Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah duit kutipan masjid digunakan untuk menyediakan juadah berbuka di masjid? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah Baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa. Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit daripada hadith Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”
Riwayat al-Tirmizi (807)
Imam Izzuddin al-Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” ( Lihat Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam, hlm. 18)
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”
(Surah al-An’am:160)
Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Imam al-Tabari menerangkan: “Barangsiapa yang menolong seorang mukmin dalam melakukan amal kebaikan, maka orang yang menolong tersebut akan mendapat pahala sama dengan si pelaku kebaikan tadi. Rasulullah SAW memberi khabar bahawa orang yang mempersiapkan segala perlengkapan perang bagi orang yang ingin berperang, maka dia akan mendapatkan pahala orang yang pergi berperang. Begitu pula orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa atau menyumbang tenaga melalui pengagihan makanan bagi orang yang berpuasa, maka dia pun akan mendapatkan pahala orang yang berpuasa.”(Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 5/51)
Imam al-Munawi menjelaskan bahawa memberi makan orang yang berpuasa di sini boleh jadi dengan makna hidangan makan malam yang lengkap, atau dengan kurma. Jika tidak mampu dengan itu, maka boleh juga dengan seteguk air.”(Lihat Faidh al-Qadir, 6/187)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa wang sedekah yang disalurkan ke masjid adalah untuk kegunaan dan pengimarahan masjid. Oleh itu, tidak menjadi satu kesalahan bagi ahli jawatankuasa masjid menggunakan wang tersebut bagi tujuan kebajikan atau aktiviti pengimarahan. Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan ahli jawatankuasa untuk mengurus wang kutipan tersebut dengan hemat dan cermat.
Dalam isu ini kami melihat, menjamu dan menyediakan juadah berbuka puasa di masjid juga termasuk dalam aktiviti pengimarahan masjid. Yang demikian juga antara cara menarik orang ramai untuk datang ke masjid khususnya pada bulan Ramadhan. Selain itu amalan memberi makan juga selari dengan apa yang telah dianjurkan oleh syarak sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Salam, ketikamana Nabi SAW sampai ke kota Madinah, Baginda SAW bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلاَمَ ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ
Maksudnya: “Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”
Riwayat al-Tirmizi (2485), Ibnu Majah (3251) dan Ahmad (5/451)
Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Khattabi berkata: “Nabi SAW menjadikan (memberi makan) sebagai seafdhal amalan di mana ia menjadi penguat kepada badan.” (Lihat a’lam al-Hadith, 1/149)
Begitu juga diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman.”
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Justeru, pengurusan yang baik dan telus terhadap wang kutipan ini akan memastikan bahawa segala aktiviti yang dianjurkan dapat memberi manfaat yang maksimum kepada komuniti masjid. Oleh yang demikian, tidaklah salah bagi ahli jawatankuasa masjid menggunakan kutipan tersebut bagi menganjurkan program-program yang bermanfaat, termasuklah menyediakan juadah berbuka puasa atau mengadakan program iftar perdana dan sebagainya.
Kami cadangkan untuk keluar dari sebarang khilaf, wujudkan sebuah tabung Iftar Ramadhan/Raya yang berfungsi untuk jamuan buka puasa, moreh dan juga makan termasuk hari raya.
Di sini, kami ingin menasihati ahli jawatankuasa masjid untuk memastikan bahawa setiap perbelanjaan yang dilakukan selaras dengan niat para penderma dan mematuhi garis panduan syariah. Ini termasuklah menyediakan laporan kewangan yang terperinci dan telus, agar kepercayaan komuniti terhadap pengurusan masjid sentiasa terpelihara.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Wallahua’lam.