Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tahu mencukur bulu kening adalah diharamkan, tetapi bagaimana pula dengan bulu yang tumbuh di antara bulu kening? Adakah boleh kita menghilangkannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mendefinisikan dahulu bulu kening itu atau dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai al-Hajib (الحَاجِب). Dikatakan bahawa al-hajiban (الحَاجِبَانِ) bermaksud dua tulang yang berada di atas kedua-dua mata dengan daging dan bulunya. Ia dinamakan sedemikian kerana ia seperti penghalang bagi mata dalam melindungi mereka. Selain itu, ada yang berpendapat al-Hajib (الحَاجِب) bermaksud bulu yang tumbuh di atas tulang, dan ia dinamakan sedemikian kerana ia menghalang sinar matahari daripada mata. Maknanya dari segi istilah tidak terkeluar daripada maknanya dari segi bahasa. (Lihat Taj al-‘Arus, 2/241 dan al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/241).
Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa bulu kening termasuk dalam bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Ini berdasarkan riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4886) dan Muslim (2125)
Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menukilkan kata-kata Imam Abu Daud dalam al-Sunan dengan katanya: Al-Namisah “النامصة” adalah perempuan yang mengurangkan (menipiskan) bulu keningnya. Beliau juga menukilkan kata-kata Imam al-Tabari yang berikut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah sedikitpun daripada penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia membuang bulu yang berada di antara keduanya. (Lihat Fath al-Bari, 10/390).
Adapun berkenaan bulu-bulu yang tumbuh di antara dua bulu kening, para ulama berselisih pendapat mengenainya, yang mana perbezaan pendapat tersebut terbina di atas perbezaan mereka pada takrif al-Nams (النَّمْصُ) kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:
Pendapat pertama: Al-Nams (النَّمْصُ) adalah merujuk kepada bulu-bulu pada wajah, dan ini merangkumi bulu kening dan bulu-bulu muka selainnya. Pendapat ini dinukilkan daripada kebanyakan ahli bahasa, ahli fiqh dan ulama yang mensyarahkan hadith.
Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan juga memilih pendapat pertama ini iaitu al-Nams meliputi semua bulu di wajah berdasarkan kepada alasan-alasan berikut:
- Keumuman hadith-hadith yang menyebutkan berkenaan al-Nams (النَّمْصُ), di antaranya hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A yang datang dengan lafaz, “وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ”. Makna asal perkataan al-Nams dari segi bahasa adalah mencabut bulu. Jadi, ia meliputi setiap bulu di wajah.
- Pendapat sebahagian fuqaha’ yang mengkhususkannya sebagai bulu kening ditolak oleh nukilan daripada kebanyakan ahli bahasa, ahli fiqh dan ulama yang mensyarahkan hadith yang menafsirkannya sebagai merangkumi seluruh bulu di muka.
Walaupun demikian, ulama yang menyatakan bahawa al-Nams adalah meliputi semua bulu muka turut membuat pengecualian jika terdapat pertumbuhan janggut, misai, atau ‘anfaqah (kumis)[1] pada wanita itu, di mana mereka membolehkan bagi wanita tersebut untuk menghilangkannya. Hal itu adalah disebabkan:
(a) Wanita diperintahkan untuk berhias bagi suaminya, dan bulu-bulu ini merosakkan penampilannya, mencetuskan ketidaksenangan pada penampilannya, dan menghalang keseronokan atau bersedap-sedapan yang sempurna, bahkan menjadikan wanita itu menyerupai lelaki.
(b) Allah SWT menjadikan wajah wanita tanpa bulu yang jelas kelihatan. Jadi, jika bulu itu muncul, hal itu dianggap sebagai suatu kecacatan dan keaiban. Seterusnya, menghilangkan kecacatan atau keaiban itu pula adalah dibenarkan oleh syarak, dan ia bukanlah suatu perubahan kepada ciptaan Allah SWT. Justeru, tidak terdapat padanya (dalam situasi tersebut) ‘illah pengharaman al-Nams.
Kemudian, Dr Soleh al-Fauzan menyimpulkan, menurutnya berdasarkan kepada hal tersebut, menghilangkan bulu wajah wanita seperti misai dan janggut adalah dibenarkan jika ia merosakkan penampilan wajah seorang wanita.
Ini selari sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap sahih Muslim, perkataan al-Namisah merujuk kepada wanita yang menghilangkan bulu pada wajahnya, manakala al-Mutanammisah pula merujuk kepada wanita yang meminta untuk dilakukan perbuatan tersebut kepadanya. Perbuatan ini adalah haram melainkan apabila janggut atau misai tumbuh pada wajah wanita itu, maka tidak haram ke atasnya untuk menghilangkannya, bahkan menghilangkannya (janggut atau misai yang tumbuh itu) adalah disunatkan di sisi kami — ulama Syafi‘iyyah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/106).
Selain daripada itu, turut dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji bahawa al-Nams adalah mencabut bulu pada wajah yang diharamkan bagi lelaki dan perempuan. Tidak ada perbezaan antara pelaku dan orang yang diperlakukan, kerana ini menyebabkan laknat Allah terhadap mereka. Laknat hanya ditujukan kepada tindakan yang haram, bahkan kepada salah satu daripada dosa-dosa besar. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 3/102).
Dalilnya adalah sebagaimana riwayat yang kami telah sebutkan di atas menerusi hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A. Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)
Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).
Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).
Pendapat kedua: Al-Nams (النَّمْصُ) hanya merujuk kepada dua bulu kening pada wajah secara khusus. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian fuqaha’. Imam Abu Daud memilih pendapat ini, di mana beliau menyatakan, al-Namisah “النامصة” ialah mencukur bulu kening sehingga ia halus (menipis). (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 181-182; Sunan Abi Daud, 6/246).
Begitu juga berdasarkan kepada takrifan hajibain atau dua kening yang kami telah sebutkan sebelum ini di atas, maka bulu yang tumbuh di atas tulang, tidak boleh dihilangkan sama ada ia tebal ataupun tidak. Manakala bulu yang tumbuh atau berada di antara dua kening di atas hidung, bukanlah sebahagian daripada kening, maka harus untuk dihilangkan dan ia tidak termasuk dalam larangan mencukur al-Nams (النمص). Ini adalah fatwa yang dikeluarkan oleh al-Lajnah Da’imah.
Dinyatakan dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (5/195) bahawa al-Nams adalah mencabut (mencukur) bulu kening dan ia tidak dibolehkan kerana Nabi SAW melaknat para wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya.
Malah, al-Lajnah juga pernah ditanya berkenaan hukum mencabut bulu yang tumbuh di antara dua kening? Mereka menjawab, dibolehkan untuk mencabutnya kerana ia tidak termasuk dalam bulu kening. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 5/197).
Ini kerana bulu-bulu ini (selain bulu kening) termasuk dalam jenis bulu yang didiamkan syarak mengenainya, maka hukumnya adalah diharuskan. Dalam erti kata lain, harus untuk mengekalkannya ataupun menghilangkannya; kerana apa yang didiamkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh ulama al-Lajnah al-Da’imah sebagaimana yang kami sudah nukilkan pendapat mereka di atas, begitu juga pendapat yang dipilih oleh Syeikh Ibn al-‘Uthaimin. (Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, 3/879).
Tambahan lagi, Mantan Mufti Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz pernah ditanya berkenaan hukum menghilangkan bulu yang berada di pertengahan antara dua kening, adakah dibolehkan bagi wanita untuk menghilangkannya atau tidak?
Beliau menjawab, saya tidak mengetahui adanya halangan untuk hal tersebut. Ini kerana ia bukan sebahagian daripada dua kening, dan jika dibiarkan (yakni tidak dihilangkan) sebagai langkah berjaga-jaga dan berhati-hati, maka itu adalah baik. Adapun menghilangkannya, maka saya tidak mengetahui adanya kesalahan pada hal tersebut, kerana ia bukan sebahagian daripada dua kening yang mana terdapat larangan mencukur bulu kening (al-nams). Namun, jika dibiarkan mengikut pendapat yang mengatakan bahawa nams merangkumi seluruh wajah, bulu seluruh wajah, maka ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan berhati-hati, dari sudut (sebagaimana hadith):
دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi (2518)
Walau bagaimanapun, pada asalnya ia bukan sebahagian daripada kening, melainkan ia adalah sebahagian di antara kening, dan mungkin menyebabkan sedikit ketidakselesaan/mengganggu, atau ketidaksukaan daripada suami. Kesimpulannya, tidak ada masalah untuk menghilangkannya, insya-Allah. Namun, jika dibiarkan sebagai langkah berjaga-jaga dan berhati-hati, maka saya berharap hal itu adalah baik, insya-Allah, dengan mengambil kira keumumannya.[2]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa pendapat yang dilihat lebih berjaga-jaga dan berhati-hati adalah tidak dibolehkan untuk mencukur bulu yang tumbuh di antara dua kening tanpa sebarang keperluan yang membenarkannya kerana ia termasuk dalam al-Nams yang mana terdapat larangan untuk menghilangkannya dan demi kecantikan semata-mata. Namun, diharuskan untuk menghilangkan bulu yang tumbuh itu sekiranya ada keperluan, tujuan merawat dan seumpamanya, seperti jika ia menimbulkan aib dan malu kepada orang tersebut kerana ia terlalu tebal dan lain-lain sehingga dia dilihat pelik lalu menjatuhkan moralnya dan seumpamanya.
Namun begitu, kami tidak menafikan di sana terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan untuk mencukur bulu-bulu pada wajah wanita selain bulu kening, termasuklah bulu yang tumbuh di antara bulu kening kerana yang dimaksudkan dalam hadith adalah merujuk kepada bulu kening sahaja secara khusus dan bulu-bulu lain pada wajah selain bulu kening adalah termasuk dalam bulu yang didiamkan oleh syarak mengenainya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] ‘Anfaqah (العَنْفَقَة) ialah bulu yang tumbuh di antara bibir bawah dan dagu. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 912).
[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/8529/حكم–ازالة–الشعر–بين–الحاجبين. Diakses pada 24 Mei 2024.