Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah datuk atau nenek membuat aqiqah untuk cucunya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya
Aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)
Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Riwayat al-Bukhari (2839)
Hadith ini merupakan dalil pensyariatan aqiqah apabila seseorang bayi itu dilahirkan. Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkadah bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.
Riwayat Abu Daud (1522)
Berdasarkan hadith di atas, dapatlah difahami bahawa jika seseorang bayi itu dilahirkan, maka disunatkan untuk dilaksanakan aqiqah ke atasnya dengan bilangan sebanyak dua ekor kambing bagi lelaki dan seekor kambing bagi perempuan. Ini juga berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:
مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”
Riwayat Abu Daud (2842)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum melaksanakan aqiqah ini adalah disunatkan. Dalam isu saudara, dibolehkan bagi seorang datuk untuk melakukan aqiqah buat cucunya. Hal ini dibenarkan meskipun ayah kepada bayi tersebut masih hidup. Ini kerana boleh jadi bapa kepada bayi tersebut tidak berkemampuan dari sudut kewangan ataupun boleh jadi kerana kasih sayang seorang datuk kepada cucunya.
Rasulullah SAW telah meng’aqiqah untuk cucunya Hasan dan Husain. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
أَنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَاْلحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW meng’aqiqahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy setiap seorang.”
Riwayat Abu Dawud (2841). Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Takhrij Misykah al-Misbah (4/138) menyatakan bahawa hadith ini hasan.
Dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr RA, katanya:
أنَّ النبيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالحُسَيْنِ عَن كُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا كبشَينِ اثْنَيْنِ مِثلَينِ مُتَكَافِئَينِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meng’aqiqahkan al-Hasan dan al-Husain dua ekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7799). al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (4/382) menyebutkan bahawa sanadnya tidak mengapa kerana padanya terdapat syawahid.
Bahkan sekiranya bapa kepada bayi tersebut mampu untuk melakukan aqiqah, namun datuk kepada bayi tersebut ingin melakukan aqiqah buat cucunya itu, maka hal ini dibolehkan dengan keizinan dari ayah bayi tersebut.
Sekiranya tidak ada keizinan dari bapa kepada bayi, maka aqiqah tersebut juga dianggap sebagai sah. Namun kami menyatakan bahawa yang afdhal adalah dengan meminta izin bapa kepada bayi tersebut sebagai cara keluar dari khilaf disebabkan ada sebahagian ulama yang mensyaratkan perlu kepada keizinan bapa.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah: 201)