Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukuman bagi mereka yang murtad? Mohon penjelasan Dato. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Murtad

Dari segi bahasa murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan  (اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا) membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

Dari segi istilah, menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Dalil Larangan Murtad :

وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya : “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. “

(Surah al-Baqarah : 217)

Begitu juga, firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”

(Surah al-Maidah : 54)

Imam al-Nawawi berkata: “Riddah adalah memutus Islam dengan niat atau perkataan, atau dengan perbuatan, baik dengan mengatakan hal tersebut kerana mengolok-ngolok, atau kerana kedegilannya, atau kerana keyakinannya” (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 293)

Syarat Pelaksanaan Hukum

  1. Baligh dan berakal. Perbuatan murtad oleh kanak-kanak dan orang gila tidak akan diambil kira kerana mereka bukan mukallaf.Cuma penjaga kanak-kanak tersebut bertanggungjawab untuk menghukum, menegur dan meminta supaya dia bertaubat daripada apa yang lakukan atau dituturkannya.
  2. Diminta supaya bertaubat. Pesalah murtad tidak boleh dibunuh melainkan setelah diminta bertaubat terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, pesalah akan dibunuh sekiranya masih enggan bertaubat. Dia tidak akan diberi tempoh setelah enggan bertaubat.
  3. Kemurtadannya disahkan melalui pengakuan pesalah sendiri atau melalui saksi yang sahih dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukuman bagi orang yang murtad itu ada tiga. Hukuman bagi kesalahan murtad yang dikenakan kepada lelaki dan perempuan adalah sama. Apabila seorang lelaki atau perempuan yang telah baligh dan berakal melakukan sesuatu seperti yang digariskan sebelum ini sehingga membawa kepada kemurtadan, mereka akan tertakluk kepada hukum-hakam berikut (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/106):

  1. Pesalah murtad wajib diminta segera bertaubat dari kemurtadannya mungkin disebabkan oleh sesuatu salah faham yang timbul atau kerana rasa marah hingga menyebabkan hilang pedoman. Dengan ini, pesalah akan dibimbing semula kepada kebenaran dengan cara bertaubat dan nasihat. Di samping itu, perlu disedarkan tentang kesalahan dan akibat buruk perbuatannya.
  2. Pesalah diberi amaran tentang akibat buruk jika dia masih kekal murtad dan tidak menerima pelawaan supaya bertaubat. Dia hendaklah diberitahu bahawa dia akan dihukum bunuh jika masih mempertahankan kemurtadannya. Walaupun tindakan itu kerana keingkaran, keyakinan atau sekadar untuk mempersenda.
  3. Pesalah wajib dibunuh jika masih mempertahankan kemurtadannya tidak mahu bertaubat. Hukum ini berpandukan sabda Nabi SAW:

 مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh dia.”

Riwayat al-Bukhari (2854)

Akhir kalam, suka kami nasihatkan sebagai seorang Muslim, kita perlu melakukan beberapa perkara penting dalam kehidupan. Pertama, kita seharusnya gigih dalam mempelajari ilmu agama. Ini kerana ilmu agama akan memperkukuhkan keimanan dalam hati kita dan membantu kita memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam. Kedua, kita perlu berpegang teguh kepada akidah yang betul. Ini adalah asas yang kukuh untuk memastikan keimanan kita sentiasa bertambah dan juga dapat membantu kita menolak segala cubaan dan bisikan syaitan yang datang kepada kita.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu.”

Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak (1926)

Wallahua’lam

Leave a Reply