Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh terangkan kepada kami biografi Sahal bin Hunaif dan adakah dia menyertai Peperangan Badar? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”
(Surah Ali Imran: 123)
Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Sahal bin Hunaif dikenali sebagai Abu Thabit al-Ansari al-Ausi al-Aufy yang merupakan bapa kepada Abu Umamah bin Sahl dan saudara kepada Uthman bin Hunaif. Beliau menyertai Perang Badar dan semua peperangan yang lain. Dua orang anaknya meriwayatkan hadith daripadanya iaitu Abu Umamah dan Abdullah. Begitu juga, Ubaid bin al-Sabbaq, Abu Wa’il, Abdur Rahman bin Abi Layla, Yusair bin Amr, dan lain-lain. Beliau juga merupakan salah seorang panglima di bawah pemerintahan Ali R.A. Beliau meninggal dunia di Kufah pada tahun tiga puluh lapan (38H) dan disolatkan oleh Ali R.A. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 2/325)
Sahal bin Hunaif adalah antara mereka yang menyertai Peperangan Badar. Yang demikian sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Ali R.A sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Ma’qil bahawa beliau berkata:
أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَبَّرَ عَلَى سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ فَقَالَ: إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا
Maksudnya: “Ali R.A solat ke atas jenazah Sahl bin Hunaif dan berkata: Sesungguhnya beliau menyertai perang Badar.”
Riwayat Bukhari (4004)
Disebutkan dalam al-Mua’llim bi Fawaid Muslim (3/484) bahawa: Sahal bin Hunaif menyaksikan Perang Badar dan semua pertempuran lainnya, serta tetap bersama Rasulullah SAW dan keluarganya pada hari Uhud. Dia telah berjanji setia kepada Rasulullah SAW hingga mati. Kemudian, dia mengikuti Saidina Ali dan turut serta dalam Perang Siffin, dan meninggal dunia pada tahun 38 Hijrah.
Justeru berdasarkan hadith dan penerangan di atas jelaslah kepada kita bahawa sahabat Rasulullah SAW Sahal bin Hunaif yang berba‘iah kepada Rasulullah SAW adalah merupakan seorang sahabat yang pernah menyertai Peperangan Badar bersama Baginda. Beliau mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah islam kerana keberanian dan keimanannya yang sanggup berjuang di jalan Allah SWT.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam