Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah benar hadith berkaitan azan dan iqamah pada kedua belah telinga bayi yang baru lahir tidak sahih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Hadith berkenaan anjuran azan dan iqamah di telinga bayi diriwayatkan oleh Abu Rafi‘ R.A yang menceritakan bahawa:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيًّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ

Maksudnya: “Aku melihat bahawa Rasulullah SAW mengumandangkan azan seperti masuk waktu solat di telinga al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah R.Anha.”

Riwayat al-Tirmizi (1594) dan Abu Daud (5105)

Hadith ini dikritik kerana sanadnya kembali berlegar dan bersumberkan kepada seorang perawi yang dikritik bernama ‘Asim bin ‘Ubaidullah yang meriwayatkan daripada ‘Ubaidullah bin Abu Rafi’, daripada Abu Rafi’ R.A secara marfu’ daripada Rasulullah SAW.

Imam al-Zahabi menukilkan penilaian ulama nuqqad dalam ilmu al-Jarh wa al-Ta‘dil yang mengkritik ‘Asim bin ‘Ubaidillah, antaranya:

  • Imam Abu Zur‘ah al-Razi dan Imam Abu Hatim al-Razi menilainya dengan menyatakan, ‘Asim ini Munkar al-Hadith (hadith-hadithnya begitu ganjil dan lemah).
  • Imam Syu‘bah bin al-Hajjaj berkata: “Bayangkan betapa dustanya beliau, jika ditanya kepada ‘Asim, siapakah yang membina masjid Basrah ini, pasti beliau akan sebut haddathana fulan haddathana fulan, bahawa Rasulullah SAW yang membinanya!”
  • Imam al-Daraqutni berkata: “Kami tinggalkan riwayat hadithnya, dia sering lalai dan tidak mahir dalam menghafaz riwayat-riwayat.”
  • Imam Ibn Khuzaimah berkata: “Saya tinggalkan hadith-hadith riwayatnya, kerana begitu lemahnya hafazan beliau.”
  • Imam Ibn ‘Adi berkata: Hadithnya da’if, namun kami masih menulis hadith-hadithnya untuk dijadikan sokongan jika diperlukan.

(Lihat Mizan al-I‘tidal, 2/322)

Hadith anjuran azan dan iqamah di telinga bayi dinilai sebagai dha‘if di sisi Ahli Hadith kerana kewujudan perawi bernama ‘Asim bin ‘Ubaidullah ini, namun ia boleh diamalkan bahkan tetap dianjurkan untuk melaksanakannya sepertimana yang dinyatakan oleh para fuqaha’.

Walau bagaimanapun, Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih meskipun zahir sanadnya memiliki kedaifan. Menurut beliau: “Hadith ini hasan sahih, dan para ulama (Salaf) mengamalkan hadith ini.” (Lihat Jami‘ al-Tirmizi, 3/339)

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa hadith anjuran azan dan iqamah di telinga bayi yang baru lahir adalah dinilai dha‘if di sisi para ulama hadith kerana kewujudan perawi yang lemah. Walaupun begitu, sebagai amalan bagi meneguhkan tauhid dan membesarkan Allah, bermula dari kelahiran seseorang bayi itu adalah amat perlu dilakukan oleh bapanya atau walinya. Salafus soleh dan mereka yang terkemudian melakukan kepada bayi-bayi mereka dan anak cucu mereka.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, jadikanlah isteri-isteri kami dan anak-anak zuriat keturunan kamu sebagai penyejuk mata kami dan jadikanlah kami ini pemimpin dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.” Wallahu a‘lam.

Leave a Reply