Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. apakah maksud huquba berdasaarkan ayat 60 surah al-Kahfi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT berfirman:
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًۭا ٦٠ فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًۭا ٦١ فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًۭا ٦٢ قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًۭا ٦٣ قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًۭا ٦٤
Maksudnya: Ingatlah, Nabi Musa pernah berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai ke tempat pertemuan dua lautan atau aku akan terus berjalan biarpun bertahun lamanya.” Ketika mereka tiba di tempat pertemuan dua lautan, mereka terlupa ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut tanpa disedari. Apabila mereka melepasi kawasan pertemuan dua lautan itu, Nabi Musa berkata kepada pembantunya, “Ambilkan makanan tengah hari kita. Kita telah penat dalam perjalanan ini.” Pembantu Nabi Musa menjawab, “Ingatkah tuan ketika kita berehat di sebuah batu besar. Sesungguhnya aku terlupa ikan itu dan tiada yang melupakanku untuk memberitahunya melainkan syaitan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Nabi Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu mereka berpatah balik menjejak kesan laluan mereka.
(Surah al-Kahfi : 60-64)
Berkenaan persoalan makna huquba (حُقُبًا), ia bermaksud sejumlah masa atau tahun. Kalimah ini bermaksud perjalanan yang panjang tanpa batasan masa dan jarak. Nabi Musa A.S berazam untuk menempuh perjalanan yang panjang untuk menemui hamba Allah terpilih iaitu Nabi Khadir A.S di lokasi pertemuan dua laut. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/198)
Kami kemukakan juga di sini perbezaan pandangan para ulama tafsir mengenai maksud sebenar huquba (حُقُبًا) ini. Antaranya:
- Sejumlah masa seperti kata Ibn Abbas RAnhuma.
- 70 tahun seperti kata Mujahid.
- 70 ribu tahun seperti pendapat al-Hasan.
- 17 ribu tahun seperti kata Muqatil bin Hayyan.
- Muzakarah dengan ilmunya.
- Ia adalah tahun mengikut bahasa Qais seperti yang disebut oleh al-Farra’.
- Ia waktu yang tidak ditentukan seperti kata Abu Ubaidah.
- 80 tahun di mana setiap hari adalah 1000 tahun mengikut hari dunia.
- 80 tahun. Inilah pendapat Abdullah ibn Amr dan Abu Hurairah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”