Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah qadha’ solat secara berjemaah, contohnya saya dan suami tertinggal solat isyak kerana tertidur. Bolehkah kami qada’ solat isyak semalam secara berjemaah? ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan suatu kewajipan harian  yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim kerana ia merupakan salah satu rukun dari rukun-rukun islam Oleh yang demikian barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja atau tidak sengaja maka, diwajibkan ke atasnya untuk menggantikan balik solat yang ditinggakan tersebut. Hal ini kerana Ia merupakan hutang kepada  Allah SWT dan ia hendaklah dibayar sama seperti kefardhuan solat mengikut mazhab Syafi’i.

Perkara ini  berdasarkan hadith Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Seterusnya solat perlu diqadha’ berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).

Riwayat al-Bukhari (597)

Jelaslah kepada kita bahwa berdasarkan hadith-hadith di atas  sekiranya seseorang itu meninggalkan solat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat tersebut sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja ataupun dengan keuzuran

Al-Qurtubi menyatakan : Bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka majoriti ulama bersepakat  bahawa ia wajib untuk menqadhakan solat tersebut walaupun mereka berdosa. Beliau berkata lagi: Perbezaan antara yang melakukannya dengan sengaja, dengan yang lupa, dan yang tidur adalah dosa. Yang melakukannya dengan sengaja maka ia telah berbuat dosa dengan meninggalkan kewajipan. Oleh yang demikian  semua keadaan tersebut wajib menqadhakan balik solat yang ditinggalkan. Jumhur ulama berhujah dengan firman Allah SWT :

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

(Surah Taha:14)

Tidak ada perbezaan sama ada ia dilakukan pada waktunya atau selepasnya, dan hal ini merupakan perkara yang menunjukkan kewajipan. Tambahan pula, telah disepakati kewajipan menqadha bagi yang tidur dan yang lupa walaupun mereka tidak berdosa. Oleh itu, yang melakukannya dengan sengaja  maka ia lebih diutamakan.”(Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran,11/178)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menunaikan solat qadha’ secara berjamaah adalah diharuskan. Ini kerana Rasulullah SAW pernah melakukannya bersama sahabat Baginda ketika mereka terlepas waktu solat subuh disebabkan tertidur setelah kembalinya mereka dari perang khaibar.  Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang panjang yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa beliau berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ حين قفل من غزوةِ خَيبرَ، سار ليلَه حتى إذا أدركَه الكَرى عَرَّسَ، وقال لبلالٍ: «اكلَأْ لنا اللَّيلَ»، فصَلّى بلالٌ ما قُدِّرَ له، ونام رسولُ اللهِ ﷺ وأصحابُه، فلمّا تقارب الفَجرُ استند بلالٌ إلى راحِلَتِه مُواجِهَ الفَجرِ، فغَلَبت بلالًا عيناه وهو مُستَنِدٌ إلى راحلَتِه، فلم يستيقِظْ رسولُ اللهِ ﷺ، ولا بِلالٌ، ولا أحَدٌ من أصحابِه حتى ضربَتْهم الشَّمسُ، فكان رسولُ اللهِ ﷺ أوَّلَهم استيقاظًا، ففَزِع رسولُ اللهِ ﷺ، فقال: «أيْ بِلالُ» فقال بلالٌ: أخذ بنَفْسِي الذي أخَذَ -بأبي أنتَ وأمِّي يا رَسولَ اللهِ- بنَفْسِك، قال: «اقتادُوا»، فاقتادُوا رواحِلَهم شيئًا، ثمَّ توضَّأَ رَسولُ اللهِ ﷺ، وأَمَرَ بلالًا فأقام الصَّلاةَ، فصَلّى بهم الصُّبحَ، فلَمّا قضى الصَّلاةَ قال: «من نَسِيَ الصَّلاةَ فلْيُصَلِّها إذا ذكَرَها»، فإنَّ اللهَ قال: ﴿أَقِمِ الصَّلاةَ لِذِكْرِي﴾ [طه: ١٤] قال يونُسُ: وكان ابنُ شِهابٍ يَقْرَؤُها: «للذِّكْرى».

Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW pulang dari peperangan Khaibar, beliau terus berjalan pada waktu malam. Apabila rasa mengantuk menyerang, beliau berhenti berehat. Beliau berkata kepada Bilal: “Kau harus menjaga kami tidur malam ini!” Bilal kemudian menunaikan solat sebaik yang mampu, sementara Rasulullah SAW tidur. Begitu juga dengan para sahabatnya. Apabila pagi semakin dekat, Bilal bersandar kepada untanya, tetapi matanya semakin berat hingga tertidur dengan bersandar kepada untanya. Pada pagi itu, Rasulullah SAW dan Bilal masih belum bangun, begitu juga dengan para sahabatnya, sehingga mereka terbangun oleh sinar matahari yang menyengat. Rasulullah SAW akhirnya menjadi yang pertama bangun. Beliau terkejut dan memanggil, “Bilal!” Bilal menjawab, “Ya Rasulullah, tadi nyawa saya hampir diambil oleh Pemegang Nyawa Anda, demi ibu bapa saya sebagai tebusan bagi Anda!” Beliau kemudian berkata, “Bawa haiwan tunggangan .” Para sahabat kemudian menuntun haiwan tunggangannya, lalu Rasulullah SAW berwuduk. Beliau memerintahkan Bilal untuk mengumandangkan iqamat solat. Setelah itu, beliau menjadi imam bagi solat Subuh bersama mereka. Setelah solat selesai, beliau berkata, “Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu, kerana Allah berfirman, “Tunaikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha, ayat 14).

Riwayat Muslim(680)

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW memimpin solat qadha Subuh bersama para sahabat yang  menunjukkan bahawa akan keharusan melakukan solat qadha secara berjamaah. Hadith  ini juga menjadi dalil akan kewajipan menggantikan solat yang ditinggalkan, baik dengan sengaja mahupun tidak. Amalan ini penting bagi memastikan ketaatan kepada perintah Allah dan tanggungjawab harian kita terlaksana dengan sempurna.

Telah dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa : Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa berjamaah dalam solat qadha adalah diharuskan. Ulama Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah secara jelas menyatakan disunatkan untuk melakukan secara berjamaah  dalam solat qadha’. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, hlm. 34/39 )

Justeru kami katakan di sini sesorang yang mempunyai solat qadha yang ditinggalkan adalah diharuskan baginya untuk melakukannya secara berjemaah bahkan digalakkan. Ini kerana sebahagian ulama berpandangan ianya sunat dialakukan secara berjamaah. Yang demikian tidak dinafikan  bahawa solat yang dilakukan secara berjemaah adalah lebih afdhal berbanding dilakukan secara bersendirian dan ganjarannya amatlah besar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahua’lam.

Leave a Reply