Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kisah hijrah Abu Salamah dan Ummu Salamah R.Anhuma?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ (20) يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ (21) خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.”

(Surah al-Taubah: 20-22)

Imam Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjid al-Haram dari kalangan musyrikin. (Lihat Tafsir al-Tabari, 11/382)

Beliau ialah Ummu Salamah Hind binti Abu Umayyah bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqazah bin Murrah al-Makhzumiyyah. Beliau adalah anak saudara kepada Khalid bin al-Walid R.A dan juga anak saudara kepada Abu Jahal bin Hisyam.

Sebelum berkahwin dengan Nabi SAW, beliau adalah isteri kepada Abu Salamah bin ‘Abd al-Asad al-Makhzumi yang merupakan adik-beradik susuan Baginda dan Abu Salamah R.A juga ialah seorang lelaki yang soleh. Ummu Salamah termasuk salah seorang sahabat yang awal berhijrah. Beliau berhijrah bersama suaminya ke Habasyah, kemudian berhijrah pula ke Madinah. Malah, ada pendapat menyatakan, beliau adalah wanita pertama yang berhijrah ke Madinah menaiki tunggangan.

Tatkala Rasulullah SAW mengizinkan para sahabatnya untuk hijrah ke Madinah, maka mereka pun mula keluar secara beransur-ansur dan sembunyi-sembunyi. Orang pertama – sebagaimana dikatakan – adalah Abu Salamah Abd al-Asad al-Makhzumi. Menurut riwayat lain, Mus’ab bin Umair. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/113) Inilah sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Fadha’il Ashab al-Nabi SAW, Bab Maqdam al-Nabi SAW wa Ashabihi al-Madinah, no. 7/203, Kitab Tafsir Surah Sabbihisma Rabbika al-A’la, Kitab Fadha’il al-Quran, Bab Ta’lif al-Quran. Adapun lafaznya daripada al-Bara’ bin ‘Azib adalah, “Orang pertama yang datang kepada kami adalah Mus’ab bin ‘Umair dan Ibn Ummi Maktum. Kemudian, datang kepada kami Ammar bin Yasir dan Bilal R.Anhum.”

Ummu Salamah R.Anha merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Selain daripada itu, beliau juga memiliki anak-anak dalam kalangan sahabat iaitu Umar, Salamah dan Zainab. Terdapat riwayat daripada Umar bin Abu Salamah, katanya: “Rasulullah SAW telah mengutus bapaku ke Abu Qatan pada bulan al-Muharram tahun 4 Hijrah, dan beliau telah menghabiskan masa selama 29 malam. Kemudian, beliau kembali pulang pada bulan Safar, dan lukanya ketika perang Uhud dahulu semakin parah. Lalu beliau meninggal dunia disebabkan oleh luka tersebut, lapan hari setelah berlalunya bulan Jumada al-Akhirah. Ibuku tempoh iddahnya habis pada bulan Syawal. Setelah itu, Rasulullah SAW menikahinya.”

Bukan itu sahaja, para ulama juga berselisih mengenai nama sebenarnya. Sebahagian mereka berpendapat, namanya ialah Ramlah. Sebahagian lagi pula berpendapat, namanya ialah Hind, dan inilah pendapat yang tepat serta merupakan pendapat sekumpulan ulama berkenaan nama Ummu Salamah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/201-203; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/342;  al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1920).

Seperti yang sudah diketahui, Ummu Salamah merupakan antara perempuan yang paling cantik dan paling mulia nasabnya dalam kalangan Arab. Setelah wafatnya Abu Salamah, Rasulullah SAW sendiri telah meminangnya serta mendoakannya. Bukan itu sahaja, bahkan Baginda juga ada mengajarkan kepadanya doa ketika ditimpa musibah. Hal ini adalah diceritakan menerusi riwayat daripada Ibn Safinah, daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: مَا أَمَرَهُ اللَّهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا. قَالَتْ: فَلَمَّا مَاتَ أَبُو سَلَمَةَ قُلْتُ: أَيُّ الْمُسْلِمِينَ خَيْرٌ مِنْ أَبِي سَلَمَةَ؟ أَوَّلُ بَيْتٍ هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. ثُمَّ إِنِّي قُلْتُهَا. فَأَخْلَفَ اللَّهُ لِي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَتْ: أَرْسَلَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاطِبَ بْنَ أَبِي بَلْتَعَةَ يَخْطُبُنِي لَهُ. فَقُلْتُ: إِنَّ لِي بِنْتًا وَأَنَا غَيُورٌ. فَقَالَ: أَمَّا ابْنَتُهَا فَنَدْعُو اللَّهَ أَنْ يُغْنِيَهَا عَنْهَا. وَأَدْعُو الله أن يذهب بالغيرة

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan oleh Allah SWT: ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا’ (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya), melainkan Allah SWT akan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik.” Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah telah meninggal dunia, aku bertanya: ‘Siapakah Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia ialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Kemudian aku pun mengucapkan doa tersebut. Maka Allah SWT menggantikan buatku Rasulullah SAW.” Ummu Salamah berkata: “Rasulullah SAW menghantar Hatib bin Abu Balta‘ah untuk melamarku bagi pihak Baginda. Aku pun berkata: ‘Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku jenis yang kuat cemburu.’ (Maksudnya beliau risau jika berkahwin nanti, anaknya akan terbiar dan beliau akan menyakitkan Baginda disebabkan oleh cemburunya itu). Baginda SAW bersabda: ‘Adapun anak perempuannya, kita doakan semoga Allah mencukupkan keperluannya — yakni bertemu dengan pasangannya sendiri, lalu ada yang menjaganya agar tidak terlalu terikat dengan Ummu Salamah — dan aku juga berdoa agar Allah menghilangkan perasaan kuat cemburu itu.’”

Riwayat Muslim (918)

Bagaimana Penghijrahan Abu Salamah dan Ummu Salamah?

Dr. Akram Dhiya’ Al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah (hlm. 191) menyebut:

Musa bin Uqbah dan Ibn Ishaq bersetuju bahawa Abu Salamah bin ‘Abd al-Asad merupakan individu yang pertama kali berhijrah dari Makkah ke Madinah setelah mendapat kebenaran dari kaum Quraisy. Selepas pulang dari Habasyah (Ethiopia), beliau terus menuju ke Madinah setahun sebelum Bai’at al-‘Aqabah.

(Lihat Sirah Ibn Hisyam, 1/467 melalui Ibn Ishaq tanpa sanad; Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, 7/261. Dari sini, Ummu Salamah menyatakan: ‘Keluarga Abu Salamah merupakan keluarga pertama yang mengikuti jejak Rasulullah.’ (Lihat Sahih Muslim, 2/632).

Begitu juga dengan Mus’ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum, mereka adalah sebahagian daripada kumpulan pertama yang berhijrah ke Madinah dengan tugas mengajarkan al-Qur’an. Kemudian, mereka disertai oleh kumpulan seterusnya seperti Bilal bin Rabah, Sa’d bin Abi Waqqas, ‘Ammar bin Yasir, dan akhirnya Umar bin al-Khattab bersama-sama dua puluh orang sahabat lainnya. (Lihat Fath al-Bari, 7/260, daripada al-Barra’ Ibn ‘Azib).

Kaum Quraisy berusaha dengan pelbagai cara untuk menghalang perpindahan kaum Muslimin ke Madinah. Antara usaha mereka adalah dengan memperbesar-besarkan masalah atau konflik yang wujud dalam kalangan kaum Muhajirin. Kadang-kadang, mereka merampas harta kaum Muslimin, atau menahan isteri dan anak-anak mereka.”

Pelbagai rancangan licik dan tipu daya telah mereka gunakan untuk memaksa kaum Muhajirin agar kembali ke Makkah. Namun, semua itu tidak memberi kesan sedikit pun terhadap kelangsungan perjalanan hijrah ke Madinah. Kaum Muhajirin telah bersiap sedia dengan sempurna, walaupun terpaksa meninggalkan harta benda, keluarga, malah pekerjaan mereka demi memenuhi panggilan Allah.

Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah memutuskan untuk berhijrah ke Madinah, dia menyediakan seekor unta untukku. Dia membawaku bersama anakku, Salamah bin Abi Salamah, yang berada dalam dakapanku. Kemudian, kami berangkat dengan menunggang unta tersebut. Ketika para pemimpin dari Bani Mughirah bin Abdullah bin Amr bin Makhzum melihat Abu Salamah hendak berangkat, mereka bangkit dan mendekati Abu Salamah. Mereka berkata, ‘Kamu telah mencetuskan kekacauan di kalangan kami. Kami tidak akan membiarkanmu membawa isterimu (anggota keluarga kami) meninggalkan negeri ini’.”

Ummu Salamah berkata: “Mereka kemudian melepaskan tali kekang unta dan menurunkan kami daripada unta tersebut. Oleh itu, keluarga besar Abu Salamah (kabilah Abd al-Asad) menjadi sangat marah.”

Pemimpin Bani Asad berkata: “Demi Allah! Kami tidak akan membenarkan anak kami berada dalam pelukan Bani Mughirah, walaupun kamu semua mengambil wanita tersebut (Ummu Salamah) dari saudara kami (Abu Salamah).”

Ummu Salamah berkata: “Pertikaian dan perebutan telah berlaku antara Bani ‘Abd al-Asad dan Bani Mughirah, sehingga akhirnya Salamah terpisah daripada Bani Mughirah. Bani ‘Abd Al-Asad kemudian membawa anakku pergi meninggalkanku, sementara Bani Mughirah menahanku. Walaupun begitu, suamiku tetap berangkat menuju ke Madinah.”

Ummu Salamah berkata: “Aku pun terpisah dari suami dan anakku. Setiap pagi, aku pergi ke Abtah dan duduk menangis di sana hingga petang. Aku melakukan hal ini selama hampir setahun. Pada suatu hari, salah seorang dari bapa saudaraku (dari Bani Mughirah) melalui tempatku dan melihat apa yang aku lakukan. Akhirnya, belas kasihan muncul dalam dirinya terhadapku. Kemudian, dia menghadap para pemimpin Bani Mughirah dan berkata: “Mengapa kamu semua tidak memberi keizinan kepada wanita malang ini dan memisahkannya dari suami dan anaknya?” Mereka menjawab: “Pergilah dan temui suamimu jika itu yang kau inginkan.”

Kemudian, Bani al-Asad menyerahkan Salamah kepadaku. Aku pun berangkat bersama Salamah untuk menemui suamiku, sendirian tanpa ada orang yang mengiringi. Adakah mungkin aku akan sampai di Madinah untuk bertemu dengan suamiku? Setibanya di Tan’im, aku bertemu dengan Uthman bin Talhah bin Abi Talhah, seorang saudara dari Bani ‘Abd al-Daar. Dia bertanya, ‘Ke mana tujuanmu, wahai puteri Abi Umayyah?’”

Ummu Salamah menjawab: “Aku ingin bertemu dengan suamiku di Madinah.” Dia bertanya sekali lagi: “Adakah ada orang yang menemanimu?” Ummu Salamah menjawab: “Demi Allah, tidak ada. Aku hanya bersama anakku dan Allah.” Dia bertanya: “Demi Allah, bagaimana engkau boleh tertinggal?”

Kemudian, dia mengambil tali kekang unta dan berangkat bersamaku dengan tujuan menjagaku. Demi Tuhan, aku belum pernah melihat seorang lelaki Arab semulia dia. Apabila sampai di tempat berehat, dia merebahkan unta itu dan menjauh daripadaku sehingga aku turun dari unta tersebut. Dia kemudian mengambil unta itu, menjauhkannya daripadaku dan mengikatnya di sebatang pokok. Selepas itu, dia mencari pokok lain dan berteduh di bawahnya.

Apabila tiba masanya untuk berangkat, dia mendekatkan unta itu kepadaku dan kemudian menjauh, seraya berkata, ‘Naiklah!’ Setelah aku berada di atas punggung unta dan duduk dengan tenang, dia datang dan memegang tali kekang unta itu. Dia terus melakukan hal itu hingga kami tiba di Madinah. Ketika dia melihat sebuah kampung berhampiran Quba’ – tempat Abu Salamah tinggal – dia berkata, ‘Suamimu berada di kampung ini, masuklah dengan berkat Allah!’”

Kemudian, dia pun kembali ke Makkah. Demi Allah! Sejauh pengetahuanku, tidak ada keluarga Muslim yang menerima seksaan lebih berat daripada apa yang dialami oleh keluarga Abu Salamah. Dan, tidak ada teman perjalanan yang lebih mulia daripada Uthman bin Talhah.

Lihat Sirah Ibn Hisyam, 1/469-470 daripada riwayat Ibn Ishaq dengan sanad yang sesuai untuk dii’tibar padanya (بإسناد صالح للاعتبار فيه). Walaupun dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang maqbul dan meriwayatkan secara infirad bernama Salamah bin Abdullah bin Umar Ibn Abi Salamah, dan hanya Ibn Hibban yang menganggap bahawa Salamah adalah perawi yang kuat. Lihat al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, 4/80; al-Jarh wa al-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim. 4/166; al-Thiqat oleh Ibn Hibban, 4/149, al-Thiqat, 6/399; Tahzib al-Tahzib, 248 dan Taqrib al-Tahzib, hlm. 248. Walaupun begitu, riwayat ini hanya merupakan catatan sejarah yang tidak berhubungan dengan masalah aqidah atau syari’ah, oleh itu ia boleh digunakan sebagai sumber. (Lihat  al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 204)

Kewafatan Ummu Salamah

Ummu Salamah merupakan isteri Nabi SAW yang terakhir sekali meninggal dunia. Beliau diberi umur yang panjang sehinggakan beliau masih lagi hidup ketika peristiwa pembunuhan al-Husain. Beliau hidup kira-kira 90 tahun. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulkaedah tahun 59 Hijrah. Namun, ada pendapat menyatakan, beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Yazid bin Mu‘awiyah pada tahun 60 Hijrah. Dikatakan juga beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan atau Syawal tahun 59 Hijrah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Akan tetapi ada yang berpendapat, solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid.

Terdapat riwayat daripada Muharib bin Dithar bahawa ketika mana Ummu Salamah hampir wafat, beliau telah mewasiatkan agar solat jenazahnya diimamkan oleh Sa‘id bin Zaid, dan Gabenor Madinah ketika itu ialah Marwan. Namun, menurut al-Hasan bin Uthman, gabenor ketika itu ialah al-Walid bin ‘Utbah, dan solat jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah. Manakala jenazahnya pula dimasukkan ke dalam kubur oleh kedua anaknya iaitu Umar dan Salamah, Abdullah bin Abdullah bin Abu Umayyah dan Abdullah bin Wahb bin Zam‘ah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/202-203;  al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1921).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Leave a Reply