Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, ada sesetengah orang terlalu berat baginya untuk melebarkan senyuman ketika bertemu atau bercakap dengan orang lain yang kadang-kadang menyebabkan orang lain tersinggung dengan tindakan tersebut. Apa nasihat Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ (٧) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّا يَرَهُۥ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya.”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara adab yang seharusnya diamalkan oleh seorang Muslim ketika bertemu atau menyapa orang lain adalah dengan menyebarkan senyuman. Ini bukan sahaja merupakan cara untuk menghormati individu yang berinteraksi dengan kita, malah ia juga dapat membahagiakan dan memberikan keselesaan kepada mereka.

Diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا، وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya: “Janganlah kamu menganggap remeh apa-apa amalan yang baik walaupun kebaikan itu dengan sekadar menunjukkan muka yang manis (senyum) ketika bertemu dengan saudaramu.”

Riwayat Muslim (2626)

Syeikh Abd al-Qadir Syaibah al-Hamd menyebutkan bahawa: Hadith ini adalah salah satu kaedah yang paling mudah dalam berinteraksi dengan baik terhadap orang lain dan berusaha untuk menyatukan mereka. Senyuman dan wajah yang ceria adalah perkara yang tidak seharusnya diabaikan oleh seorang Muslim kerana ia adalah perbuatan yang mudah dilakukan tetapi mempunyai ganjaran yang besar. Sehingga disebut dalam pepatah: kebaikan itu adalah perkara yang mudah, iaitu wajah yang ceria dan kata-kata yang lembut. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 10/196)

Begitu juga disebutkan dalam Minhah al-‘Allam bahawa (10/120): Hadith ini menunjukkan bahawa disunnahkan untuk bersikap ramah dan ceria ketika bertemu, dan ini adalah perbuatan baik yang patut diambil perhatian oleh seorang Muslim. Ini kerana ia dapat menghiburkan saudara Muslim, membawa kegembiraan kepadanya, dan menghilangkan rasa kesepian daripadanya. Dengan cara ini, terjalinlah keakraban dan kedekatan antara sesama Muslim. Selain itu, meskipun manfaatnya sangat besar, ia tidak memerlukan usaha yang banyak. Ia adalah perbuatan yang mudah dilakukan, namun mempunyai ganjaran yang besar dan banyak manfaatnya. Ini adalah kurniaan dan anugerah dari Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari kalangan hamba-hamba-Nya.

Justeru, seseorang itu perlu berusaha untuk melakukan kebaikan, terutamanya ketika bertemu atau berinteraksi dengan orang lain, kerana kebaikan tersebut membawa manfaat yang besar. Oleh yang demikian, Jangan sekali-kali meremehkan sebarang kebaikan walaupun dengan hanya senyuman. Setiap kebaikan yang dilakukan mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT dan boleh membawa manfaat yang besar kepada diri kita dan orang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam

Leave a Reply