Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seorang suami melakukan prosedur vasektomi (vasectomy) iaitu ikat kilang telur, untuk tujuan merancang keluarga? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab pertanyaan di atas, kami bahagikannya kepada dua perbahasan utama. Pertamanya, kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas prosedur vasektomi ini terlebih dahulu. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)

Secara ringkasnya, vasektomi adalah satu bentuk kawalan kelahiran lelaki yang memotong bekalan sperma ke dalam air mani. Ia dilakukan dengan memotong dan menutup tiub yang membawa sperma. Vasektomi mempunyai risiko yang rendah dan biasanya boleh dilakukan di bahagian pesakit luar di bawah anestesia setempat.

Sebelum melakukan vasektomi, seseorang itu perlu pasti bahawa dia tidak mahu menjadi bapa pada masa hadapan. Walaupun ada kemungkinan boleh untuk mengembalikannya semula, namun vasektomi harus dianggap sebagai satu bentuk kawalan kelahiran lelaki yang kekal. Selain itu juga, vasektomi tidak menawarkan perlindungan daripada jangkitan kelamin.

Di antara sebab prosedur vasektomi ini dilakukan atau dipilih adalah kerana:

  • Ia adalah pilihan kawalan kelahiran yang selamat dan berkesan untuk lelaki yang pasti mereka tidak mahu menjadi bapa pada masa hadapan.
  • Keberkesanannya juga adalah hampir 100 peratus berkesan dalam mencegah kehamilan.
  • Vasektomi adalah pembedahan pesakit luar dengan risiko komplikasi atau kesan sampingan yang rendah.
  • Kos vasektomi adalah jauh lebih rendah berbanding kos pensterilan wanita (ligasi tiub) atau kos jangka panjang ubat kawalan kelahiran untuk wanita.
  • Vasektomi bermaksud seseorang itu tidak perlu mengambil langkah kawalan kelahiran sebelum seks, seperti memakai kondom.

Risiko Prosedur Vasektomi

Satu kebimbangan yang perlu diberi perhatian akibat prosedur vasektomi adalah dia mungkin berubah fikiran dengan ingin menjadi bapa pada masa hadapan. Walaupun vasektomi mungkin boleh dibalikkan/dipulihkan, tiada jaminan ia akan berjaya. Bahkan pembedahan pembalikan (mengembalikan semula kepada keadaan asal) adalah lebih rumit berbanding prosedur vasektomi itu sendiri, boleh jadi lebih mahal dan tidak berkesan/tidak berjaya dalam beberapa kes.

Jika seseorang itu mempunyai kesakitan testis kronik atau penyakit testis, dia bukan calon yang sesuai untuk prosedur vasektomi. Bagi kebanyakan lelaki, vasektomi tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan yang ketara, dan komplikasi serius jarang berlaku.

Di antara kesan sampingan sejurus selepas pembedahan adalah:

  • Pendarahan atau darah beku (hematoma) di dalam skrotum
  • Darah dalam air mani
  • Lebam pada skrotum
  • Jangkitan pada tapak/tempat pembedahan
  • Kesakitan atau ketidakselesaan ringan
  • Bengkak

Selain itu, terdapat juga komplikasi yang boleh berlaku (tertunda) seperti:

  • Kesakitan kronik, yang boleh berlaku kepada 1% hingga 2% orang yang menjalani pembedahan.
  • Pengumpulan cecair dalam testis, yang boleh menyebabkan sakit yang semakin teruk dengan ejakulasi.
  • Keradangan disebabkan oleh kebocoran sperma (granuloma).
  • Kehamilan, jika prosedur vasektomi gagal, tetapi bagi kes ini jarang berlaku.
  • Sista abnormal (spermatosel) yang berkembang di dalam tiub kecil dan berlingkar yang terletak di bahagian atas testis yang mengumpul dan mengangkut sperma (epididimis).
  • Kantung berisi cecair (hidrosel) di sekeliling testis yang menyebabkan bengkak pada skrotum.[1]

Keduanya, sebagaimana yang sudah kita ketahui, prosedur vasektomi ini berkait rapat dengan perancangan keluarga atau “family planning.” Secara ringkasnya, para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada sekurang-kurangnya dua pendapat, dan pendapat yang kuat menurut kami, ia adalah dibenarkan.

Kemudian, bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga kepada tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) dan tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ).

Tanzim al-nasl (تَنْظِيمُ النَّسْلِ) merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan ‘azl (ejakulasi luar rahim), mengeluarkan air mani daripada kemaluan isteri selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:

  • Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
  • Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
  • Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami melakukan ‘azl pada zaman Nabi SAW dan al-Quran sedang turun.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Di dalam riwayat lain pula daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

 كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ يَنْهَنَا

Maksudnya: “Kami selalu melakukan ‘azl ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup dan Baginda mengetahuinya, tetapi Baginda tidak pernah menghalang kami melakukannya.”

Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440)

Dapat difahami daripada hadith Jabir ini bahawa mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih hidup dan semasa al-Quran masih diturunkan, dan yang ingin dimaksudkan adalah perbuatan mereka tersebut tidak dilarang oleh syara‘.

Di dalam riwayat lain menyebutkan dengan jelas sebab mengapa sebahagian sahabat melakukan ‘azl ini. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

ذُكِرَ الْعَزْلُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ:‏ وَمَا ذَاكُمْ‏.‏ قَالُوا الرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الْمَرْأَةُ تُرْضِعُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ وَالرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الأَمَةُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ.‏ قَالَ: فَلاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا ذَاكُمْ فَإِنَّمَا هُوَ الْقَدَرُ

Maksudnya: “Telah diceritakan kepada Nabi SAW tentang ‘azl, lalu Baginda bertanya: ‘Mengapa buat begitu?’ Sahabat berkata: ‘Ada lelaki yang mempunyai isteri yang masih menyususkan anak, maka dia tidak suka jika isterinya mengandung dengan melepaskan air mani dalam rahim. Dan ada lelaki yang mempunyai hamba perempuan, maka dia tidak mahu perbuatannya menyebabkan hamba tersebut mengandung’ Lalu Baginda bersabda: ‘Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, sesungguhnya ia (kehamilan) berdasarkan taqdir’.”

Riwayat al-Bukhari (2542) dan Muslim (1438)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, terdapat isyarat bahawa ada dua sebab dilakukan ‘azl pada zaman tersebut. Pertama, kerana tidak mahukan kelahiran anak dari hamba perempuan, baik kerana atas keinginan sendiri atau agar tidak susah untuk menjual hamba tersebut jika ia memiliki anak. Kedua, kerana tidak mahukan wanita yang sedang menyusui anak mengandung lagi, kerana perkara itu dapat membahayakan kesihatan anak yang menyusu.

Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga ada menyebutkan, Rasulullah SAW tidak melarang secara jelas perbuatan ‘azl itu, akan tetapi Baginda SAW memberi isyarat bahawa sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan kerana ia tidak mendatangkan apa-apa faedah. Allah SWT Maha berkuasa menciptakan anak tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 9/307)

Manakala tahdid al-nasl (تَحْدِيدُ النَّسْلِ) atau membataskan anak pula menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.

Pengecualian khusus hanya diberikan apabila terdapat kes-kes tertentu yang melibatkan masalah kesihatan sehingga mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.

Hal ini selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Atiyyah Saqr pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 47/10).

Bahkan Hal ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh al-Bujairimi bahawa sesuatu yang melambatkan kehamilan untuk tempoh tertentu (sementara) dan tidak memutuskan kehamilan tersebut secara asalnya (keseluruhannya), maka ia tidaklah haram seperti mana yang zahir. Malah, jika perbuatan melambatkan kehamilan (yakni memperoleh anak itu) adanya sebab dan alasan (tertentu) seperti pendidikan anak, maka hukumnya juga tidak makruh. Sebaliknya jika tidak (yakni tanpa sebab dan alasan), maka hukumnya  adalah makruh. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 4/47).

Bahkan hal ini juga selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jumadil Akhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M, di mana mereka telah memutuskan, antara lain:

  1. Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki ataupun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan. Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syar‘i.
  2. Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syara‘, berdasarkan persetujuan dan keredhaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan itu tidak mendatangkan mudharat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada. (Lihat Majallah al-Majma’ Siri 4, 1/73).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa prosedur vasektomi (vasectomy) adalah haram dan tidak dibenarkan. Ini kerana prosedur vasektomi itu sudah dianggap sebagai satu bentuk  kawalan kelahiran lelaki atau pemandulan yang kekal, disebabkan oleh keberhasilan untuk berjaya membalikkan semula (sebelum prosedur vasektomi) adalah sangat rendah, tidak mudah dan tidak selalunya berjaya/berkesan. Justeru, pemandulan kekal diharamkan oleh para ulama kerana ia melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/vasectomy/about/pac-20384580. Diakses pada 25 Julai 2024.

Leave a Reply