Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hadith permulaan Ramadhan, pertengahan dan kesudahannya, serta apa status hadith itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan mengemukakan hadith yang dimaksudkan. Sepertimana dalam riwayat Ibn Khuzaimah, daripada Salman al-Farisi, katanya: Rasulullah SAW berkhutbah pada hari terakhir daripada bulan Syaaban. Antara lain, sabda Baginda SAW:

وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ، وَمَنْ خَفَّفَ عَنْ مَمْلُوكِهِ فِيهِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ، وَأَعْتَقَهُ مِنَ النَّارِ.

Maksudnya: “Inilah bulan yang permulaannya Allah menurunkan rahmat, yang pertengahannya  Allah memberikan ampunan, dan yang terakhirnya Allah membebaskan hamba-Nya dari api neraka. Sesiapa yang meringankan tugasan hambanya pada bulan ini, maka Allah SWT akan mengampuninya dan membebaskannya daripada api neraka.”

Takhrij Hadith dan Komentar Ulama’

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1887) sambil mengulas sebelum meriwayatkan hadith ini dengan mengatakan:

بَابُ فَضَائِلِ شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ صَحَّ الْخَبَرُ

Maksudnya: Bab Kelebihan Bulan Ramadhan sekiranya khabar ini benar. Lihat Sahih Ibn Khuzaimah (3/191)

Di dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/95) oleh al-Munziri, tertinggal  perkataan “sekiranya” sehingga mereka berpendapat bahawa Ibn Khuzaimah berkata: “Hadith itu sahih”, walaupun Ibn Khuzaimah sebenarnya tidak menyatakan demikian.

Diriwayatkan juga oleh Al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab al-Iman (3608) di dalam bab ‘Keutamaan zaman’. Ia juga disebutkan oleh al-Suyuti di dalam kitab al-Dur al-Manthur dan berkata: Diriwayatkan oleh Al-‘Uqaili, tetapi dinyatakan lemah, juga diriwayatkan oleh Al-Asbahani dalam kitab al-Targhib. Ia juga disebutkan oleh al-Muttaqi di dalam kitab Kanz al-A’mal (8/477). Kesemua sanad mereka datang daripada jalur Said bin al-Musayyab daripada Salman al-Farisi. Hadith ini mempunyai sanad yang lemah kerana terdapat dua kecacatan, iaitu:

  1. Sanadnya terputus. Said bin al-Musayyab tidak mendengar hadith ini daripada Salman al-Farisi RA.
  2. Dalam sanad tersebut terdapat seorang perawi bernama Ali bin Zaid bin Jad’an. Ibn Sa’ad menyatakan: Dia lemah dan tidak boleh dijadikan dalil. Dia juga dilemahkan oleh Imam Ahmad, Ibn Ma’in, al-Nasa’i, Ibn Khuzaimah, Al-Jurjani dan selain mereka seperti yang disebutkan dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala (5/207).

Komentar ulama’ berkenaan hadith ini:

  • Abu Hatim al-Razi menghukumkan hadith ini munkar. (Lihat al-‘Ilal li Ibn Abi Hatim, 1/249)
  • Al-‘Aini berkata: Sanad hadith ini tidak sahih (Lihat Umdah al-Qari, 10/383)
  • Al-Syaukani berkata: Munkar (Lihat al-Fawaid al-Majmu’ah, 439)
  • Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Jalur utama bagi hadith ini alah Ali bin Zaid, dia merupakan seorang yang dhaif, manakala Yusuf bin Ziyad merupakan seorang yang dhaif jiddan, manakala Iyas bin Abd al-Ghaffar, aku tidak mengenalinya. (Lihat Ithaf al-Maharah, 5/560)
  • Al-Zahabi berkata: Iyaas bin Abi Iyaas (Abd al-Ghaffar), daripada Sa’id bin al-Musayyab tidak diketahui periwayatannya dan khabarnya adalah munkar. (Lihat Mizan al-I’tidal, 1/282)
  • Syeikh Nasiruddin al-Albani pula menyatakan: Hadith ini Munkar. (Lihat al-Silsilah al-Dha’ifah, 2/262)

Selain itu, di dalam hadith ini juga, terdapat lafaz-lafaz yang syubhah, seperti pembahagian bulan kepada tiga bahagian, sepuluh hari pertama kerahmatan, sepuluh (kedua) hari keampunan, sepuluh (ketiga) hari pembebasan daripada azab neraka. Hal ini kerana tidak ada hadith sahih yang boleh menguatkan kenyataan ini. Sesungguhnya fadhilat Allah itu luas, dan bulan Ramadhan kesemuanya mengandungi rahmat, keampunan dan juga pembebasan daripada api neraka.

Begitu juga dengan lafaz ” Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah di bulan ini dengan satu kebaikan (amalan sunnah), maka pahalanya seperti dia melakukan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain.” Juga memerlukan kepada dalil yang sahih yang menyokongnya. Dalam hadith ini juga terdapat lafaz: Sesiapa yang melakukan amalan fardhu di bulan ini, maka pahalanya seperti pahala melakukan 70 amalan fardhu di bulan lainnya.” Penentuan gandaan ini juga perlu diteliti. Hal ini kerana kebaikan digandakan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda pada bulan Ramadhan dan juga selain Ramadhan. Tidak ada pengkhususan dalam hal ini selain puasa, kerana pahala puasa itu (sangat) besar tanpa ada ketetapan ganjarannya. Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda berkenaan firman Allah SWT di dalam sebuah hadith qudsi:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Maksudnya: “Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, dan Aku yang akan membalasnya.

Riwayat al-Bukhari (5827)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hadith berkenaan “Awal Ramadhan rahmah, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya pembebasan daripada neraka,” merupakan hadith yang “Dha’if Jiddan”, iaitu tersangat lemah sebagaimana yang hujah-hujah yang dikemukakan oleh para ulama’ hadith.

Namun begitu, walaupun sanad hadith ini bermasalah, namun tidak semua matan atau teks di dalam hadith ini bermasalah, hal ini kerana terdapat banyak hadith-hadith sahih yang menyokong beberapa fadhilat di dalamnya seperti malam al-Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, kelebihan memberi makan untuk orang berbuka puasa dan yang lain-lain.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply