Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang hukum bacaan pada tahiyat akhir. Apa hukumnya kita membaca selawat ke atas Nabi Ibrahim A.S? Jikalau tidak membaca selawat tersebut selepas selawat ke atas Nabi SAW, adakah sah solat kita?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat merupakan kewajiban yang telah diketahui dalam agama Islam secara pasti, dan ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Tuntutan dari Allah SWT untuk mendirikan solat ini,  bermaksud kewajiban mendirikan solat lima waktu pada waktu-waktunya dan dalam tempoh-tempoh yang telah ditetapkan. Maknanya, wajib dizahirkan setiap sifat solat itu dengan disertai seluruh syarat-syaratnya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/88; al-Muharrar al-Wajiz, 1/136)

Antara rukun dalam solat adalah bacaan selawat pada tahiyyat akhir, dan ini disokong oleh hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللهَ هُوَ السَّلاَمُ، فَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ، فَلْيَقُلْ: ’التَّحِيَّاتُ لِلّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ‘، فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمُوهَا أَصَابَتْ كُلَّ عَبْدٍ لِـلَّهِ صَالِحٍ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Salam itu ialah Allah. Apabila salah seorang daripada kalian solat maka ucapkanlah:

التَّحِيَّاتُ لِلَّـهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

(Segala ucapan penghormatan milik Allah, demikian juga amal ibadah dan kebajikan hanya untuk Allah. Semoga kesejahteraan ke atas engkau wahai Nabi, demikian pula rahmat serta hidayah-Nya. Semoga keselamatan tetap ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh).

Sesungguhnya apabila kalian mengucapkannya, maka doa ini akan diperolehi kepada setiap hamba Allah yang soleh baik di langit mahupun di bumi.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

(Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad ialah hamba Allah dan utusan-Nya).”

Riwayat al-Bukhari (831) dan Muslim (402)

Al-‘Allamah Ibn Ruslan al-Ramli menyebutkan di dalam Safwah al-Zubad:

ثُمَّ التَّشَهُّدُ الأَخِيرُ فَاقْعُدِ           فِيهِ مُصَلِّيًا عَلَى مُحَمَّدِ

“Kemudian (daripada rukun) bacaan tasyahhud akhir ketika duduk (tahiyyat),

           padanya perlu berselawat ke atas Muhammad.”

Bacaan selawat pada tahiyyat akhir ini telah sedia kita pelajari sedari kecil lagi, dan ini disebutkan oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf, bahawa bacaan paling ringkas bagi selawat adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Ya Allah, berilah rahmat kepada Nabi Muhammad.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 224)

Imam al-Nawawi pula berpendapat bahawa selawat yang paling ringkas adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Ya Allah, berilah rahmat kepada Nabi Muhammad dan keluarga Baginda.”

Adapun tambahan selepas selawat ke atas Nabi Muhammad SAW tersebut, maka hukumnya adalah sunat. Lafaz tambahan ini disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْت عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إنَّك حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya: “Ya Allah, rahmatilah Muhammad dan keluarga Baginda sebagaimana Engkau telah merahmati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Baginda sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/382)

Meneliti teks selawat di atas, kita fahami bahawa selawat Ibrahimiyyah atau selawat kepada Nabi Allah Ibrahim A.S dihukumkan sebagai sunat sahaja, dan tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu tidak membaca selawat ke atas Nabi Allah Ibrahim A.S. Solat tersebut juga sah dan tidak perlu digantikan semula kerana meninggalkan perkara yang sunat.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara. Semoga ia memberikan kefahaman yang baik kepada kita dalam beramal. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply