Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum orang yang mengadu sakit, adakah ia dibolehkan? Adakah dengan mengadu sakit orang itu dianggap menolak takdir? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.
(Surah al-Taubah: 51)
Ibn Kathir berkata: kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)
Begitu juga firman Allah SWT:
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ
Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”
(Surah al-Taghabun: 11)
Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentakdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi orang yang ditimpa penyakit untuk mengadu kesakitannya yang dihadapi selagimana dia tidak menolak qadha’ dan qadar Allah SWT. Ini kerana Allah SWT telah berfirman:
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.”
(Surah al-Qamar: 49)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Ini merangkumi semua makhluk dan alam, sama ada yang tinggi atau rendah; bahawa Allah SWT sendirilah yang menciptakannya, dan tidak ada pencipta selain daripada-Nya, serta tidak ada yang bersama-Nya dalam penciptaan . Dia menciptakan semuanya dengan ketentuan yang telah didahului oleh pengetahuan-Nya, dicatat oleh pena-Nya, pada waktu dan kadar yang telah ditetapkan.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.827)
Dalam isu ini Imam al-Bukhari dalam sahihnya telah menulis satu bab yang menyatakan Orang Sakit Menyebut: “Sesungguhnya Aku Sakit” atau “Alangkah Sakitnya Kepalaku” atau “Aku Sangat Sakit.”
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahwa beliau mengadu kesakitan dan berkata:
وَا رَأْسَاهْ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ذَاكِ لَوْ كَانَ وَأَنَا حَيٌّ فَأَسْتَغْفِرَ لَكِ وَأَدْعُوَ لَكِ
Maksudnya: “Aduh sakitnya kepalaku.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Itu sekiranya terjadi dan aku masih hidup, aku akan memohonkan ampunan untukmu dan mendoakanmu.”
Riwayat al-Bukhari (5666)
Hadith ini menunjukkan bahawa Ini ‘Aisyah merasa sakit kepala yang menyerangnya, lalu dia mengadu tentang kesakitan itu dengan berkata: “Aduh sakitnya kepalaku. ”Al-Qasthalani berkata: Ia adalah ungkapan kesakitan yang amat sangat pada kepala akibat sakit kepala yang teruk. Rasulullah SAW bersabda sambil bergurau dan bersenda dengannya: “Itu (akan berlaku) jika aku masih hidup, maka aku akan memohonkan ampun untukmu dan mendoakanmu. Maksudnya, jika kematian menimpamu semasa aku masih hidup, nescaya engkau akan mendapat keberkatan daripada permohonan ampun dan doaku untukmu.” (Lihat Manar al-Qari’ Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 5/202)
Justeru, hadith ini menunjukkan bahawa mengadu kesakitan atau masalah adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Mengadu bukan bermakna seseorang tidak bersabar atau menolak takdir, tetapi lebih kepada memohon simpati dan sokongan daripada orang lain. Dalam konteks ini, Rasulullah SAW memberi contoh bagaimana Baginda menunjukkan keprihatinan terhadap kesakitan orang lain.
Rasulullah SAW mengajar kita apabila melihat orang yang sakit agar berdoa:
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِيْ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَماً.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Pemelihara manusia, hilangkanlah penyakit ini dan sembuhkanlah. Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan hanya kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit walau sedikit pun.”
Riwayat al-Bukhari (5743) dan Muslim (2191)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Wallahu‘alam