Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah berdoa bukan menagih PemberianNya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Dan sekiranya Allah SWT yang bersifat Maha Zahir serta berkemampuan memaparkan setiap sesuatu yang zahir lagi nyata, maka tidak sabit (pada makhluk) apabila dicapai dengan permohonan dan ditolak dengan sebab. Sedangkan kita sebagai hamba-Nya diperintahkan-Nya dengan sebab (iaitu berusaha) dan memohon permintaan semata-mata untuk mentahkikkan ubudiyyah kepada-Nya.”
لا يَكُنْ طَلَبُكَ تَسَبَّبَا إِلَى العَطَاءِ مِنْهُ، فَيَقِلَّ فَهُمُكَ عَنْهُ. وَلْيَكُنْ طَلَبُكَ لِإِظْهَارِ العُبُودِيَّةِ, وَقِيَامًا بِحُقُوقِ الرُّبُوبِيَّةِ.
Maksudnya: “Janganlah sampai kamu menganggap doa dan permintaanmu menjadi sebab turunnya pemberian Allah SWT, (dan sekiranya begitulah tanggapanmu) maka kuranglah kefahamanmu tentang-Nya. Tetapi, hendaklah berdoa dan permintaanmu itu semata-mata untuk menzahirkan sifat kehambaanmu kepada Allah SWT dan menunaikan hak-hak rububiyyah-Nya.”
Mafhum Hikmah
- Menzahirkan ubudiyah serta menunaikan kewajipan dengan segala hak Rububiyyah merupakan matlamat utama dan kefahaman yang sebenarnya, bukan mengharapkan permintaan kepada Allah SWT semata-mata.
- Sebahagian ulama berkata:
وَقَدْ جَفَّ الْقَلَمُ بِمَا أَنتَ لَاقٍ. وَفَرَغِ رَبُّكَ مِنْ أَرْبَعٍ: خَلْقٌ وخَلُقٌ ورزقٌ وأَجَلٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah kering pena kalam dengan (menulis) apa yang selayaknya bagimu, dan telah kosong (telah ditakdirkan) menurut Tuhan dalam empat perkara, iaitu: penciptaan makhluk, tingkah lakunya, rezekinya dan ajalnya.
- Syeikh Abu al-Hasan berkata:
لَا يَكُنْ حَظُّكَ مِنَ الدُّعَاءِ الفَرَحَ بِقَضَاءِ حَاجَتِكَ, دُونَ الفَرَحِ بِمُنَاجَاةِ مَولاكَ, فَتَكُونَ مِنَ المَحْجُوبِيْنَ
Maksudnya: “Tidak sepatutnya engkau berasa begitu gembira dengan tertunainya hajat permintaanmu, melainkan diselangi kegembiraan semasa bermunajat dengan Tuhanmu. (Jika tiada perasaan gembira ketika bermunajat), maka jadilah kamu daripada golongan yang dihijab.
Justeru, di samping kita berdoa, kita juga harus berusaha dengan bersungguh-sungguh sebelum meminta dan bertawakal kepada Allah SWT.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”