Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, mengapa disebutkan bahawa pada sahur itu terdapat  barakah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360)

Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”

Riwayat al-Bukhari (1923)

Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”

Riwayat Muslim (1096)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa bersahur itu padanya terdapat banyak manfaat dan keberkatan. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW amat menekankan dan menggalakkan umatnya untuk bagun bersahur sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith di atas. Keberkatan dalam sahur boleh dirungkai dalam beberapa sudut iaitu:

  • Ia adalah sebagai mematuhi perintah Nabi SAW, dan mematuhi perintah Baginda dalam hal ini membawa keberkatan yang besar. Allah SWT berfirman:

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Maksudnya: “sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”

(Surah al-Ahzab:71)

Abu Bakar al-Jazairi menyebutkan bahawa: Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dalam perintah dan larangan, maka dia telah memperoleh kejayaan yang besar, iaitu kebahagiaan di kedua-dua dunia iaitu selamat dari segala yang menakutkan dan berjaya mendapatkan segala yang diinginkan. Ini termasuk keselamatan dari api neraka dan masuk ke syurga. (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/298-299)

  • Ia bagi menyelisihi ahli kitab dan kita diperintahkan untuk menyelisihi mereka. Tidak diragukan bahawa menyelisihi amalan orang kafir —terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah— adalah lebih baik dan membawa keberkatan. Ini kerana meniru mereka dalam perkara-perkara yang zahir boleh menyebabkan kita meniru mereka dalam perkara-perkara yang tersembunyi.
  • Ia sebagai mengikuti sunnah Rasulullah SAW sambil mematuhi perintah-Nya. Rasulullah SAW telah melakukan sahur. Oleh yang demikian, melakukan sesuatu yang mengikuti amalan Rasulullah SAW adalah baik dan penuh keberkatan.
  • Padanya terdapat manfaat dalam menjaga kekuatan jiwa dan tubuh. Manusia diperintahkan untuk memperkuat tubuhnya dan menjauhi apa yang memudaratkannya. Kerehatan jiwa boleh dicapai apabila mendapat bahagiannya dari makan dan minum, begitu juga tubuh, semakin ia mendapat bahagiannya dari makan dan minum, semakin ia berkembang dan kekuatannya tetap terjaga. (Lihat Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, hlm.229-230)

Justeru, seorang muslim seeloknya tidak mengabaikan saranan dan galakan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sepertimana amalan bersahur ini. Ini kerana terdapat padanya banayak manfaat dan membawa keberkatan kepada sesiapa yang melakukannya disamping ia merupakan amalan yang membezakan amalan muslim dengan golongan-golang kafir.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah.”

Wallahua‘alam.

Leave a Reply