Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dan suami berlaku pergaduhan perselisihan faham. Saya dalam keadaan emosi marah telah memaksa suami saya untuk melafazkan cerai kepada saya. setelah didesak suami menyebut `cerai` kemudian berapa saat menyebut nama panggilan saya (ija cerai). Adakah saya telah jatuh talak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Menurut Imam al-Baijuri: “Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak diihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz “Ija cerai” ini jatuh talaknya kerana ia jelas menggunakan kalimah cerai dan diketahui yang dituju itu pada siapa yakni isterinya. Maka, hal ini telah jelas ia menggunakan lafaz yang sorih (jelas) tanpa perlu kepada niat. Namun begitu, suka kami sarankan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah bagi dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Nasihat kami janganlah bermudah-mudahan untuk mengucap kalimah cerai kerana dikhuatiri akan terjatuh. Sekalipun marah, janganlah menggunakan kalimah/ayat-ayat sebegitu kerana diakhir kemarahan itu akan wujudnya penyesalan.

Justeru, perlu difahami setiap perkahwinan mempunyai konflik dan cabaran, namun sejauh mana seseorang itu menghadapinya hendaklah berpandukan kepada hukum syara’.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan pasangan yang berkahwin agar masing-masing membina rumahtangga dengan sebaik-baiknya. Perlulah sentiasa merujuk kepada ibu bapa, orang-orang tua, orang-orang alim atau buku-buku yang bersesuaian dalam melayari bahtera kehidupan terutamanya ketika menghadapi badai. Kami kemukakan di sini, nasihat kepada pasangan suami isteri berdasarkan buku kami Baiti Jannati:

Antara ciri-ciri suami yang soleh ialah:

  • Mentaati Allah dan Rasul dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.
  • Mendirikan rumahtangga semata-mata kerana Allah dan demi memenuhi tuntutan agama.
  • Melayani dan menasihati isteri dengan cara yang baik.
  • Menjaga hati dan perasaan isteri.
  • Sentiasa bertolak ansur dan selalu membantu isteri.
  • Tidak menyuruh sesuatu di luar kemampuan isteri.
  • Kuat kesabaran dan menghindari daripada menyakiti isteri, seperti memukul atau dengan perkara yang memudaratkan, yang tidak di-benarkan syariat.
  • Tidak mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri.
  • Menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.
  • Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi sebagai ketua keluarga.
  • Memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan sedaya kemampuan.
  • Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.
  • Bertanggungjawab mendidik akhlak ahli keluarganya.
  • Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.
  • Memberikan kasih sayang dan berkorban demi kebahagiaan bersama.

Manakala antara ciri-ciri wanita solehah pula ialah:

  • Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
  • Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • Tidak bermasam muka terhadap suami.
  • Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
  • Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
  • Keluar rumah hanya dengan izin suami.
  • Berhias hanya untuk suami.
  • Menghargai pengorbanan suami.
  • Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
  • Menerima tunjuk ajar daripada suami.
  • Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
  • Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
  • Menjadi penenang dan penyeri rumahtangga.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply