Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada orang tanya saya soalan ini iaitu dia bergegas untuk mengajar sesi petang sehingga kadang-kadang tidak sempat makan pun. Manakala bilik solat dengan tandas pun jauh. Soalannya, dia mengalami keputihan dan wuduk ada lagi, tetapi kalau cuci pakai tisu dan tukar panty liner sahaja boleh ke? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu “keputihan”. Secara umumnya, keputihan atau leukorrhea ialah cecair keputihan, kekuningan, atau kehijauan yang keluar daripada faraj wanita adalah sesuatu yang mungkin normal atau mungkin merupakan tanda jangkitan. Pelepasan cecair sedemikian mungkin berasal dari faraj, ovari, tiub fallopio, atau paling biasa, serviks. Leukorrhea mungkin berlaku semasa kehamilan dan dianggap normal apabila lelehan nipis, putih, dan tidak berbau. Leukorea fisiologi adalah keadaan normal yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan hingga satu tahun dari permulaan haid pada remaja perempuan dan kadangkala terdapat pada kanak-kanak perempuan yang baru lahir, biasanya berlarutan satu hingga dua bulan. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, leukorrhea adalah tanda jangkitan, terutamanya apabila lelehan berwarna kuning atau hijau, mempunyai bau yang menyinggung, dan disertai dengan kerengsaan, gatal-gatal, sakit, atau keradangan tisu.[1]

Dalam portal rasmi Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinyatakan bahawa masalah keputihan atau lelehan lendir berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita merupakan suatu masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia. Statistik menunjukkan hampir 75% wanita yang sudah berkahwin berhadapan dengan masalah keputihan berikutan oleh aktiviti seksual. Ramai wanita tidak mempunyai kesedaran terhadap risiko dan bahaya penyakit keputihan malah menganggap ia sebagai suatu petanda lazim sebelum kitar haid. Setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan asas yang mampu membezakan pengeluaran lelehan lendir faraj secara semula jadi dengan penyakit keputihan yang serius yang memerlukan rawatan perubatan.

Keputihan terbahagi kepada dua jenis, iaitu keputihan fisiologis dan keputihan patologik. Keputihan yang bersifat fisiologis biasanya normal dan tidak menunjukan gejala penyakit. Keputihan jenis ini sering berlaku semasa seseorang wanita mengalami kesuburan dan sebelum menstruasi (kitar haid). Lelehen lendir yang normal selalunya berwarna putih atau krim, tidak berbau serta tidak menyebabkan gatal pada bahagian faraj. Lendir yang dikeluarkan adalah sedikit dan berbentuk cecair. Keputihan patologik bersifat lebih kronik dan menunjukan tanda-tanda penyakit seperti mengeluarkan lendir yang kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada bahagian faraj. Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal di mana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Sebaliknya, keputihan patologis disebabkan oleh jangkitan kuman (bakteria dan/atau kulat) perlu dirawati.[2]

Keputihan ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinja’. (Lihat Hasyiah Jamal, 1/178). Selain itu, hasil kajian beberapa wanita mendapati cecair keputihan menyerupai warna gam pekat yang  berwarna putih atau hingus yang berwarna putih dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan  dan sedikit hijau. (Lihat Tuhfah al-A‘izza, hlm242).

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada dua perbahasan iaitu berkenaan dengan statusnya dan juga berkenaan membersihkannya.

Berkenaan dengan statusnya, sama ada dikira sebagai najis atau tidak, Imam al-Syafi‘i ada menyebutkan bahawa setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani. (Lihat al-Umm, 1/72).

Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada bahagian dalam faraj (batin faraj) selain air mani, maka statusnya adalah najis. Justeru, keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinja’). Namun, jika cecair keluar dari kawasan faraj yang wajib dibasuh dinamakan sebagai rutubah jaufiyyah (رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal  1/178; Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib, 1/108).

Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin  berpendapat, keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan  keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran  (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Uthaimin, 1/284-285).

Justeru, jelaslah bahawa keluarnya keputihan daripada faraj membatalkan wuduk wanita tersebut kerana ia keluar daripada salah satu saluran; qubul dan dubur. Begitu juga keputihan ini dihukumkan sebagai najis kerana ia keluar dari bahagian had batin faraj.

Seterusnya, berkenaan perbahasan kedua iaitu berkenaan cara membersihkannya. Sebagaimana yang kita ketahui, keputihan dihukumkan sebagai najis, maka ia hendaklah dibersihkan sebagaimana cara membersihkan najis mutawassitah. Najis mutawassitah hendaklah dibersihkan dengan air mutlak. Jadi, kami katakan bahawa sekadar menukar panty liner sahaja belum lagi memadai bagi membersihkannya, selagi mana belum dibasuh dengan air mutlak.

Kemudian, berkenaan membersihkannya dengan tisu. Sebenarnya ia termasuk dalam permasalahan beristinja’. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, istinja’ ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar air kecil atau air besar. Dinamakan perbuatan tersebut dengan istinja’ di sisi syarak kerana orang beristinja’ berusaha untuk melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya istinja’ dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah tinggi dan seumpamanya, dan hukum istinja’ ini adalah wajib.

Harus beristinja’ dengan air mutlak. Ia merupakan cara asal bersuci daripada najis. Begitu juga harus istinja’ dengan menggunakan semua pepejal yang kesat dan boleh menghilangkan najis seperti batu, daun dan seumpamanya.

Cara istinja’ yang afdhal ialah beristinja’ dengan batu dan seumpamanya terlebih dahulu, kemudian menggunakan air. Ini adalah kerana batu terlebih dahulu menghilangkan ain najis dan air yang digunakan selepasnya pula akan menghilangkan kesan-kesannya tanpa bercampur dengan ain najis tersebut.

Sekiranya ingin menggunakan satu daripada kedua-duanya maka air adalah afdhal kerana ia sahaja yang boleh menghilangkan ain najis dan kesan-kesannya, berbanding dengan menggunakan benda-benda yang lain.

Sekiranya menggunakan batu sahaja dan seumpamanya maka disyaratkan benda yang digunakan itu kering. Batu itu hendaklah digunakan sebelum najis yang keluar daripada qubul dan dubur itu menjadi kering atau tidak mengalir keluar daripada kawasan punggung atau kepala zakar dan tempat keluar kencing orang perempuan. Begitu juga ia tidak terkena tempat lain selain tempat yang terkena najis ketika ia keluar.

Sehubungan itu, disyaratkan sekurang-kurangnya sapuan adalah dengan tiga biji batu atau benda-benda lain yang boleh digunakan untuk beristinja’. Sekiranya masih belum bersih, tambahlah bilangannya, dan sunat dengan bilangan yang ganjil seperti lima, tujuh dan seterusnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/45-46).

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ الْخَلاَءَ، فَأَحْمِلُ أَنَا وَغُلاَمٌ نحوي إِدَاوَةً مِنْ مَاءٍ، وَعَنَزَةٍ، فيَسْتَنْجِي بِالْمَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke tandas, dan aku bersama-sama seorang budak sebayaku membawa sebekas air dan sebatang besi pendek. Lalu Baginda SAW beristinja’ dengan air itu.

Riwayat al-Bukhari (149) dan Muslim (271)

Hadith seterusnya, daripada Ibn Mas‘ud R.A, berkata:

أَتَى النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَائِطَ، فَأَمَرَنِى أَنْ آتِيَهُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ

Maksudnya: Nabi SAW pergi ke lurah untuk buang air, kemudian Baginda menyuruh aku membawa tiga biji batu kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (155) dan yang lainnya

Jelaslah bahawa penggunaan air dalam beristinja’ bukanlah suatu perkara yang wajib. Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama mazhab Syafi‘i bersepakat harus untuk beristinja’ menggunakan batu dan benda-benda lain seumpamanya yang menepati syarat-syarat alat istinja’ yang ditetapkan oleh para ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/130).

Syarat-syarat sesuatu yang selain air boleh untuk dijadikan sebagai alat istinja’ ada empat iaitu:

  • Pertama, hendaklah benda tersebut sesuatu yang suci dan bukan najis mahupun mutanajjis (sesuatu yang terkena najis).
  • Kedua, hendaklah benda tersebut berbentuk pepejal. Justeru, tidak sah jika benda itu berbentuk cecair seperti air mawar.
  • Ketiga, hendaklah benda tersebut kesat. Oleh itu, tidak sah guna kaca mahupun kayu tebu.
  • Keempat, hendaklah benda tersebut bukan sesuatu yang dihormati. Justeru, tidak sah guna tulang binatang, semua makanan manusia, begitu juga kertas-kertas yang terdapat padanya tulisan-tulisan yang dihormati seperti ilmu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 106).

Oleh itu, antara bahan-bahan kesat dan kering yang boleh menggantikan air bagi istinja’ ialah tisu. Ini memandangkan tisu itu dilihat menepati syarat-syarat sebagai alat istinja’ serta ia mampu untuk menghilangkan najis dan membersihkan anggota badan. Justeru, kami katakan bahawa membersihkan keputihan dengan menggunakan tisu sebagai alat untuk berintinja’ dengan syarat-syaratnya sekalipun ada air, dan jika dia mendirikan solat selepas itu, solatnya adalah sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.britannica.com/science/leukorrhea. Diakses pada 7 May 2024.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/penyakit-keputihan/. Diakses pada 7 May 2024.

Leave a Reply