Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum Wanita yang baru sedar keluar haid semasa tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Apabila seorang wanita mendapati kedatangan haidnya semasa melakukan tawaf, maka hendaklah dia menghentikan tawaf tersebut. Ibadah tawaf tidak boleh dilakukan dalam keadaan berhadas, dan tawaf yang diteruskan dalam keadaan ini adalah batal. Ini kerana syarat sahnya tawaf adalah suci daripada hadas. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seseorang itu sekiranya dia dalam keadaan tidak suci (daripada hadas).

Riwayat Muslim (224) dan al-Tirmizi (1)

Al-Mubarakfuri berkata: Sabda Baginda, ‘لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ’, iaitu dengan dhammah pada huruf Ta’ (ط), dan yang dimaksudkan adalah lebih umum daripada wuduk dan mandi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 1/22)

Di dalam sebuah hadith, Ummu al-Mukminin ‘Aisyah R.Anha menceritakan:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: ‘Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah’.”

Riwayat al-Bukhari (294) dan Muslim (1211)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini merupakan dalil bahawa wanita yang didatangi haid atau nifas dan orang yang berhadas, sah untuk mereka melakukan kesemua amal perbuatan dalam haji (begitu juga umrah), zikir-zikir serta kaifiyyatnya, kecuali bertawaf dan solat sunat tawaf. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/146)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply