Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya bekerja di sebuah pusat servis kenderaan di Shah Alam. Ada segelintir pelanggan yang membeli minyak enjin kenderaan tetapi tidak mengisi semuanya dan lebihan minyak itu sudah banyak. Adakah boleh saya menggunakan minyak lebihan yang pelanggan tidak mahu bawa pulang untuk kegunaan pada kenderaan saya?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.(Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Justeru, secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya

Dalam menjawab bagi persoalan, kami berpendapat bahawa tidaklah menjadi satu kesalahan bagi saudara untuk mengambil lebihan minyak yang ditinggalkan oleh pelanggan. Ini disebabkan minyak tersebut telah ditinggalkan dan secara umumnya boleh dianggap sebagai barang yang dikeluarkan oleh pemiliknya. Selain itu, tindakan ini juga membantu mengelakkan pembaziran minyak yang mungkin berlaku jika ia dibuang begitu sahaja. Oleh itu, saudara dibenarkan untuk memanfaatkan minyak tersebut.

Yang demikian juga sebagaimana uruf dan adat setempat di mana susuatu yang berbaki yang ditinggalkan oleh pembeli boleh diambil dan dimanfaatkannya. Hal ini sebagai kaedah menyebut:

الْعَادَةُ مُحَكَمَةٌ

Maksudnya: “Adat itu boleh dijadikan hukum. “ (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 1/388)

Jika tiada nas yang menyalahinya pada asal atau ada tetapi bersifat umum, maka adat tersebut boleh dijelaskan mengikut penerangan- nya. Asal kaedah ini ialah ucapan Ibn Mas’ud:

مَا رَأَهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ قَبِيحًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ قَبِيحٌ.

Maksudnya: “Apa yang orang Islam melihat kebaikan maka ia dianggap baik di sisi Allah dan apa yang mereka lihat keburukan maka ia dianggap buruk di sisi Allah.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3602)

Al-Sarakhsi berkata: “Prinsip ini adalah ma’ruf (diketahui ramai), dan apa yang dikenali oleh orang ramai dan tidak ada nas yang membatalkannya, maka ia adalah harus.” (Lihat al-Mabsut, 12/45)

Di sini dinyatakan bahawa uruf balad (setempat atau negeri tertentu) juga boleh diambil kira sebagai perundangan yang sewajarnya diterima pakai. (Lihat Kalimah Allah Isu dan Penyelesaiannya, hlm.48-50)

Sebagai kesimpulannya, isu ini bergantung pada adat dan uruf setempat. Menurut adat di tempat kita, sisa-sisa yang sedikit yang ditinggalkan oleh pelanggan boleh diambil dan dimanfaatkan. Namun, lebih baik untuk memohon izin terlebih dahulu dari pelanggan sebelum mengambilnya. Tindakan ini tidak hanya memberikan ketenangan tetapi juga menenangkan jiwa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply