Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada satu soalan. Apakah hukum peniaga Islam meletakkan patung kucing cina tangan bergerak sebagai cara menarik pelanggan cina ke restorennya kerana terletak di kawasan cina? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘وَالْأَنْصَابُ’, yakni patung-patung yang ditegakkan untuk disembah, atau batu yang dahulu mereka letakkan untuk menyembelih haiwan sembahan di atasnya. (Lihat Fath al-Qadir, 2/332)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa hukum meletakkan sebarang patung makhluk bernyawa adalah haram dan berdosa, atas apa jua sekalipun. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ تَمَاثِيلُ أَوْ تَصَاوِيرُ

Maksudnya: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada patung dan gambar (lukisan/ukiran) makhluk bernyawa di dalamnya.”

Riwayat Muslim (2112)

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata selepas menukilkan hadith di atas: “Dosa besar yang ke-68: Membuat ukiran (sama ada patung mahupun gambar) makhluk yang bernyawa, apa jua bentuknya, sama ada ia diletakkan untuk tujuan dimuliakan atau dibuat main/direndahkan martabatnya, meskipun gambar-gambar benda yang tidak wujud seperti kuda bersayap (pegasus). Allah SWT juga ada berfirman berkenaan dosa ini di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah yang bakal dilaknat oleh Allah di dunia dan di akhirat, dan akan disediakan azab yang menghinakan buat mereka.”

(Surah al-Ahzab: 57)

Imam Salaf, ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas berkata menafsirkan ayat di atas: “Yang dimaksudkan dengan ayat ini dengan orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya adalah orang-orang yang membuat patung-patung dan ukiran.”.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 2/48)

Abu Talhah R.A juga meriwayatkan hal yang senada daripada Baginda, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya:  “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Hadith ini merupakan dalil bagi larangan mengambil patung makhluk bernyawa sebagai perhiasan. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mensyarahkan hadith di atas ini seraya berkata: “Yang dimaksudkan di dalam larangan hadith ini adalah setiap ukiran patung-patung makhluk bernyawa.” (Lihat Minhah al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/240)

Perbuatan mengukir dan meletakkan patung ini dikira sebagai mengakui amalan meniru ciptaan Allah SWT. Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas berkata: “Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang tercela dan mempunyai unsur seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut juga dijadikan sembahan selain Allah. Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melaksanakan solat dan doa di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/84)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan di sini bahawa meletakkan sebarang patung makhluk bernyawa, apa jua bentuk ukirannya, dan apa jua alasannya adalah tidak dibenarkan. Hukumnya adalah haram dan dilarang di sisi syarak. Ini termasuk patung kucing yang menggerak-gerakkan tangannya, yang lazim diletakkan oleh orang-orang Cina di kedai mereka. Sehubungan dengan itu, kedai-kedai Muslim tidak dibolehkan untuk meniru perbuatan ini, kerana bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW yang melarang segala jenis patung makhluk bernyawa.

Kami turut menasihatkan, janganlah kita menyangka bahawa dengan meletakkan patung, premis jualan kita akan lebih laku keras atau lebih laris. Hal ini kerana, tempat atau kedai yang mempunyai patung juga tidak akan dimasuki malaikat yang mendoakan keberkatan dan kerahmatan.

Imam Kamaluddin al-Damiri berkata: “Ulama bersepakat bahawa malaikat yang tidak masuk adalah malaikat yang membawa berkat; adapun malaikat Hafazah (penjaga insan) dan malaikat pencabut nyawa, maka kedua-dua malaikat ini masih boleh masuk.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 7/381)

Maka, untuk memastikan premis perniagaan kita lebih diberkati oleh Allah SWT dan didoakan oleh para malaikat berkat dan rahmat, hindarilah daripada meletakkan sebarang patung makhluk bernyawa di dalam kawasan kedai kita. Lazimilah ketaqwaan dan amal soleh serta kejujuran dalam perniagaan, Allah pasti akan menggandakan rezeki-Nya buat kita.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa menjemput rezeki yang tidak disangka-sangka:

رَبِّ إِنِّي لِمَآ أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku amat memerlukan segala kebaikan yang Engkau sudi kurniakan kepadaku.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply