Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami baru sahaja kehilangan cahaya mata yang sudah sekian lama dinanti-nanti. Kami redha, tetapi sungguh beratnya hati ini ingin menanggung kesabaran. Apakah nasihat yang terbaik untuk mereka yang diuji seperti kami?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat banyak nas dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menunjukkan keutamaan orang-orang yang sabar dan besarnya pahala mereka. Allah SWT juga akan memberikan ganjaran kepada mereka tanpa batas. Ini merangkumi semua orang yang bersabar atas segala musibah yang menimpa mereka, dan tidak diragukan bahawa kehilangan anak adalah musibah besar bagi orang yang mengalaminya. Sesiapa sahaja yang bersabar atas pemergiannya dan redha dengan ketentuan serta takdir-Nya, dia akan memperoleh pahala yang besar ini dengan kemurahan-Nya.

Allah SWT berfirman dalam Kitab-Nya:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَىْءٍۢ مِّنَ ٱلْخَوْفِ وَٱلْجُوعِ وَنَقْصٍۢ مِّنَ ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥) ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۭ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ (١٥٦) أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَٰتٌۭ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌۭ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُهْتَدُونَ (١٥٧)

Maksudnya: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan kekurangan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang bersabar. (155) Mereka ialah golongan yang bila ditimpa suatu musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami ialah kepunyaan Allah dan hanya kepada-Nya kami kembali.’ (156) Merekalah orang yang dilimpahi keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah. (157)”

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Ayat-ayat ini merupakan satu bentuk nasihat yang berfungsi untuk merawat hati mereka yang ditimpa ujian, kerana itulah disebutkan: “Sampaikanlah berita gembira kepada orang yang bersabar.” Apabila orang yang sabar ini mengucapkan: “Sesungguhnya kami ialah kepunyaan Allah dan hanya kepada-Nya kami kembali,” maka ia menunjukkan kesabaran mereka yang berada pada tahap tertinggi dengan diiringi pengetahuan mereka terhadap ketentuan Allah. Mereka mengetahui ketika ditimpa musibah bahawa mereka adalah milik Allah SWT yang berhak melakukan apa sahaja terhadap mereka, jadi mereka tidak berputus asa dengan apa yang menimpa mereka. Mereka juga tahu bahawa mereka akan kembali kepada-Nya, maka Dia akan memberi ganjaran kepada mereka atas kesabaran tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/54-57)

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW gambarkan perihal orang-orang Mukmin yang bersabar, sebagaimana dalam hadith Suhaib bin Sinan al-Rumi R.A:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Kehilangan cahaya mata merupakan suatu ujian yang cukup berat, apatah lagi apabila anak tersebut merupakan kelahiran pertama yang sememangnya dinanti-nantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Oleh sebab itu Allah SWT kurniakan buat ibu bapa yang bersabar tersebut satu kurniaan yang tidak ternilai besarnya, yang ditempatkan di sebaik-baik tempat kembali. Abu Musa al-Asy‘ari R.A meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sebuah kisah:

إِذَا مَاتَ وَلَدُ الْعَبْدِ، قَالَ اللَّهُ لِمَلائِكَتِهِ: قَبَضْتُمْ وَلَدَ عَبْدِي؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ. فَيَقُولُ: قَبَضْتُمْ ثَمَرَةَ فُؤَادِهِ؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ. فَيَقُولُ: مَاذَا قَالَ عَبْدِي؟ فَيَقُولُونَ: حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ. فَيَقُولُ اللَّهُ: ابْنُوا لِعَبْدِي بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَسَمُّوهُ بَيْتَ الْحَمْدِ

Maksudnya: “Apabila anak kepada seorang hamba itu meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikat-Nya: ‘Kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Benar.’ Allah berfirman lagi: ‘Kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?’ Malaikat menjawab: ‘Benar.’ Allah bertanya lagi: ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku itu?’ Malaikat menjawab: ‘Dia memuji-Mu (mengucapkan alhamdulillah) dan mengucapkan istirja‘ (inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un).’ Kemudian Allah berfirman: ‘Binakan buat hamba-Ku itu sebuah rumah di Syurga, dan namakan ia dengan Rumah Pujian’.”

Riwayat al-Tirmizi (1021). Al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (3/399)

Bahkan terdapat nas yang lebih khusus buat pasangan yang kehilangan lebih dari seorang cahaya mata yang belum mencapai usia baligh, maka Allah SWT kelak akan memberikan kepada mereka balasan Syurga-Nya. Ini disebutkan dalam hadith Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنَ النَّاسِ مُسْلِمٌ، يَمُوتُ لَهُ ثَلاَثَةٌ مِنَ الوَلَدِ لَمْ يَبْلُغُوا الحِنْثَ، إِلَّا أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ بِفَضْلِ رَحْمَتِهِ إِيَّاهُمْ

Maksudnya: “Tidaklah seorang muslim pun di antara manusia yang kematian tiga orang anaknya yang belum mencapai usia baligh, melainkan dia akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga dengan sebab kurniaan dan rahmat-Nya ke atas anak-anak tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (1381)

Ucapan takziah kami tujukan buat para ibu bapa yang ditimpa ujian kehilangan anak. Semoga Allah SWT mengilhamkan kesabaran yang tinggi dalam hati mereka ini, diberikan kekuatan mental untuk terus-menerus memanjatkan doa kepada Tuhan yang Maha Kuasa agar digantikan dengan anak yang lebih baik, soleh, dan boleh menjadi saham akhirat setelah kita pergi bertemu-Nya.

Kami mengakhiri pesanan ringkas ini dengan sebuah hadith Ummul Mukminin Ummu Salamah R.Anha, Rasulullah SAW mengajarkan sebuah doa buat mereka yang ditimpa musibah:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang ditimpa musibah lalu dia mengucapkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah: ‘Sesungguhnya kami ialah kepunyaan Allah dan hanya kepada-Nya kami kembali. Ya Allah, kurniakanlah padaku ganjaran atas musibahku ini dan gantikanlah buatku dengan apa yang lebih baik darinya’ melainkan Allah pasti akan menggantikan buatnya dengan apa yang lebih baik darinya.”

Riwayat Muslim (918)

Wallahu a‘lam

Leave a Reply