Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kongsikan satu hadith berkenaan kasih sayang Allah SWT kepada hambanya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda nabi SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالْأُجُورِ؛ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ: أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرُ بِالمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌّ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ، وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرُ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ، أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ، كَانَ لَهُ أَجْرٌ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka bersolat sebagaimana kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedang kami tidak dapat melakukannya).

Rasulullah SAW bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu jalan untuk bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada yang makruf adalah sedekah, mencegah perkara yang mungkar adalah sedekah dan pada mendatangi isteri kamu (jimak) adalah sedekah.

Mereka bertanya: Ya Rasulullah, adakah sekiranya salah seorang daripada kami mendatangi isterinya (jimak) juga mendapat pahala? Baginda bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya dia melunaskan syahwatnya dengan cara yang haram, bukankah dia akan mendapat dosa? Demikianlah halnya jika perkara tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka dia akan mendapat pahala.”

Riwayat Muslim (1006)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa istifadah yang boleh kita ambil daripada hadith di atas, antaranya:

Pertama: Sahabat sentiasa berlumba dalam melakukan amalan kebajikan. Inilah generasi awal yang mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Mereka bertanya tentang golongan ahli Duthur, iaitu orang yang mempunyai harta yang banyak atau kaya yang mampu bersedekah sedangkan mereka yang miskin tidak mampu kerana ingin berlumba-lumba dalam kebajikan.

Kedua: Jawapan Baginda SAW menyenangkan bagi semua pihak termasuk golongan fakir dan yang tidak berada.

Ketiga: Segala bentuk ucapan yang mendekatkan diri kepada Allah adalah sedekah, seperti, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, al-amr bi al- ma’ruf wa nahyi ‘an al-mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Semua ucapan atau ungkapan ini dikira sebagai sedekah.

Keempat: Nabi SAW bersabda: “Menyeru kepada kebaikan adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah”. Menyatakan pengakuan bahawa setiap orang yang melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar sebagai melakukan sedekah, hal ini akan memperjelaskan makna tasbih dan perkara-perkara yang disebut sebelumnya, kerana amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah fardhu kifayah, kadang-kadang boleh menjadi sebagai kewajipan fardu ‘ain.

Dalam pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar perlu kepada ilmu, hikmah dan uslub yang baik. Ini akan memberi kesan yang besar kepada yang melakukannya dan memudahkan penerimaan pendengarnya.

Kelima: Sebahagian ulama berkata: “Ganjaran Pahala atas perbuatan wajib adalah tujuh puluh darjat di atas perbuatan sunnah, berdasarkan suatu hadith.”

 

Aplikasi Hadith dalam Kehidupan

Sifat Rasulullah SAW adalah menyelesaikan masalah ummah. Inilah yang dilakukannya kepada para sahabat yang miskin untuk beramal. Bersedekahlah sekiranya mampu, kerana sedekah adalah salah satu cara perhubungan antara manusia yang kaya dengan yang miskin.

Sedekah tidak semestinya dengan harta dan wang ringgit, sedekah juga boleh dilakukan dengan amalan ibadat seperti di dalam hadis di atas.

Nas di atas juga menunjukkan kefahaman sahabat yang sedekah adalah besar ganjarannya dan jalan menuju ke syurga Allah.

Jangan sesekali memandang rendah dan remeh terhadap setiap kebaikan dan kebajikan yang dilakukan. Hal ini kerana setiap kebaikan tersimpan pahala dan rahmat Allah SWT. Sekalipun ia kecil, tetapi ia lebih baik daripada seseorang yang tidak melakukan kebaikan tersebut kerana penilaian sebenar hanya di sisi Allah SWT.

Berlumba-lumbalah untuk berbuat kebaikan. Jika sekiranya kita tidak mampu bersedekah kerana kekurangan harta maka lakukanlah kebaikan yang lain seperti zikrullah, amar ma’ruf, nahi mungkar dan lain-lain. Sesungguhnya terlalu banyak nas yang melebihkan zikrullah daripada bersedekah.

Jadilah kita sebagai orang kaya yang bersyukur dan orang miskin yang sabar. Yakin dan percayalah dengan mengikut Hadyu Nabawi kita akan mencapai keredhaan Allah di dalam melayari bahtera kehidupan ini.

Info Lanjut: Bagi kefahaman yang lebih jelas dan menyeluruh berkenaan hadith di atas, anda boleh rujuk di buku kami, “Al-Kafi Syarah Hadis 40 karya Imam Nawawi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply