan kepadamu bahawa Allah SWT telah redha denganmu dan murka Allah SWT terhadap kedua sahabatmu yang terdahulu.” (Lihat Nota untuk Anakku, hlm. 88-92)

Kesimpulan

Berdasarkan kisah di atas, terdapat pelbagai pengajaran yang boleh kita ambil darinya antaranya ialah nikmat syukur. Firman Allah SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.”

(Surah al-Baqarah: 152)

Menerusi ayat di atas, ia menunjukkan bahawa manusia wajib bersyukur kepada Allah SWT kerana kurniaan nikmat-Nya yang cukup banyak. (Lihat al-Minhaj fi Syu‘ab al-Iman, 2/545.)

Di samping itu, dengan bersyukur juga Allah SWT akan menambahkan nikmat pemberian-Nya kepada seseorang. Namun, sebaliknya bagi orang yang mengkufuri nikmat Allah SWT akan diseksa atau dibinasakan oleh Allah SWT. Ini merupakan janji Allah SWT di dalam al-Quran:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.”

(Surah Ibrahim: 7)

Ibn Kathir menyebut bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/479)

Dikatakan juga bahawa “لَأَزِيدَنَّكُمْ” di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply