#6778: Pemurahnya Imam al-Zuhri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapa Imam al-Zuhri dan benarkah beliau adalah seorang yang sangat pemurah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali Imran: 92)

Kami mulakan dengan biografi ringkas Imam al-Zuhri. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muslim bin Ubaidillah bin Abdullah bin Syihab bin Abdullah al-Qurasyi al-Zuhri. Beliau merupakan seorang ulama’ terkenal yang  alim dan ahli fiqh yang terkemuka. Al-Zuhri adalah nama gelaran yang terkenal yang diberikan para ulama’ kepadanya. Nama gelarannya yang lain ialah Abu Bakar al-Madani.

Terdapat beberapa pendapat berkenaan tahun kelahiran beliau. Antaranya Dahim dan Ahmad bin Solih berpendapat bahawa Ibnu Syihab al-Zuhri dilahirkan pada tahun 50 H. Khalifah bin Khayyath mengatakan, beliau dilahirkan pada tahun 51 H, ada juga yang berpendapat bahawa beliau lahir pada tahun 56 dan 58 H iaitu pada akhir zaman pemerintahan Muawiyah. Beliau dilahirkan di kota suci Madinah al-Munawwarah. Beliau kemudian tinggal di sebuah perkampungan kecil bernama Ailah di antara Hijaz dan Syam.

Beliau wafat pada malam Selasa, 17 Ramadhan tahun 124 H di sebuah perkampungan bernama Syaghab, Syam dan dimakamkan di sana. Ia terletak di antara sempadan Hijaz dan permulaan sempadan Palestin. Dia mengalami sakit beberapa hari kemudian meninggal dunia dan di situlah dia dikuburkan. Dia telah mewasiatkan agar dikebumikan berhampiran longkang jalan yang berdekatan supaya yang lalu berhampiran dengannya akan mendoakan untuknya. Usianya ketika itu, 72 tahun. Inilah pendapat al-Zubair bin Bakar.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Imam al-Zuhri terkenal sebagai seorang ulama’ yang mempunyai ilmu bersifat melaut. Begitu juga, dengan sifat pemurahnya, sehingga kurniaan yang diperolehinya daripada para umara’ telah diinfakkannya kepada pelbagai golongan sehingga ianya dipuji oleh Faid bin Akram dalam syairnya.

Beliau akan menyimpan sebahagian hartanya untuk memenuhi keperluan golongan yang berhajat secara tiba-tiba. Imam Malik Rahimahullah berkata, “Adalah Ibnu Syihab terkenal sepemurah manusia pada zamannya. Apabila dia mendapat harta, hambanya akan memberi peringatan kepadanya, “Sesungguhnya aku lihat apa yang berlaku ke atasmu dalam keadaan kesempitan. Maka, lihatlah bagaimana kamu sekarang. Dan simpanlah untukmu sebahagian harta.” Lantas dijawabnya, “Sesungguhnya orang mulia tidak akan dikalahkan oleh pengalamannya.” Bahkan dikatakan sifat pemurahnya itu hampir membinasakannya. Sehingga beliau sanggup berhutang untuk meneruskan sifat pemurahnya di kalangan manusia.

Pernah satu ketika, dia pergi ke satu tempat untuk mendapatkan air. Dan cuba berhutang dan tiada siapa yang memberi kepadanya. Maka, beliau menggunakan binatang tunggangannya untuk disembelih dan dipanggil mereka kemudian diajak makan bersama. Lalu, bapa saudaranya memberi nasihat kepadanya, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya maruah itu adalah sunnah yang hanya dapat menghilangkan air muka seketika.” Jawabnya, “Wahai pak cik, turun dan nikmatilah makanan. Jika sekiranya pak cik tidak mahu, maka pergilah dalam keadaan mendapat petunjuk.”

Pernah dia pergi ke satu tempat, penduduknya mengadu mereka mempunyai 18 perempuan yang sudah tua iaitu isteri masing-masing sedangkan mereka tidak mempunyai khadam. Maka, Ibnu Syihab telah berhutang 18,000 dan dikhadamkan setiap isteri itu dengan satu khadam dengan diupah 1,000 dirham.

Al-Laith bin Sa’d berkata, “Ibn Syihab selalu mengkhatamkan hadithnya dengan doa iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan aku minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 55/342; al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/137)

Beliau adalah di antara sepemurah manusia yang pernah aku lihat. Dikatakan bahawa beliau tidaklah mencintai harta dan kekal bersamanya. Bahkan dia menganggap hina dan perlu berlepas diri daripadanya dengan cara membelanjakan ke arah kebaikan.

Kata Amru bin Dinar, “Tidak aku lihat seseorang lebih ringan dan lebih hina di sisinya dari dirham yang dimiliki.” Itulah Muhammad bin Syihab al-Zuhri. (Lihat buku kami, Mereka yang Paling Pemurah, hlm. 93-95)

Kami juga mengakhiri dengan doa yang dibaca oleh Imam al-Zuhri:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *