Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah boleh kita membuang darah binatang korban ke dalam longkang di kawasan perumahan? Adakah ia menyalahi adab ketika menyembelih binatang korban? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Ibadah korban adalah suatu amalan yang agung di sisi Allah SWT dan wajib dilaksanakan untuk mengharapkan redha Allah serta diamalkan menurut syariat jua hukum-hakam-Nya. Allah SWT berfirman:
إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ ٣
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengurniakan sungai al-Kauthar di syurga kepadamu (wahai Rasulullah) [1] Maka dirikanlah solat kepada Tuhanmu dan sembelihlah haiwan korban (atas nama Tuhanmu) [2] Sesungguhnya musuhmu akan terputus daripada rahmat [3].”
(Surah al-Kauthar: 1-3)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan: “Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ka‘b al-Qurazi bahawa beliau berkata: “Dahulu, orang-orang musyrik menyembah selain Allah dan menyembelih atas nama selain-Nya. Di dalam ayat ke-2 di dalam Surah al-Kauthar ini, Allah mengarahkan agar melaksanakan solat dan ibadat korban semata-mata kerana Allah SWT.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/59)
Perlaksanaan ibadah korban mestilah berpandukan garis panduan syariat Islam yang menitikberatkan soal kemaslahatan semua pihak serta sedaya upaya menghindari sebarang keburukan dan kemudaratan. Abu Sa‘id al-Khudri R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh ada sebarang kemudaratan dan juga perbuatan yang mendatangkan bahaya.”
Riwayat al-Hakim (2345) dan al-Baihaqi (11717)
Imam Syihabuddin al-Hamawi menukilkan tafsiran Imam al-Khusyaini dalam menafsirkan hadith di atas: “Maksud hadith di atas adalah: Jangan mengambil kesempatan dengan menyakiti orang lain, dan jangan menyakiti orang lain yang tiada manfaat buatmu.” (Lihat Ghumz ‘Uyun al-Basa’ir Syarh Kitab al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/188)
Mengalirkan najis ke saluran air yang mengalir dalam keadaan sedikit seperti keadaan umum perparitan dan longkang adalah tidak dibenarkan dan haram, berdasarkan keputusan ulama-ulama mazhab al-Syafi‘i.
Imam al-Nawawi menyatakan pendirian tersebut: “Dan sekiranya saliran air itu mengalir namun keadaannya sedikit, maka sebahagian besar dalam kalangan ashab kita memakruhkannya, dan pendapat terpilih (al-mukhtar) di dalam mazhab adalah ia diharamkan, kerana ia boleh mengotorkannya dan menajiskannya, ini berdasarkan pendapat yang masyhur di dalam mazhab al-Syafi‘i dan selainnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/187)
Oleh yang demikian, darah yang merupakan salah satu najis adalah tidak boleh disalirkan atau dituang ke longkang atau parit awam. Ini boleh menyebabkan pencemaran bau dan air, serta mengakibatkan situasi tidak menyenangkan dalam kalangan masyarakat awam. Perkara ini menimbulkan kerosakan di atas muka bumi.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تُفۡسِدُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَـٰحِهَا وَٱدۡعُوهُ خَوۡفࣰا وَطَمَعًاۚ إِنَّ رَحۡمَتَ ٱللَّهِ قَرِیبࣱ مِّنَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi selepas memperbaikinya, dan berdoalah kepada-Nya (Allah) dalam keadaan takut dan penuh berharap. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat dengan orang-orang yang berbuat kebaikan.”
(Surah al-A‘raf: 56)
Imam Ibn Kathir menyatakan: “Allah SWT amat tegas melarang sebarang kerosakan daripada berlaku di atas muka bumi, apa jua bentuknya; selepas Dia menciptakannya dalam keadaan elok dan diperbaiki oleh orang-orang yang baik.” (Lihat Tafsir Qur’an al-‘Azim, 3/428)
Semasa melaksanakan aktiviti penyembelihan haiwan korban, kita mesti mengelakkan kacauganggu iaitu sebarang perbuatan atau benda yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan bencana, kegusaran, kesalahan, kerosakan, bahaya atau kecacatan kepada deria penglihatan, bau atau pendengaran atau yang membencanakan atau berbahaya atau yang mungkin membencanakan atau berbahaya kepada kesihatan atau harta atau yang menjejaskan keselamatan atau hak-hak penduduk umumnya.
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak dibenarkan untuk mengalirkan darah haiwan sembelihan korban ke sistem saliran dan perparitan awam bagi mengelakkan darah daripada menimbulkan bau busuk dan persekitaran yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat awam. Justeru, apabila sudah jelas perbuatan tersebut mengundang pencemaran saluran dan sekatan yang memudaratkan keadaan sekeliling, maka hukumnya adalah haram dan tidak dibolehkan. Ia bakal menyusahkan masyarakat di sekeliling, iaitu hak sesama manusia. Ia tiada kaitan dengan hak atau adab-adab bersama haiwan sembelihan. Ini juga berdasarkan nas hadith:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daraqutni (4/228) dan Imam Malik (2/746) dalam al-Muwatta’.
Imam al-Suyuti meletakkan hadis ini di dalam bab (الضَّرَرُ يُزَالُ) bermaksud kemudharatan mesti dihilangkan. Katanya, ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)
Oleh yang demikian, kami juga mencadangkan darah sembelihan haiwan korban itu hendaklah:
- dialirkan ke suatu saluran atau tangki khusus sebelum dilupuskan semulajadi,
- Atau terus ditanam di dalam tanah beserta tinja, organ yang dibuang.
Menurut Garis Panduan Pengurusan Ibadah Korban di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, setiap pusat penyembelihan disyaratkan mestilah menyediakan sistem saliran (perparitan) di kawasan/tapak penempatan sementara supaya tiada takungan air. Segala air limbah seperti darah haiwan/basuhan dari tapak hendaklah dialirkan dengan sempurna ke dalam tangki septik sementara (binaan relung simen).
Lokasi penempatan sementara ini hendaklah jauh dari penempatan penduduk untuk mengelakkan wujudnya kacauganggu dan aduan orang awam.
Manakala, orang yang melakukan kesalahan mengalirkan darah ke parit atau longkang boleh didakwa mengikut Seksyen 47(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana menumpahkan darah masuk ke dalam sesuatu tempat awam (anak sungai) dengan nilai kompaun RM250.
Memelihara alam sekitar adalah termasuk amal taqwa yang dituntut. Taqwa adalah hasil yang sebenar dan sejati daripada ibadat korban. Allah SWT berfirman:
لَن یَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاۤؤُهَا وَلَـٰكِن یَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَ ٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِینَ
Maksudnya: “Daging-daging dan darah-darah itu tidak sampai kepada Allah, sebaliknya yang sampai kepada-Nya adalah sifat taqwa daripada kalian.”
(Surah al-Haj: )
Imam Ibn Juzai al-Andalusi menyatakan: “Maksudnya, kalian tidak dapat menggapai redha Allah semata-mata dengan mempersembahkan percikan darah atau hirisan daging, namun kalian hanya akan menggapainya dengan keikhlasan dan ketaatan semasa melaksanakannya.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/40)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اهْدِنَا وَاهْدِ بِنَا وَاجْعَلْنَا سَبَبًا لِّمَنِ اهْتَدَى
Maksudnya: “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kami, dan berilah petunjuk menerusi kami, dan jadikanlah kami asbab orang-orang lain beroleh petunjuk hidayah.”
Wallahu a‘lam.