Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Abu Hanifah sangat takut kepada Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: “Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)”.

(Surah Fathir:28)

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/332)

Imam Abu Hanifah dikenali sebagai seorang yang sangat takut kepada Allah SWT. Suatu hari beliau mendirikan solat isya’ di masjid sebagai makmum. Imam Abu Hanifah pada malam tersebut membaca surah al-Zalzalah.

Selesai mendirikan solat, beliau dilihat duduk bersendirian di dalam masjid, berfikir, serta menarik nafas, mengenangkan ayat terakhir daripada surah tersebut. Hal ini berterusan sehinggalah masuknya waktu subuh. Kemudian Abu Hanifah berkata:

يَا مَنْ يَجْزِي بِمِثْقَالِ ذَرَّةٍ خَيْرٍ خَيْرًا وَيَا مَنْ يَجْزِي ببِمِثْقَالِ ذَرَّةٍ شَرٍّ شَرًّا أَجِرِ النُّعْمَان عَبْدَكَ مِنَ النَّارِ وَمَا يُقَرِّبُ مِنْهَا مِنَ السُّوءِ وَأَدْخِلْهُ فِي سَعَةِ رَحْمَتِكَ

Maksudnya: “Wahai Allah yang membalas sebesar zarah kebaikan dengan kebaikan, wahai Allah yang membalas sebesar zarah kejahatan dengan kejahatan, peliharalah hamba-Mu al-Nu‘man daripada api neraka dan segala kejahatan yang mendekatkan dirinya kepadanya. Serta Engkau masukkanlah dia ke dalam keluasan rahmat-Mu.

Setelah itu, beliau pun mendirikan solat sunat fajar sebanyak dua rakaat, beliau duduk sehingga iqamah dikumandangkan, seterusnya mendirikan solat subuh secara berjemaah dengan wuduk isya’. (Lihat Tarikh Baghdad, 15/487).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply