Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita berhenti seketika untuk minum air zamzam dan selepas itu, meneruskan semula ibadah sa‘ie tanpa berundur beberapa langkah ke belakang, atau kita memang kena berundur dahulu beberapa langkah ke belakang sebelum meneruskan baki pusingan sa‘ie? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang mengerjakan amalan kebajikan secara sukarela, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Menghargai amalan hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 158)
Imam al-Baghawi berkata, ayat ini diturunkan kerana Safa dan Marwah itu dahulunya terdapat dua berhala; Asaf dan Na’ilah. Dikatakan bahawa Asaf ini berada di Safa, manakala Na’ilah berada di Marwah. Orang Jahiliyyah dahulu tawaf di antara Safa dan Marwah bagi mengagungkan dua berhala tersebut sambil menyentuhnya. Apabila Islam datang, berhala-berhala tersebut dihapuskan kerana orang Islam kurang berkenan untuk melakukan sa‘i antara Safa dan Marwah. Lalu, Allah SWT mengizinkan umat Islam melakukan sa‘i dan mengkhabarkan kepada mereka bahawa Safa dan Marwah itu adalah syi‘ar-Nya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/173)
Kami mulakan dengan menyatakan, sebagaimana yang diketahui, amalan (rukun) umrah adalah seperti berikut:
- Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji.
- Melakukan tawaf umrah.
- Sa‘ie di antara Bukit Safa dan Marwah
- Bercukur atau bergunting rambut.
Syeikh Abd al-Fattah Hussain menyatakan difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah tertib. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/144); al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 386).
Pada asasnya kita mengetahu bahawa sa‘ie di antara bukit Safa dan Marwah termasuk dalam salah satu rukun-rukun umrah. Seseorang yang mengerjakan ibadah umrah dan haji hendaklah melakukan pusingan sebanyak 7 kali, iaitu berjalan dari bukit Safa dan Marwah dikira satu pusingan, kemudian dari Marwah ke Safa dikira lagi satu pusingan dan begitulah seterusnya, sehinggalah cukup 7 kali pusingan dengan berakhir di Marwah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 257).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sekiranya seseorang yang sedang bersa‘ie itu berhenti untuk berehat, atau pergi ke tandas, atau pulang ke hotel, perkara tersebut tidak membatalkan atau merosakkan ibadah sa‘ienya, dan dia hanya perlu menyambung dan menyempurnakan baki bilangan sa‘ienya sahaja kerana muwalah antara bilangan sa‘ie hukumnya adalah sunat — dan bukannya wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 259).
Begitulah juga, sekiranya seseorang itu minum air zamzam di tempat yang disediakan sepanjang laluan sa‘ie. Selesai minum dia hanya perlu meneruskan sahaja perjalanan sa‘ie tersebut tanpa perlu berpatah balik beberapa langkah. Hal ini kerana setiap langkah yang dilaluinya itu adalah dikira, dengan syarat dia masih di dalam kawasan mas‘a (tempat sa‘ie) serta di laluan yang betul.
Akan tetapi berbeza sekiranya dia telah keluar daripada kawasan mas‘a, kemudian masuk semula bagi menyambung dan menyempurnakannya. Kami berikan dua contoh agar lebih mudah untuk faham berdasarkan kepada dua situasi:
Situasi pertama: Seseorang itu telah melakukan sa‘ie di tingkat bawah dan selesai satu pusingan sa‘ienya (dari Bukit Safa ke Marwah). Kemudian, dia ingin meneruskan baki pusingan di tingkat atas, maka dalam hal ini dia hanya perlu memulakan sa‘ienya di Marwah.
Situasi kedua: Seseorang itu telah melakukan sa‘ie di tingkat bawah dan selesai satu pusingan sa‘ienya (dari Bukit Safa ke Marwah). Kemudian, meneruskan pula perjalanan bagi pusingan kedua. Ketika di pertengahan jalan dan belum sampai pun lagi di Safa, dia mahu melakukannya di tingkat atas. Maka dalam hal ini, dia perlu memulakannya di tempat yang dia berhenti (mengikut jarak pada sangkaannya yang kuat) dan kami syorkan sekiranya dapat berundur beberapa langkah ke belakang, adalah lebih baik sebagai langkah berhati-hati (ihtiyatan).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika seseorang itu berhenti seketika untuk minum air zamzam dan selepas itu, meneruskan semula ibadah sa‘ienya tanpa berundur beberapa langkah ke belakang dengan syarat setiap langkah yang dilaluinya itu berada di kawasan mas‘a, dan sehala dengan laluan sa‘ienya. Hal ini kerana setiap langkah yang dilaluinya itu (di kawasan mas‘a) adalah dikira sa‘ie, sekalipun berhenti berehat sebentar, atau pergi ke arah tempat air zamzam untuk minum (yang di dalam mas‘a) yang sehala dengan laluan sa‘ienya. Justeru, sa‘ie yang dikerjakan olehnya itu dikira sah dan tidak perlu mengulanginya.
Namun, jika dia keluar dari kawasan mas‘a untuk meminum zamzam atau kerana sesuatu keperluan, maka dia perlu memulakannya di tempat yang dia berhenti (mengikut jarak pada sangkaannya yang kuat) dan kami syorkan sekiranya dapat berundur beberapa langkah ke belakang, adalah lebih baik sebagai langkah berhati-hati (ihtiyatan).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”