Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadis seperti itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Sunat Musafir ialah solat dua rakaat yang digalakkan untuk dilakukan sebelum musafir dan juga setelah musafir. Hal ini kerana musafir menuntut kita untuk bersusah payah untuk dari satu destinasi ke destinasi yang lain yang agak jauh. Bahkan musafir merupakan sesuatu yang azab sebagaimana hadith riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ، فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Bermusafir adalah sebahagian daripada azab. Ia menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila seseorang musafir itu telah menyelesaikan keperluannya dalam permusafiran itu, maka hendaklah dia segera pulang kepada keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari (5429)

Kami nukilkan penjelasan dan tafsiran para ulama’ berkenaan maksud hadith tersebut.

Al-Munawi menyebut : “ Ia adalah sebahagian dari azab kerana di dalam permusafiran tersebut terdapat keletihan, kepayahan, angin yang kuat, cuaca yang panas dan sejuk, ada ketakutan, bahaya, kurangnya air dan bekalan makanan.”  (Lihat Faidh al-Qadir, 14/351)

Al-‘Aini menyatakan: “Antara faedah yang boleh kita peroleh daripada hadith ialah makruh berada jauh daripada ahli keluarga. Faedah yang lain adalah harus bersegera untuk kembali ke ahli keluarga yang mana jika lambat pulang akan menyebabkan ahli keluarga menjadi tak tentu arah dengan ketiadaannya.” Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/138)

Al-Qadhi ‘Iyad menyatakan: “Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Apatah lagi terpaksa menempuh angina yang kuat, kepanasan dan cuaca yang sejuk. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim, 6/178)

Mulla Ali al-Qari menyebut: “Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih, 7/414)

Kesimpulannya, maksud hadith tersebut ialah di dalam permusafiran sememangnya terdapat kepenatan, kepayahan dan lain-lain. Oleh itu, Nabi SAW menyatakan bahawa permusafiran adalah salah satu azab. Lihat sahaja diri kita ketika bermusafir ke tempat yang jauh. Rasa payah, letih, kurang makan dan minum pasti menjengah. Tambahan pula, yang dimaksudkan azab di dalam hadith tersebut juga boleh difahami. Semoga kita menjadi hambanya yang kembali kepada Allah dengan amal soleh. Amin.

Kami akhiri dengan berdoa sebagaimana doa musafir:

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر {سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ * وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ} اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ، وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ، وَزَادَ فِيهِنَّ: آيِبُونَ، تَائِبُونَ، عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya:Allah Maha Besar (diulang sebanyak tiga kali) Maha Suci Tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah jarak perjalanan ini, Ya Allah Engkaulah penemanku dalam perjalanan ini, dan pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kepenatan dalam perjalanan ini, dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara buruk keatas harta dan keluargaku, dan apabila telah kembali pulang maka ucapkanlah: Kami kembali, kami bertaubat, kami beribadah, dah kepada Tuhan kami segala pujian.”

Riwayat Muslim (1342)

Leave a Reply