Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 10 hingga 12 daripada Surah Nuh?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Ibn Kathir berkata hendaklah kamu kembali kepada Tuhan daripada perlakuan yang tidak baik dengan bertaubat. Ini kerana sesiapa yang bertaubat, pasti Allah menerima taubatnya sekalipun besar dosanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/231)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: ‘مِدْرَارًا’ adalah (hujan) yang turun dengan deras. (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam Kitab al-Tafsir, Surah Nuh, 8/666)

Dalam mentafsirkan ayat ‘وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ’, Atha’ berkata: Nescaya Allah akan membanyakkan harta dan anak-anak kamu. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/398)

Al-Qurtubi berkata: Dalam ayat ini juga, disebutkan dalam ‘وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ’ (Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya) [Surah Hud: 3], dan ia merupakan dalil yang menunjukkan bahawa istighfar adalah salah satu wasilah memohon diturunkan rezeki dan hujan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/302)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

Jika dilihat, Saidina Umar al-Khattab R.A turut berpegang dengan apa yang terkandung dalam ayat-ayat ini tatkala beliau memohon hujan daripada Allah SWT. Mutarrif meriwayatkan daripada al-Sya’bi, bahawa ‘Umar R.A keluar untuk memohon hujan bersama orang ramai. Dan beliau tidak lebih daripada mengucapkan istighfar (memohon ampun kepada Allah), lalu kemudian beliau pulang. Maka seseorang pun bertanya kepadanya: “Aku tidak mendengar kami memohon hujan’. Lalu ‘Umar pun menjawab: “Aku memohon diturunkan hujan dengan majadih[1] langit yang dengannya diharapkan bakal turun hujan.” Lalu beliau membaca ayat:

اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

(Surah Nuh: 10-11)

Hal yang sama juga dilakukan oleh Imam al-Hasan al-Basri, di mana beliau sentiasa menganjurkan istighfar (memohon keampunan) kepada setiap orang yang datang mengadu kepadanya tentang kefakiran, sedikitnya keturunan, kekeringan dan kegersangan kebun-kebun.

Al-Qurtubi menyebut satu riwayat daripada Ibn Sabih, bahawa dia berkata: “Terdapat seorang lelaki yang mengadu kepada al-Hasan al-Basri tentang kegersangan tanah, maka beliau berkata kepadanya, ‘Istighfarlah kepada Allah!’ Kemudian datang orang lain mengadu kepadanya tentang kemiskinan, maka beliau berkata kepadanya, ‘Istighfarlah kepada Allah!’ Datang pula orang lain berkata kepadanya, ‘Doakanlah (aku) kepada Allah, agar Dia mengurniakanku anak.’ Lalu al-Hasan berkata kepadanya, ‘Istighfarlah kepada Allah!’ Orang lain pula datang kepadanya mengadu tentang kekeringan kebunnya, maka beliau tetap berkata, ‘Istighfarlah kepada Allah!’

Dalam riwayat lain, disebut: “Maka al-Rabi’ bin Sabih berkata kepadanya, ‘Ramai orang yang mengadu pelbagai perkara, dan kamu memerintahkan mereka untuk beristighfar.’ Maka al-Hasan al-Basri menjawab, ‘Aku tidak mengatakan hal tersebut daripada diriku sendiri. Tetapi, sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

(Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/303; al-Muharrar al-Wajiz, 16/123; Ruh al-Ma’ani, 29/73)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Nota kaki:

[1] Majadih merupakan lafaz jamak bagi majdah, iaitu salah satu jenis bintang. Menurut bangsa Arab, ia merupakan bintang di mana jika ia muncul, ia menjadi petanda bahawa hujan akan turun. Maka ‘Umar R.A menjadikan istighfar sama dengan bintang-bintang tersebut, sebagai satu bentuk percakapan mengikut apa yang mereka ketahui. Sebelum itu, mereka sememangnya beranggapan bahawa adanya bintang tersebut merupakan petanda akan turun hujan. Dan itu bukan bermaksud ‘Umar berpendapat bahawa turunnya hujan disebabkan bintang-bintang tersebut. (Lihat Tafsir al-Khazin, 7/154)

Leave a Reply